Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 pekerja e-panggilan terima minyak pelincir percuma

KLANG, 31 OGOS: Sebanyak 100 minyak pelincir motosikal diagih kepada pekerja e-panggilan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 hari ini.

Wakil rakyat Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan sebagai simbolik memupuk semangat patriotik anak muda ketika negara berdepan penularan Covid-19.

ADN Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama penghantar makanan ketika program serahan minyak pelincir percuma sempena Hari Kemerdekaan ke-64 di Tapak Rakan Muda, Klang pada 31 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bantuan ini juga dapat meringankan beban pekerja Food Panda dan Grab Food untuk menyelenggara motosikal masing-masing.

“Kita tahu mereka antara golongan terjejas akibat pandemik ini,” katanya ketika ditemui pada Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Seorang penerima minyak pelincir Zaki Miswan, 27, berkata bantuan itu mengurangkan kos selenggara motosikal yang digunakan setiap hari mencari rezeki.

“Terima kasih kerana prihatin dengan keperluan pekerja penghantaran ini. Walaupun bantuan nampak ringkas tetapi sangat membantu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit pusat nilai Covid-19 Sri Andalas terkawal

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas terkawal berikutan penurunan kehadiran pesakit berbanding ketika hari pertama dibuka pada Isnin lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata berdasarkan pemerhatian bilangan pesakit hanya ramai waktu pagi namun lengang pada tengah hari dan petang.

“Kerjasama pihak berkuasa melibatkan MPK (Majlis Perbandaran Klang), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan polis memastikan keadaan di CAC terkawal sejak Selasa sehingga ke hari ini.

“Pemantauan dilakukan bagi memastikan isu kesesakan pesakit tidak berulang namun jika bilangan menunjukkan peningkatan pada setiap hari, CAC ini akan dipindahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke CAC berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

CAC negeri ini diuruskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi.

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Dapur berpusat di DUN Sungai Kandis, agih bekalan setiap hari

SHAH ALAM, 16 JULAI : Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mewujudkan dapur berpusat bagi mengagihkan barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan di kawasan tersebut.

Wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata insiatif Dapur Rakyat itu diadakan pada setiap hari mulai jam 11 pagi sehingga 7 petang di perkarangan Restoran D’Rakit, Taman Rakyat, Klang.

“Program ini dilaksanakan selepas mengambil kira ramai penduduk di DUN Sungai Kandis memohon bekalan makanan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Justeru, mereka yang kurang berkemampuan boleh datang ke dapur berpusat untuk ambil barangan. Kita turut menempatkan petugas bagi memastikan penerima dapat bantuan sama adil,” katanya.

EXCO hal ehwal agama Islam ditemui selepas menyampaikan 150 pek barangan dapur kepada penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, semalam.

Beliau turut mempelawa sumbangan individu, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk menjayakan program tersebut.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: ADN Sungai Kandis sumbang pelitup muka, makanan kepada petugas

SHAH ALAM, 12 OKT: Wakil rakyat Sungai Kandis menyumbang 300 pelitup muka dan pek makanan serta minuman kepada petugas hadapan di pusat kawalan Taman Sri Andalas, Klang semalam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu bagi menghargai bakti dan menyuntik sokongan moral anggota yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya melihat petugas hadapan begitu bersemangat, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak boleh digunakan sepanjang berada di pusat kawalan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri meninjau situasi semasa PKPB dan bertemu petugas.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata semua 6,000 keluarga di Taman Sri Andalas yang terkesan dengan PKPB berada dalam keadaan aman serta terkawal.

“Penduduk masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa, cuma pada waktu malam tidak ramai yang keluar dan berada di rumah masing-masing.

“Kita berharap supaya keadaan ini (Covid-19) akan segera pulih dan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari,” kata beliau lagi.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula 9 hingga 23 Oktober.

Kawasan terbabit adalah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang serta Taman Suria.

