Categories
AGENSI SELANGOR

LUAS kesan kilang punca ratusan ikan mati di Sungai Penchala

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan sebuah kilang disyaki melepaskan bahan kimia hingga mengakibatkan ratusan ikan mati di Sungai Penchala, Petaling Jaya kelmarin.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan longkang di premis berhampiran Jalan Professor Koy Khee Kim yang beroperasi pada jarak 165 meter dari sungai terbabit juga masih keruh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kilang tersebut melepaskan efluen mentah ke longkang setelah ujian pH
yang dibuat merekodkan bacaan 10. Pensampelan efluen dibuat di tapak bagi analisa lanjut,” katanya.

“Jabatan Perikanan Selangor turut mengambil sampel ikan dan air sungai manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara memeriksa loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium yang berhampiran.”

Luas berkata tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 iaitu penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

Agensi itu turut menyeru masyarakat segera membuat aduan jika ternampak aktiviti yang disyaki berpotensi menyebabkan pencemaran.

Pada 12 Ogos, Luas memaklumkan menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor susulan
kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di Sungai Penchala.