Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga beroperasi seperti biasa, simpan bekalan air sejak awal

KUALA LANGAT, 14 OKT : Premis di sekitar Pekan Banting di sini masih meneruskan operasi perniagaan seperti biasa meskipun kerja penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam.

Mohd Annas Firdaus Borhanudin

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Annas Firdaus Borhanudin, 37, berkata sebaik tahu kerja naik taraf loji dilakukan untuk beberapa tempoh, dia dan pekerja siap sedia menyimpan enam tong air.

“Alhamdulillah setakat ini air di kedai makan masih ada dan perniagaan berjalan seperti biasa. Jika tiada air pun tidak bimbang sangat kerana enam tong air disediakan sejak awal lagi,” katanya.

Beliau ketika ditemui di kedai makannya di Selera Tujuh, Pekan Banting berharap kerja baik pulih aset loji dapat disiapkan lebih awal dan tiada kes bekalan air terputus lagi selepas ini.

Manakala, pemilik kedai cucian kereta Lim Tee Wey berkata dia menyediakan 30 tong air bersaiz sederhana selepas dimaklum mengenai penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1.

Lim Tee Wey

“Persediaan (menadah air) perlu walaupun setakat ini air masih ada…kami tidak bercadang untuk menutup kedai jika ketiadaan air kerana cukuplah ditutup lama akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerak),” katanya.

Pemilik kedai dobi Lim Yoon berkata kedainya dibuka seperti biasa meskipun tiada air untuk mencuci baju.

“Setakat ini kita sudah maklumkan kepada pelanggan yang datang hantar pakaian untuk dicuci supaya mereka ambil lewat sikit selepas adanya air dan mereka bersetuju sahaja,” katanya.

Lim Yoon

Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap dilaksanakan jam 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat jam 6 pagi sistem rawatan air loji telah distabilkan dan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat mulai jam 5 petang ini.

Bermula semalam hingga Sabtu, kerja penyenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor: Naik taraf aset kritikal loji rawatan siap 83.9 peratus

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 berada pada tahap 83.9 peratus setakat jam 5 petang tadi.

Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal dijangka pulih jam 11 malam ini, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas sistem bekalan air telah distabilkan, dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan jam 6 petang.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sebelum ini diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Naik taraf aset kritikal siap lebih awal, capai lebih 76 peratus

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 siap lebih awal daripada jadual asal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja baik pulih berada pada tahap 76.4 peratus setakat jam 3 petang ini berbanding jangkaan awal 65 peratus.

“Saya dimaklumkan oleh Air Selangor bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset air berjalan lancar dan lebih awal dari jadual asal.

“Setakat jam 3 petang tadi telah mencapai tahap 76.4 peratus lebih awal dari jadual asal iaitu 65 peratus. Alhamdulillah,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kerja baik pulih dijangka siap malam ini dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat mengikut jadual.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sebelum ini diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman sesawang dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Selangor, pengusaha kolam ikan keli didakwa

KUALA KUBU BHARU, 23 FEB: Seorang pengusaha kolam ikan keli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan susut bekalan air, Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, dekat sini, pada 7 Disember 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

“Kes ini juga telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam. Kes ini juga adalah kes pencemaran keempat sejak Januari 2020.

“Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan yang cukup tinggi bagi menunjukkan mahkamah memandang serius kes sebegini,” katanya yang mengendalikan kes bersama-sama TPR Ashyraf Ashyari Kamaruzaman.

Peguam Zulfahami Abu Bakar yang mewakili Tan memohon jaminan rendah, mengambil kira faktor ekonomi tertuduh yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

“Anak guam saya bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dia juga menanggung keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Disember tahun lepas, Bernama melaporkan seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat pekerjanya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 7 Disember tahun sama.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kolam ikan keli sebabkan Sungai Selangor tercemar ditahan

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Seorang pengusaha kolam ternakan ikan keli tanpa lesen bersama empat pekerja warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pencemaran air di Sungai Selangor, Selangor pada 7 Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lelaki berumur antara 28 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi serbuan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor pada Selasa.

Beliau berkata pemilik kolam ikan keli berumur 50 tahun yang terletak di Serendah, Selangor itu dipercayai melepaskan air kolam ikan keli miliknya sehingga membawa kepada pencemaran itu.

“Siasatan lanjut turut mendapati kolam ternakan itu beroperasi tanpa lesen sejak tiga tahun lepas manakala kesemua suspek direman selama sehari bermula semalam.

“Polis akan memohon sambungan reman di Mahkamah Majistret Hulu Selangor bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

Pada 8 Dis, Bernama melaporkan pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dekat Hulu Selangor, terpaksa dihenti tugas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati terdapat bau bangkai ikan pada sampel sumber air mentah yang diperoleh di Sungai Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

458 kawasan terjejas terima semula bekalan air

SHAH ALAM, 9 DIS: Sebanyak 458 daripada 861 kawasan terjejas menerima semula bekalan air setakat jam 10 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan di 403 lagi kawasan terjejas sedang distabilkan.

“Bekalan air di Kuala Lumpur pulih 78 peratus, Petaling (67 peratus), Gombak (42 peratus) dan Klang/Shah Alam (34 peratus).

“Kawasan Hulu Selangor dan Kuala Langat pula masih belum menerima bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sungai tercemar: LUAS buat persampelan bau di tiga lokasi

SHAH ALAM, 8 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan persampelan bau di tiga lokasi susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) tengah malam tadi.

Menurut agensi, lokasi tersebut melibatkan kawasan pam Sungai Selangor, kolam takungan hiliran (ORS) Bestari Jaya dan LRA Rantau Panjang.

