Categories
AGENDA NASIONAL

Sungai Langat naik paras bahaya setakat jam 10.30 pagi tadi

SHAH ALAM, 3 JAN: Paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi paras bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter (m) setakat jam 10.30 pagi tadi.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my bacaan itu melepasi paras normal pada 4.20m. Peningkatan 0.14m itu disebabkan hujan yang turun di kawasan berkenaan.

Sementara itu paras air Sungai Langat di Dengkil, Sepang telah melepasi tahap waspada apabila mencatatkan bacaan 6.68m iaitu peningkatan 0.28m. Peningkatan paras air itu juga disebabkan hujan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my untuk melihat perkembangan terkini dari semasa ke semasa paras air di seluruh negara.

Pagi tadi laman berkenaan melaporkan setakat jam 6.45 pagi kawasan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada paras bahaya apabila mencatat 4.29 meter manakala Sungai Langat di kawasan Dengkil, Sepang berada pada paras amaran dengan ketinggian 7.07 meter.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Sungai Langat naik paras bahaya, orang ramai diminta waspada

SHAH ALAM, 27 DIS: Aras Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country, Hulu Langat naik pada paras bahaya susulan hujan lebat selama dua jam petang tadi.

Susulan itu Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menerusi kenyataan jam 6.30 petang tadi menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dua kes banjir kilat dilaporkan di Kajang hari ini tetapi tidak membabitkan sebarang mangsa, lapor FMT.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata banjir kilat itu melanda Pangsapuri Glen Court di Bandar Sungai Long pada 5.19 petang dan Taman Lembah Mewah pada 5.35 petang.

Beliau berkata, berlaku limpahan air dari kolam berhampiran dengan kedalaman satu kaki.

“Bagaimanapun, ia surut sepenuhnya sebaik sahaja pihak bomba tiba di sana,” katanya.

Norazam berkata, kejadian kedua di Taman Lembah Mewah setinggi dua kaki pula berpunca daripada hujan lebat dan longkang tersumbat di kawasan terbabit, tetapi air semakin surut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf Sungai Langat dijangka siap pertengahan November

KAJANG, 27 OKT: Projek menaik taraf Sungai Langat bagi mengatasi isu banjir dijangka selesai sepenuhnya pertengahan November ini sejak dimulakan tiga bulan lalu.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki memaklumkan projek bernilai RM1.18 juta itu berjalan mengikut jadual hasil kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat.

“Kita percaya kerja penstabilan tebing dan pendalaman sungai ini bakal melegakan lebih 50,000 penduduk sekitar Bandar Kajang dan Sungai Chua apabila siap nanti.

“Malah, kita nampak projek ini telah menunjukkan perkembangan yang agak baik kerana kawasan terbabit tidak dilanda banjir meskipun taburan hujan mencapai 116 milimeter minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di pejabat pusat khidmatnya di sini semalam.

Siew Ki turut berterima kasih kepada jabatan berkaitan kerana bekerja keras bagi menyempurnakan projek terbabit.

“Saya menghargai usaha mereka yang turut membantu memohon peruntukan untuk menjalankan projek berkenaan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sungai Langat hampir tercemar, tindakan pantas halang LRA dihenti tugas

KAJANG, 3 FEB: Tindakan pantas agensi penguatkuasa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mengekang henti tugas loji rawatan air (LRA) susulan penemuan 19 tong berisi 165 liter cecair kimia di tanah rizab sungai di Jalan Reko, dekat sini, kira-kira 10 meter dari Sungai Langat, semalam.

EXCO alam sekitar berkata cecair seakan bahan pelarut dan penipis cat ditemui kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas menerima aduan orang awam terletak 13 kilometer (km) dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan 24 km dari LRA Bukit Tampoi.

“Siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi mendapati tumpahan cecair terbabit tidak mengalir masuk ke laluan Sungai Langat.

Pengambilan sampel dilakukan petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pembuangan bahan kimia di rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Susulan tindakan pantas yang diambil berjaya mengelakkan berlakunya henti tugas LRA. Bahan itu sepatutnya dilupuskan di kawasan ditetapkan selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Hee Loy Sian pada sidang media selepas meninjau lokasi berkenaan.

Menurutnya, pihak yang membuang cecair terbabit sudah dikenal pasti namun siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan diambil.

“Jika bersalah hukuman berat akan dikenakan mengikut Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM2 juta.

“Pemberi maklumat akan diberikan ganjaran RM20,000 sekiranya pelaku ditahan dan dijatuhkan hukuman kerana mencemarkan sungai,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri lulus RM19.1 juta baik pulih benteng penahan banjir

DENGKIL, 18 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM19.1 juta untuk membaik pulih benteng penahan banjir Sungai Langat bagi mengatasi isu kekerapan banjir di kawasan berkenaan, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata kerja naik taraf sepanjang lapan kilometer di sungai tersebut dijangka bermula tahun hadapan dan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pada tahun ini saja, sudah dua kali banjir berlaku iaitu pada 18 Julai dan kali kedua pada 31 Julai lalu ketika Hari Raya Aidiladha, semuanya disebabkan taburan hujan yang tinggi sehingga menyebabkan benteng penahan pecah.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri harap projek ini dapat menyelesaikan masalah dan melegakan penduduk kerana banjir menyebabkan banyak kerugian kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak naik taraf ban Sungai Langat di Taman Permata Dengkil bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Datuk Ir Gapar Asan di sini, hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor melaporkan 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir kilat membabitkan Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak dan Kampung Sri Jambu.

Turut terjejas Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras; Sungai Raya, Batu 9; Kampung Bangi; Taman Muhibah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; Kawasan Medan Stay Kajang; Taman Taming Jaya; SMK SAAS, Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan SRA Sungai Serai.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Projek penahan banjir Sungai Langat dalam proses tender – EXCO

KAJANG, 19 JULAI: Projek pembinaan benteng penahan banjir di Sungai Langat dalam proses tender oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

EXCO alam sekitar berkata projek jangka pendek membabitkan pembinaan sepanjang 150 meter di sungai itu dijangka siap tahun ini dengan kos keseluruhan RM200,000.

“Dalam proses tender. Kita harap selepas siap ia mampu menghalang air hujan masuk ke kawasan ini,” kata Hee Loy Sian ketika meninjau keadaan banjir di Jalan Mandaling hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kajang berkata jabatan itu juga memohon peruntukan berjumlah RM140 juta daripada kerajaan pusat bagi projek tebatan banjir di sungai berkenaan.

“Ini melibatkan projek besar yang mungkin berlanjutan sehingga lima tahun, jadi kita harap (kerajaan pusat) boleh bantu dan segerakan pelaksanaannya.

“Kita khuatir jika hujan lebat paras air akan naik lagi seperti terjadi (semalam) yang bukan hanya menjejaskan penduduk di pekan Kajang, malah di Batu 9, Batu 10 dan Batu 13 Hulu Langat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Warta Sungai Selangor & Langat elak diceroboh

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 MEI: Pewartaan khas Sungai Selangor dan Sungai Langat oleh Kerajaan Negeri membantu menyelamatkan sungai itu dari diceroboh atas alasan pembangunan.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong beliau mahu memastikan anak sungai di DUNnya terpelihara daripada pencemaran akibat aktiviti berisiko tinggi.

Sg Selangor“Pewartaan ini banyak membantu menyelamatkan anak sungai dari tercemar.

“Dua batang sungai diwartakan itu, melibatkan hampir 300 anak sungai. Menerusinya, 50 meter kawasan tebing sungai (kanan dan kiri) terpelihara kerana ia adalah zon perlindungan,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, pihaknya menemui beberapa lot tanah dalam sungai dan kes itu dirujuk kepada jabatan terlibat untuk tindakan susulan.

