Categories
SELANGOR

Bacaan yassin, solat hajat doa kesejahteraan Shuhaimi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUL: Penduduk dan kakitangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mengadakan lima majlis bacaan yassin dan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Ahli Dewan Negerinya (ADN), Shuhaimi Shafiei.

Majlis secara berasingan itu diadakan di Wisma Hafiz, Masjid Himalatul Aliyah, Masjid An Naim, Masjid Telok Menegun dan Masjid Johan Setia.

Ketua Biro Agama DUN Sungai Kandis, Suhaimi Mahmud berkata, majlis itu bagi memohon kesembuhan kepada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Katanya, kira-kira 500 orang menyertai bacaan yassin itu di kelima kawasan.

“Kami semua berharap beliau cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa,” katanya.

Majlis itu diadakan selepas solat Isyak diikuti dsolat hajat, bacaaan yassin dan diakhiri dengan doa selamat.

Turut kelihatan ADN Gombak Setia, Hilman Idham.

Terdahulu, pada awal Jun lalu, Shuhaimi menjalani rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor terpaksa menghentikan aktiviti politik buat sementara waktu sejak selesai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau juga tidak dapat hadir atas faktor kesihatan ketika mengangkat sumpah ADN dan dijangka akan mengangkat sumpah, pada sidang dewan akan datang.

Categories
SELANGOR

Ketua Umno sertai KEADILAN, kepimpinan BN semakin teruk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI : Ketua Cawangan Umno Sri Sarawak, Zakaria Samsudin mengumumkan keluar parti dan KEADILAN sekali gus membuktikan kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin kurang mendapat sokongan.

Zakaria mengakui antara faktor beliau meninggalkan BN kerana parti itu gagal membela nasib rakyat kesan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya tekad meninggalkan BN kerana terkilan dan kecewa dengan kepimpinan parti itu yang semakin lari daripada asas perjuangan membela dan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya sebagai peniaga kecil-kecilan di Klang juga terasa beban ekonomi sehingga menyebabkan harga barangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata pada Sidang Media Khas di bilik Gerakan Utama Harapan Dun Sungai Kandis, di sini, sebentar tadi.

Zakaria berkata, kepimpinan BN yang ada kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kepimpinan terdahulu yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

Pada masa sama, beliau mengakui penyertaannya ke dalam KEADILAN Dun Sungai Kandis itu turut memberi signifikan dan tamparan hebat kepada Umno cawangan berkenaan.

“Saya tekad tinggalkan Umno untuk reformasi dan merasai denyut nadi rakyat bagi perubahan ekonomi daripada kepimpinan kerajaan BN kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya melihat manifesto BN hanya retorik di atas kertas, sebaliknya pentadbiran kerajaan PAKATAN di Selangor lebih telus dan bijak untuk masa depan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Calon N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei berkata, walaupun keputusan Zakaria sebagai ketua hanya di peringkat cawangan, namun beliau yakin BN akan tetap terkesan dengan tindakannya itu.

“Saya selaku wakil KEADILAN mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu turut serta dan berjuang bersama-sama KEADILAN,” katanya.

Categories
SELANGOR

4 penjuru pertandingan di DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: DUN Sungai Kandis (N 49) bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN); Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan BEBAS.

Pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), calon KEADILAN, Mat Shuhaimi Shafiei dicabar oleh Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Sementara itu, bagi N 50 DUN Kota Kemuning, menyaksikan lima penjuru diantara calon KEADILAN, V Ganabatirau menentang Tiew Hock Huat dari BN, selain

Abdul Razak Ismail (Parti Sosialis Malaysia) dan Burhan Adnan (PAS) dan calon BEBAS, S Rajasekaran.

Lima penjuru juga di DUN N 48 Sentosa pula, calon KEADILAN, Dr Gunaraj George akan menentang calon BN, Datuk T. Subramaniam atau lebih dikenali R.S Maniam (BN) yang merupakan Ketua MIC bahagian Kota Raja.

Turut bertanding calon BEBAS PS Rajoo dan Pengarah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) M Rajan serta M Thelaiambalam (PRM).

Bagi Parlimen P111 Kota Raja pula menyaksikan tiga penjuru diantara Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ketua MIC bahagian Sepang, V Gunalan (BN); Mohamed Diah Harun (PAS).

Pegawai Pengurus Bahagian P. 111 Kota Raja, Shukri Mohamad Hamin berkata, proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, di sini berjalan lancar sehingga ditutup pada pukul 10 pagi.

“Tidak ada borang pencalonan yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertan­ding dalam PRU14 berkenaan.

Terdahulu, Shuhaimi, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi penyokong Pakatan.

Manakala borang pencalonan pula dihantar jam 9.24 pagi.

Turut berarak, calon N 50 Kota Kemuning, V Ganabatirau; calon Sentosa N 48 Sentosa, Dr Gunaraj George; dan calon P 111 Kota Raja, Mohamad Sabu.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, sebelum hari membuang undi pada 9 Mei.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Minta TNB, TM Baiki Kabel Runtuh Punca Banjir Kilat

yb shuhaimiSHAH ALAM, 18 DIS : Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) digesa segera bertindak terhadap runtuhan jambatan kabel yang menyekat laluan air ke Sungai Kandis, di sini sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Sri Muda.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya membuat aduan kepada jabatan berkaitan pada 3 November lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, banjir kilat dilaporkan masih berlaku sehingga semalam di sekitar kawasan Bukit Naga, Kampung Sri Gambut, Kampung Batu Lapan, Taman Sri Meena, Sentosa, Taman Mewah Jaya dan Bukit Rimau.

“Punca utama berlakunya banjir sudah tentu disebabkan hujan lebat, namun ia turut membabitkan masalah saliran. Kita  banyak bersihkan saliran tetapi masih terdapat parit yang yang belum dibaiki salah satunya kabel voltan ke arah Sungai Kandis.

“Jadi itu antara punca yang menyebabkan air tersekat dan tidak boleh mengalir. Bila air banyak, saliran itu akan bergerak perlahan dan menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya lagi, insiden banjir kilat kawasan Sri Muda dilaporkan berlaku sejak 16 November lalu.

“Untuk kawasan yang teruk dilanda banjir seperti Kampung Johan Setia, pihak JPS telah mengambil tindakan membersihkan 11 parit sepenuhnya. Maka apabila hujan turun, air tidak masuk ke dalam rumah dan mengalir terus ke Sungai Air Hitam.

“Beberapa kawasan lain belum diatasi sepenuhnya ekoran utiliti masih belum dibaiki. Bagaimanapun, kita akan laksanakan tindakan segera,” ujarnya.