Categories
SELANGOR

Anwar nafi arah, cuma minta penjelasan MB

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 SEPT: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau ‘mengarahkan’ Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengkaji semula kenaikan gaji wakil rakyat, pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan perjanjian penstrukturan air.

Anwar menjelaskan beliau hanya meminta penjelasan samada perjanjian-perjanjian itu mengikut undang-undang atau sebaliknya.

Beliau juga menafikan menuduh mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan rasuah.

forumunisel1“Saya tidak tuduh rasuah, tapi tidak ada ketelusan,” tegas Anwar.

Berhubung isu air, Anwar melahirkan kekhuatiran diatas pemeteraian perjanjian air yang dibuat secara tergesa-gesa. Anwar juga persoal siapa yang mendapat kontrak dan keuntungan daripada perjanjian itu.

“Nak berebut luluskan kontrak air itu sebab apa?

“Siapa yang dapat kontrak dan berapa banyak keuntungan itu. Jika terlalu banyak untuk dua ke tiga orang atasan memperolehi kekayaan adakah itu akan jadi kesan dan beban kepada rakyat Selangor yang mesti membayar kadar air yang tinggi?,” soal beliau.

Manakala bagi isu Lebuhraya Kidex pula, Anwar menuntut semakan dibuat kerana mengundang bantahan daripada penduduk.

“Jadi saya nak tahu kepimpinan mana yang untung. Umno mana yang dapat? Peguam Umno mana yang terbabit? Kenapa kita negeri perlu tunduk kepada keputusan itu,” soal Anwar.

Anwar turut mempersoalkan pembangunan projek kediaman mampu milik ‘Rumah Selangorku’ di Sungai Sering.

“Begitu juga 70 ekar tanah Sungai Sering kepada Tan Sri Rashid Manaf. Siapa yang tentukan harga?,” soal beliau.

Anwar berkata jika pentadbiran Abdul Khalid dianggap baik meskipun timbulnya persoalan-persoalan ini, maka rakyat Selangor mempunyai kefahaman tatakelola yang lemah.

Sebelum ini, Selangor Kini melaporkan pengambalian operasi dan aset air negeri kepada entiti milik rakyat Selangor iaitu Air Selangor Sdn Bhd.

Selangor Kini juga pernah melaporkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menolak permohonan untuk menggerakkan pembinaan lebuhraya Kidex sebanyak tiga kali selepas pemaju gagal menyerahkan laporan impak terkemaskini seperti yang diminta Kerajaan Negeri.

Manakala pemaju Rumah Selangorku di Sungai Sering, Ecoworld Development Group Berhad dikatakan layak kerana mempunyai kemahiran dan memenuhi syarat yang dikehendaki Jawatankuasa Khas Penilaian Kontrak Projek Rumah Selangorku Sungai Sering yang terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Perumahan, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta pakar-pakar bidang pembinaan.

HM

Rumah Selangorku guna RM100 juta rizab Selangor

Projek ‘Rumah Selangorku’ pertama yang akan dibina di Sungai Sering, Hulu Kelang akan menggunakan RM100 juta daripada rizab Kerajaan Negeri yang berjumlah RM3 bilion.

Categories
SELANGOR

Penduduk Sungai Sering Lega, Rumah Terbengkalai Terima CF

SETIAWANGSA,10 FEB : Penantian selama hampir sembilan tahun penghuni rumah kos rendah Taman Ukay Indah Sungai Sering berakhir apabila projek terbengkalai berkenaan diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan penyerahan Sijil Layak  Menduduki (CF) kepada penduduk terbabit.

Rata-rata penghuni yang ditemui melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Siti Suriani Ridawi,29, berkata sebelum menerima sijil layak menduduki, keluarganya terasa beban untuk memiliki rumah tersebut kerana pada masa yang sama perlu membayar rumah sewa dan pinjaman perumahan tambahan.

“Saya sudah menunggu sejak 2006, apabila menerima CF ini maka beban keluarga saya akan berkurangan kerana terpaksa membayar banyak kos untuk rumah tambahan pinjaman sudah bermula sejak 2008 yang perlu dibayar,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Turut tidak sabar berpindah ke rumah baru ialah Mohd Mahzan Ibrahim,29.

“Saya tak larat untuk membayar bagi dua rumah iaitu yang disewa dan yang dibeli ini, kalau dah dapat ini kira Alhamdulillah dan dapat masuk rumah secepat mungkin,” katanya.

Bagi warga emas Hashim Ngasimin,77, beliau lega kerana sudah mendapat sijil layak menduduki walaupun rumah kecil namun ia merupakan kelegaan kerana ia adalah rumah sendiri dan tidak perlu menyewa di mana-mana.

“Saya bagi pihak anak saya memang syukurlah kerana ia perkara yang ditunggu-tunggu selama ini dan nampaklah nyata hari ini, jadi mana yang dapat itu bolehlah duduk di rumah baru secepat mungkin,” saran beliau.

Sebelum itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pelaksanaan projek ini membuktikan bahawa kerajaan negeri begitu prihatin dengan nasib golongan ini dan berusaha memberikan tempat tinggal yang sempurna.

“Kerana dengan itu kita dapat buktikan kepada rakyat dan kita bukan cakap sahaja tetapi kita tunjukkan kepada Umno-BN kita lebih layak mengurus dan kita lebih telus mengurus negeri ini dengan cara terbaik,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid juga berkata, beliau mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan ahli-ahli majlis di kawasan berkenaan untuk memantau projek pembangunan dan perumahan agar kes rumah terbengkalai tidak berulang.

Beliau juga menyarankan agar penambahan jalan masuk ke kawasan perumahan ini disegerakan.

Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, Adun Hulu Klang, Saari Sungip,Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya(MPAJ),Datuk Mohammad Yacob,dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datin Paduka Alinah Ahmad.

Sebelum ini, Pembangunan Rumah Kos Rendah Taman Ukay Indah Sungai Sering berjumlah 660 unit dengan 15 tingkat yang terdiri daripada blok A dan B. Perumahan kos rendah ini dimajukan oleh Tetuan Triumph City Development Sdn Bhd dan merupakan perumahan kos rendah penempatan Semula Setinggan.

Projek ini termasuk dalam projek perumahan Rumah Kos Rendah yang lewat disiapkan bagi tujuan penempatan semula setinggan di sekitar Mukim Hulu Kelang,melibatkan 11 penempatan yang kesemuanya berjumlah 660 keluarga.