“Terdapat juga kawasan perusahaan Kuala Kubu Bharu di Sungai Kubu diwartakan ketika era pemerintahan Barisan Nasional pada 1984.

“Kes itu dirujuk Pegawai Daerah, untuk pastikan sama ada ia masih tanah kerajaan atau lot individu.

“Kita cuba selamatkan kawasan itu daripada status perusahaan memandangkan ia belum lagi dimajukan,” katanya.

Beliau menjangkakan perbincangan lanjut bersama Pegawai Daerah berhubung pekara itu berlangsung bulan depan.

Pada 2013, Kerajaan Negeri mengumumkan Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartawaan khas supaya ia terpelihara dari pencemaran di masa hadapan.

Pewartawaan ini termasuk semua punca dan anak-anak sungai di dalam negeri Selangor yang mengalir ke dua sungai itu.

“Usaha memastikan anak sungai terpelihara memerlukan peranan semua pihak. Saya memandang serius perkara ini demi memastikan sungai sebagai agen pengalir sentiasa berupaya menyumbang sumber air baik dan berkualiti,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Tingkat pantau Sungai Langat elak jejas sumber air

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) harus memperketatkan kerja pemeriksaan dan penguatkuasaan pencemaran sungai di sepanjang Sungai Langat.

Ia kerana terdapat beberapa kilang disyaki melakukan aktiviti pencemaran sungai menjadi penyebab pencemaran sumber air mentah.

Sungai LangatADUN Balakong, Ng Tien Chee berkata, perkara ini dimaklumkan Syabas Wilayah Hulu Langat bahawa paras ammonia air mentah di ‘intake point’ Sungai Langat mencecah 3.50 ppm dan 1.52 ppm bagi air terawat.

Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11 Cheras terpaksa dihentikan operasinya pada pukul 11.30 pagi, 9 September akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Langat.

“Pihak pengusaha LRA Batu 11 Cheras harus memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat mengenai tindakan diambil.

“Mereka harus menangani masalah ini lebih awal dan ia tidak sepatutnya berulang kerana isu ini bukan isu baru,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menyeru supaya pihak berkenaan merancangkan pelan komprehensif untuk mengatasi permasalahan ini agar aktiviti harian pengguna air tidak terjejas akibat penutupan LRA.

“Penutupan LRA ini menyebabkan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Balakong dari Pekan Batu 11 Cheras sehingga ke Taman Impian Ehsan dan Kampung Baru Balakong menghadapi gangguan bekalan air tidak terjadual.

“Jangka masa pemulihan bekalan tertakluk kepada tahap penurunan paras ammonia,” katanya.

EZY

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Exco: Sungai Selangor, Sungai Langat diwartakan

sg-selangor-eliSHAH ALAM, 4 Sept: Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong mengumumkan Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartawaan khas supaya ia terpelihara dari pencemaran di masa hadapan.

Pewartawaan ini termasuk semua punca dan anak-anak sungai di dalam negeri Selangor yang mengalir ke dua sungai itu.

“Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartaan khas bagi memelihara kawasan sungai. Kita hanya menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Selangor untuk melaksanakannya,” kata Elizabeth.

Sungai Langat yang sepanjang 149.3 km dari hulu ke muara mengalir dari Gunung Nuang di daerah Hulu Langat hingga ke Selat Melaka di Kuala Langat, serta merentasi tiga bandar utama iaitu Cheras, Kajang dan Bandar Baru Bangi.

Sungai Langat ini menjadi sumber air mentah utama kepada 7 buah loji rawatan air iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg Pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.

Sungai Selangor pula sepanjang 77 km dan mengalir dari Kuala Kubu Bharu dan mengosong ke dalam Selat Melaka di Kuala Selangor. Sungai ini menyumbang 60 peratus sumber air mentah kepada empat loji rawatan air bagi memenuhi keperluan warga Lembah Klang.