Selain itu, Mutiara Bukit Raja, Bandar Klang, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken Jimbaran, Pangsapuri Palm Garden, Taman Andalas Permai, Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira Kampung Delek Kiri, Taman Kim, Batu Belah Kampung Sungai Udang, Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama.

Categories
SELANGOR

Tradisi rewang bubur lambuk diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Wanita Keadilan Kota Raja dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berjaya menganjurkan program Rewang Bubur Lambuk, di Bukit Naga, di sini.

Tradisi gotong royong menyiapkan juadah seperti amalan kenduri kendara di kampung itu bertujuan membangkitkan suasana meriah dengan pembabitan semua lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, seramai 40 penduduk sekitar menyertai aacara itu dengan mula memasak bubur lambuk seawal jam 8 pagi tadi.

“Kesinambungan tradisi ini perlu diteruskan. Oleh itu, kita mahu mereka bersama-sama dengan pimpinan untuk turun memasak bersama-sama.

“Ia juga bertujuan menyemarakkan lagi Ramadan selain dapat mengeratkan silaturahim antara pimpinan dan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Zawawi berkata, program itu juga perlu diteruskan pada masa hadapan supaya budaya ‘merewang’ terus subur dan tidak dilupakan.

Menariknya kali ini, kaum wanita dikehendaki memakai kain batik sebagai tema pakaian pada program itu.

Malah, Zawawi turut berkesempatan mengajar kaum wanita menganyam pelbagai jenis ketupat antaranya ketupat sate, sintok, bawang dan kodok.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Kota Raja, Siti Anum Tawil berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk berperisa ayam dan daging untuk diedarkan ke parlimen terbabit.

“Bagi bubur lambuk daging, kita akan edarkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Kota Kemuning. Manakala bubur lambuk ayam pula ke DUN Sentosa.

“Memasak bubur lambuk ini juga pada hari ini membabitkan kaum India. Inilah uniknya, cara kita mengeratkan silaturahim. Kita tidak meninggalkan mana-mana kaum,” katanya.

Beliau berkata, resepi bubur lambuk menggunakan rempah kurma itu juga direka sendiri oleh tukang masaknya.

 

Categories
SELANGOR

Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penduduk di Kampung Johan Setia disaran menjaga kebersihan tanah perkuburan yang baharu diserahkan, dan menjadi contoh kepada tapak perkuburan lain.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengubah persepsi masyarakat yang ‘ketakutan’ apabila melihat tanah perkuburan.

“Jika dahulu orang beranggapan kubur adalah tempat yang seram dan menakutkan, namun sekarang ia berjiran dengan penduduk.

“Sebagai contoh, tanah perkuburan ini berada dalam taman perumahan, oleh itu kita mahu penduduk menjaganya supaya sentiasa bersih dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia daripada Majlis Perbandaran Klang kepada Jabatan Agama Islam Selangor, di tapak berkenaan, di sini hari ini.

Katanya, tanah perkuburan itu adalah yang keempat di kawasannya yang akan dilengkapi dengan angka giliran bagi setiap liang.

“Sistem nombor ini dilaksanakan seperti tanah perkuburan Bukit Naga yang menjadi projek perintis, pada 2016 dan kita akan laksanakan di tanah perkuburan ini, berbeza berbanding tanah perkuburan Jalan Kebun dan kawasan berdekatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut menasihatkan penduduk supaya menggunakan kemudahan disediakan di tanah perkuburan itu dengan sebaiknya.

“Dengan adanya kemudahan disediakan, penduduk boleh datang ke sini tanpa rasa takut, malah boleh melakukan aktiviti riadah, selain dapat mengingati kematian,” katanya.

Tanah perkuburan berkeluasan 10.4 hektar itu boleh memuatkan 4,500 jenazah, pada satu-satu masa mengikut kesesuaian di tapak, dengan kos RM2.19 juta.

FOTO OLEH REMY ARIFIN

Categories
SELANGOR

ADN lancar kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis melancarkan Kempen Banteras Pembakaran Terbuka Tanah Gambut Johan Setia bagi mengatasi masalah kebakaran, di kawasan itu.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kempen itu bagi membudayakan pembabitan penduduk dalam usaha melestarikan keindahan dan kesejahteraan kawasan tanah gambut.

“Pada masa sama, penduduk akan bertindak sebagai ejen pemberi maklumat berkenaan laporan pembakaran terbuka dan boleh melakukannya melalui kaedah laporan menggunakan aplikasi whatsapp sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama ahli majlis, Pejabat MPKK Kampung Johan Setia serta sokongan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan kempen itu, pejabat Ahli Majlis Zon N49 juga akan dijadikan sebagai pusat ‘one stop centre’, selain melantik dua koordinator penyelaras aduan jika berlaku pembakaran terbuka.

“Diharapkan dengan pelancaran kempen ini, kegiatan pembakaran terbuka dapat dibanteras demi keselesaan rakyat khususnya di kawasan Johan Setia dan penduduk sekitarnya.

“Semoga kelestarian kawasan Sungai Kandis dapat dipelihara kerana kemakmuran rakyat menjadi agenda semua untuk kita lebih maju bersama,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Banjir kilat di Sungai Kandis terkawal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 NOV: Keadaan banjir kilat di kawasan Sungai Kandis masih lagi terkawal sepanjang fenomena air pasang besar kali ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah tersebut.

“Dalam tempoh beberapa hari ini ada berlakunya kes banjir kilat kerana sekarang sudahpun memasuki perubahan monsun dan hujan kerap berlaku, namun ia masih lagi terkawal.

“Saya juga berharap supaya orang ramai peka apabila hujan lebat berlaku, mereka juga boleh mendapatkan info terkini melalui Smart Selangor Command Centre (SSCC) bagi lokasi banjir kilat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, beliau turut mengadakan lawatan ke Jalan Langat bagi mengatasi masalah banjir kilat di situ.

“Hasil tinjauan saya mendapati parit dan longkang di situ dipenuhi dengan rumput dan juga kangkung.

“Saya sudah mengarahkan pihak bertanggungjawab menyelenggara longkang berkenaan bag memastikan sistem saliran air itu lebih baik,” katanya.

Sementara itu SSCC dalam kenyataan berkata, antara kawasan terjejas banjir kilat setakat ini adalah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Di Kuala Selangor kawasan terjejas membabitkan Kampung Sawah di Tanjong Karang, manakala di Klang membabitkan kawasan di Kampung Bukit Kuda.

Bagi Kuala Langat, dua kawasan terjejas antaranya Kampung Kebun Batu 9 dan juga Lorong Siantan Tambahan Kampung Sungai Buaya.

Categories
SELANGOR

Cuaca diramal hujan pada hari mengundi Sungai Kandis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS : Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan keadaan cuaca hujan pada sebelah pagi ketika hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

METMalaysia melalui laman portal rasminya memaklumkan, suhu mencecah diantara 26 hingga 29 darjah celcius pada sebelah pagi tersebut.

“Sementara pada waktu petang cuaca dijangka kembali cerah dengan jangkaan suhu 30 hingga 32 darjah celcius,” katanya dalam kenyataan.

Ramalan kaji cuaca itu dikeluarkan pusat operasi cuaca dan geofizik nasional METMalaysia.

Orang ramai boleh melayari laman web www. met.gov.my bagi mengetahui ramalam cuaca di sepanjang tempoh hari pengundian tersebut.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN N.49 Sungai Kandis bermula pada 4 Ogos ini.

SPR turut menasihatkan supaya pengundi menyemak maklumat daftar pemilih mereka lebih awal sebelum hari pengudian Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, semakan awal memudahkan para pengundi merancang perjalanan serta mengelakkan berlaku kesesakan di pusat mengundi khususnya di barung semakan SPR.

Categories
SELANGOR

Mohd Zawawi optimis bela nasib rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUL: Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, optimis ingin membela nasib rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohd Zawawi, 48, berkata beliau akan cuba melaksanakan segala yang pernah dirancang bersama bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) terdahulu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie.

“Saya akan cuba meneruskan segala yang pernah dirancang Allahyarham Mat Shuhaimi untuk bersama membela rakyat terutama golongan miskin dan kawasan pedalaman yang memerlukan pembelaan.

“Saya yakin pengundi di DUN Sungai Kandis memang memerlukan pembelaan dan hari ini ramai hadir memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRK N49 yang diadakan, di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, beliau juga tidak menjangka namanya diumum sebagai calon.

“Saya langsung tidak menduga, namun kepercayaan yang diberikan ini akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengumumkan Mohd Zawawi dicalon bagi kerusi N49 menggantikan Allahyarham Mat Shuhaimi.

Mohd Zawawi, graduan Sarjana Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling), Universiti Malaya, bergiat aktif dalam gerakan Reformasi sejak tahun 1998 dan selalu dipilih sebagai penceramah.

Beliau yang juga graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al Azhar, Mesir, adalah anak jati Sungai Kandis dan imam di Masjid Al-Naim, sejak 2008.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada 21 Julai (Sabtu) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Selangor.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR selepas mempengerusikan mesyuarat khas, pagi ini.

“Bagi PRK kali ini, tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 3 Ogos 2018.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, tarikh buka adalah 9 Julai 2018 dan tarikh tutup pada 21 Julai 2018,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN N49 Sungai Kandis dan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus.

Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Seramai 865 petugas dalam kalangan orang awam dilantik mengendalikan proses PRK dengan 19 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran mengundi.

Dianggarkan RM1.4 juta peruntukan diperlukan bagi menjalankan PRK N49 DUN Sungai Kandis.

PRK ini akan menggunakan Daftar Pemilih sehingga Suku Pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai 2018.

“Daftar Pemilih itu mengandungi 51,230 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi biasa dan 13 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 Julai 2018,” katanya.

Sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PRK) bagi memantau semua aktiviti kempen.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

SPR juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, sehari kemudian.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).

Categories
SELANGOR

1,000 hadiri tahlil di DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 1,000 penduduk Sungai Kandis mengadakan majlis tahlil selama tiga hari berturut di kebanyakan masjid dan surau kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Masjid An Naim Jalan Kebun, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, majlis itu untuk membalas jasa dan mengenang pengorbanan Shuhaimi Shafiei sebagai Ahli Dewan Negeri Sri Muda dan Sungai Kandis.

Katanya, kebanyakan penduduk masih berdukacita dan bersedih atas pemergian Allahyarham yang meninggal dunia, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

“Majlis itu sebagai tanda terima kasih dan mengenang jasa baik dilakukan Allahyarham selama dua penggal menjadi wakil rakyat.

“Beliau mudah dihubungi dan ringan tulang untuk membantu. Kalau tidak sempat mengangkat panggilan telefon, pasti dia akan membalas pesanan disampaikan melalui media sosial”, katanya.

Zawawi menyifatkan kehilangan Allahyarham sesuatu yang amat dirasakan semua lapisan masyarakat dan sukar dicari ganti setara dengannya.

Katanya, keprihatinan pemimpin berjiwa rakyat benar-benar diterjemahkan Allahyarham yang sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

“Masjid Al Falah Jalan Kebun antara usaha beliau untuk memastikan keselesaan penduduk dalam menjalani ibadah kerana sebelum ini solat Jumaat hanya diadakan di Masjid An Naim yang agak jauh sebelum dinaik taraf.

“Kami di sini mengharapkan supaya pemimpin yang akan menggantikan Allahyarham dapat meneruskan agenda membangun desa dan kota yang aman serta sejahtera dengan penuh keikhlasan juga semangat untuk membela nasib rakyat di kawasan ini,” katanya.