“Selain itu pegawai LUAS juga sedang mengambil sampel air di aliran yang keluar dari kolam ikan keli menuju ke Sungai Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kolam ternakan ikan keli di Sungai Tinggi, Hulu Selangor dipercayai menjadi punca empat LRA dihenti tugas.

Katanya, berdasarkan siasatan premis terbabit membuat pelepasan besar air dari satu kolam menyebabkan air mengalir ke Sungai Selangor malah ia beroperasi tanpa lesen.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kira-kira empat jam akibat pencemaran air Sungai Selangor tengah malam tadi.

Pengguna di tujuh wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mula menerima air secara berperingkat mulai jam 3 petang tadi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

50 peratus kawasan terjejas terima bekalan air

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebanyak 50 peratus daripada 861 kawasan terjejas menerima bekalan air sehingga jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kawasan berdekatan dengan loji rawatan air (LRA) di Kuala Selangor menerima bekalan sebanyak 94 peratus.

“Bekalan air di Kuala Lumpur pula pulih 75 peratus, Petaling (67 peratus), Gombak (42 peratus) dan Klang/Shah Alam (21 peratus).

“Kawasan Hulu Selangor dan Kuala Langat pula masih belum menerima bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 60 peratus bekalan pulih di KL, keseluruhan 242 kawasan terima air

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebanyak 62 peratus daripada keseluruhan 247 kawasan di Kuala Lumpur sudah menerima bekalan air sehingga jam 3.30 petang hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kawasan berdekatan dengan LRA melibatkan kawasan di Kuala Selangor sudah menerima bekalan sebanyak 94 peratus.

Agensi itu berkata sebanyak 28 peratus melibatkan 242 kawasan daripada jumlah keseluruhan 861 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya.

“Pengguna yang menerima bekalan air dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan pelan pemulihan bekalan air berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor berkata sebanyak 30 peratus kawasan di Petaling pulih manakala di kawasan Shah Alam/Klang sebanyak 12 peratus, Gombak (7 peratus).

Sementara itu 23 kawasan di Hulu Selangor dan 10 kawasan di Kuala Langat masih belum menerima bekalan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kolam ikan keli punca sungai tercemar beroperasi tanpa lesen

HULU SELANGOR, 8 DIS: Kolam ternakan ikan keli di Sungai Tinggi di sini dipercayai menjadi punca empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas kira-kira empat jam.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata berdasarkan siasatan premis terbabit membuat pelepasan besar air dari satu kolam menyebabkan air mengalir ke Sungai Selangor, malah ia beroperasi tanpa lesen.

“Pemilik premis akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 79 Enakmen Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) 1999 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM200,000 sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberhentikan pelepasan serta-merta dan menjalankan pemulihan segera ditapak,” katanya selepas melawat kolam ternakan ikan itu hari ini.

Loy Sian bagaimanapun berkata pencemaran berjaya diatasi dengan pelepasan air dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 bagi meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor dan LRA dapat beroperasi pada jam 5 pagi.

Menurutnya, premis di tanah hak milik PT15680 dan PT523, Mukim Sungai Tinggi itu berkeluasan 45 hektar dan mempunyai 57 kolam ikan dengan jarak 8.7 kilometer dari LRA Rantau Panjang.

“Kita harap polis juga akan buat siasatan berhubung kejadian ini dengan membuat hukuman lebih berat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran air Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Pengguna di tujuh wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat bakal menerima air secara berperingkat mulai 3 petang ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Roboh bengkel jentera berat di tebing sungai elak cemar air – EXCO

GOMBAK, 24 NOV: Kerajaan Negeri menfokus operasi meroboh bengkel membaiki dan menyimpan jentera berat yang dibina tanpa kebenaran di tebing sungai.

EXCO alam sekitar berkata kebanyakan kes gangguan bekalan air di Selangor berpunca daripada sisa pelarut dan minyak hitam yang mengalir ke dalam sungai ketika menyelenggara jentera.

“Sebagai permulaan kita robohkan lapan premis di Rawang dan ada antara premis ini pernah dikenakan tindakan kerana melakukan pencemaran sungai.

“Hari ini dua bengkel jentera berat yang beroperasi sejak 15 tahun diroboh dan baki enam lagi memerlukan sedikit masa sebab melibatkan struktur binaan yang besar dan banyak,” katanya.

Hee Loy Sian ditemui pemberita selepas meninjau operasi meroboh dua premis yang menduduki tanah kerajaan seluas 0.93 hektar di tebing Sungai Rawang berhampiran Kampung Dato Lee Kim Sai hari ini.

Ditanya berhubung kelewatan mengambil tindakan terhadap premis terlibat, beliau berkata Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang beberapa kali mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik.

“Malah terbaru kita keluarkan notis pengosongan sejak September namun selepas dua bulan mereka masih beroperasi atas tanah kerajaan, jadi hari ini kita robohkan struktur,” katanya.

Bengkel membaiki jentera berat dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

 

Perobohan bengkel membaiki jentera berat dilaksanakan Majlis Perbandaran Selayang selepas  notis pengosongan diberikan kepada pemilik premis di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

 

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian meninjau bengkel simpanan jentera berat ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Selangor: Pengarah syarikat direman sehari lagi

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Tempoh tahanan reman terhadap seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, dilanjut sehari lagi oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah itu ke atas suspek lelaki berumur 58 tahun, selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga esok (20 November).

Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 13 November lepas di mahkamah sama bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air, sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman terhadap suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren bermula pada 9.30 pagi dan selesai 10 pagi. Sebelum ini, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya ditahan reman berhubung kes sama.

Media sebelum ini melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual, melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA