Categories
AGENDA NASIONAL

Derma darah tujuh hari selepas suntik vaksin jika tiada kesan sampingan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Pusat Darah Negara (PDN) meminta agar orang ramai menangguhkan aktiviti menderma darah hingga tujuh hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 jika tiada kesan sampingan.

Menurut PDN dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam, individu yang menghadapi kesan sampingan ringan setelah menerima vaksin, dibolehkan menderma darah selepas tujuh hari sembuh daripada sebarang gejala.

PDN memaklumkan penangguhan aktiviti derma darah ini membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNtech, Sinovac dan AstraZeneca.

“PDN sangat mengalakkan penderma darah untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan orang lain. Penderma darah masih boleh menderma darah dalam tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

PDN memaklumkan bahawa maklumat lanjut berkaitan tempoh penangguhan menderma darah bagi pengambilan jenis vaksin Covid-19 lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Jais hubungi guru Kafa yang belum terima vaksin

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang berusaha menghubungi guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang belum mendapat suntikan vaksin.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata Jais menerusi bahagian pendidikan telah menghubungi sebahagian 316 guru Kafa yang dilapor belum menerima vaksin sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini kita telah memberi makluman awal kepada guru Kafa untuk mendapatkan vaksin cuma yang tinggal ini adalah kelompok yang mempunyai masalah seperti alahan, mengandung dan ada juga yang menolak.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni ditemui pada program Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan di Hotel Acapella, Seksyen 13, Shah Alam pada 9 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita akan pastikan mereka semua ini menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian.

Berdasarkan laporan Jais, seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya menolak serta enam daripada sembilan jurunikah turut memilih enggan divaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

14,855 kes jangkitan Covid-19 tiada sejarah vaksin, tidak lengkap suntikan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 14,855 kes atau 73.6 peratus daripada 20,988 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap suntikan vaksin.

Data dikongsikan ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan 9,860 pesakit tiada vaksin, 4,995 orang telah menerima satu dos manakala 6,133 telah lengkap suntikan pelalian.

Pesakit kategori dua (bergejala ringan) merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 10,979 kes sementara kategori satu (tiada gejala) 9,668 kes.

Kategori tiga (radang paru-paru) pula mencatatkan 171 kes, kategori empat (perlu bantuan oksigen) sebanyak 63 kes dan kategori lima (kritikal) 107 kes.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius dan kematian sekali gus membina imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes kematian direkodkan hari ini dengan 184 daripadanya mempunyai sejarah penyakit kronik manakala 80 maut di luar hospital.

Kematian tertinggi dicatatkan di Selangor membabitkan 61 kes diikuti Johor dengan 40.

Angka korban di negeri dan wilayah dan negeri lain seperti berikut:

Pulau Pinang – 39
Sabah – 33
Kedah – 16
Kuala Lumpur – 16
Melaka – 13
Perak – 9
Sarawak – 8
Kelantan – 6
Negeri Sembilan – 4
Terengganu – 3
Perlis – 1

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat cadang suntikan ke rumah untuk warga emas, individu terlantar

SHAH ALAM, 4 OGOS: Wakil rakyat Sentosa akan melaksanakan program suntikan dari rumah ke rumah bagi membantu golongan tertentu yang berdepan masalah ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Dr Gunaraj George berkata inisiatif dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah daerah Klang menyasar warga emas, orang kelainan upaya dan individu yang terlantar.

“Perkara ini sedang dalam perbincangan dan tarikh pelaksanaan akan diputuskan dalam masa terdekat. Mungkin pada 10 dan 11 Ogos mengikut keupayaan pasukan berkenaan kerana keanggotaan agak terhad.

“Mereka akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan memberi vaksin kepada golongan sasar yang diperuntuk bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini hari ini.

Seramai 300 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dijangka menerima dos pertama vaksin bawah program tersebut termasuk tanpa janji temu.

Sementara itu, Gunaraj berkata persatuan penduduk digerakkan bagi menguar-uarkan program Selvax Komuniti untuk memastikan lebih ramai individu menerima manfaat.

“Hasrat kita untuk memastikan seluruh penduduk divaksin sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok. Kita bimbang kes harian Covid-19 semakin meningkat termasuk angka kematian,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Categories
AGENDA NASIONAL

CITF: Petugas PPV beri suntikan kosong kena tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, CITF berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Tegas CITF, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

“Mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lepas di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.

Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

“ATM telah membuat siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya.

Selain itu, dua lagi dakwaan kes sama turut dilaporkan masing-masing di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Sabtu lepas dan PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Selangor semalam.

Menurut CITF, kes berkenaan dalam siasatan polis dan perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kadar pemberian vaksin di Selangor mampu capai 10 peratus esok

BANGI, 10 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin kadar suntikan vaksin di Selangor mampu mencapai 10 peratus seperti disasar Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Dato Seri Amirudin Shari berkata setakat ini kadar tersebut meningkat kepada 9.8 peratus iaitu lebih 92,000 individu divaksin di bawah program berkaitan, tidak termasuk Vaksin Selangor (Selvax).

“Daripada segi persediaan dan kemampuan bekalan, Selangor berada di landasan tepat. Kita yakin jika kekal pada momentum ini kadar disasar dapat dicapai esok.

“Malah, dengan beberapa penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) dan bekalan yang mula datang, kita boleh mencapai 135,000 pada bulan ini dan 165,000 pada Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat program pemberian vaksin di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Pada 15 Jun, kerajaan Selangor dan Persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Khairy berkata hanya 43,000 rakyat Selangor divaksin setiap hari ketika ini dan jumlah itu bakal meningkat kepada 165,000 orang menjelang Ogos.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti, suntikan vaksin dilaksana seiring langkah kawal Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Negeri melaksanakan Saringan Komuniti seiring dengan kempen suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaan melindungi generasi muda yang belum layak menerima imunisasi.

Dato’ Menteri Besar berkata kawalan kesihatan perlu diteruskan meskipun negara telah mencapai imuniti kelompok pada masa depan.

“Saya ambil contoh United Kingdom bagaimana kejayaan vaksinasi mereka sekitar 56 peratus tetapi tetap melakukan saringan awam dan bersasar sehingga lebih 1.8 juta disaring sehingga hari ini.

“Kita harus melihat walaupun imuniti kelompok berjaya dicapai namun ia tidak capai 100 peratus kerana masih ada golongan tidak boleh divaksinasi iaitu generasi bawah usia 18 tahun.

“Andai kata imuniti kelompok dapat dicapai, kerajaan mula membenar rentas sempadan dan akhirnya Covid-19 kembali semula. Oleh itu, jangan terlalu awal isytihar kejayaan, kita perlu berdisiplin kekal mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam tadi.

Kerajaan Negeri giat menjalankan program Saringan Komuniti percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.

Semalam, Amirudin menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan Kerajaan Negeri melancarkan program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat dengan implikasi kewangan RM200 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan banding vaksin, terima suntikan demi keselamatan

SHAH ALAM, 9 JUN: Masyarakat dinasihat tidak membandingkan jenis vaksin sama ada Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, kata Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Dato’ Dr Khalid Ibrahim sebaliknya mereka perlu menerima suntikan dan melengkapkan kedua-dua dos bagi mencapai imuniti kelompok di samping menjaga keselamatan nyawa sendiri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak.

“Vaksin mana sangat berkesan adalah vaksin yang kamu terima, saya minta anda semua tidak membandingkan jenisnya, yang penting adalah keselamatan nyawa,” katanya menerusi siaran langsung ‘Forum Covid-19: Vaksin Mana Yang Terbaik’ menerusi Facebook malam tadi.

Selain itu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat tidak seharusnya menyebarkan berita palsu yang hanya akan menakutkan segelintir individu untuk menerima vaksin.

“Sebagai contoh, vaksin AstraZeneca sebelum ini ada kes mati di beberapa negara selepas menerima suntikan tersebut. Namun, hakikatnya sekarang apabila kerajaan buka secara sukarela ramai orang berebut untuk dapatkannya.

“Saya menyeru anda semua jangan mengemparkan sesuatu perkara sebaliknya terima apa sahaja vaksin diperoleh,” katanya.

Setakat 6 Jun lalu, seramai 238,474 petugas barisan hadapan serta 248,013 warga emas dan golongan berpenyakit di negeri ini telah menerima satu dos vaksin.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Empat juta rakyat Selangor perlu divaksin bagi capai imuniti kelompok

SHAH ALAM, 9 JUN: Sekurang-kurangnya empat juta rakyat Selangor perlu menerima suntikan vaksin agar matlamat imuniti kelompok dapat dicapai, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu adalah 80 peratus daripada 6.5 juta anggaran keseluruhan penduduk di negeri ini.

“Jumlah itu tidak termasuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang mana belum ada bukti kukuh golongan ini layak untuk disuntik vaksin.

“Justeru, jika kita berjaya mencapai angka 80 peratus, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi 20 peratus lagi orang yang tidak mendapat suntikan sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ‘Forum Covid-19: Vaksin Mana Yang Terbaik’ menerusi siaran langsung di Facebook malam tadi.

Turut menampilkan Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO), Prof Madya Dr Mohammad Farhan Rusli dan Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Dr Siti Mariah turut mengulas berhubung vaksin yang mahu dibeli Selangor sama sekali tidak bermaksud memotong barisan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksana Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri mahu mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat disamping membantu kerajaan menyelesaikan PICK.

Pada 18 Januari, Selangor mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tidak benar Klinik Kesihatan Tanjung Karang buka daftar vaksin

SHAH ALAM, 3 JUN: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor menafikan Klinik Kesihatan Tanjung Karang membuka pendaftaran suntikan vaksin kepada orang awam seperti tersebar di aplikasi WhatsApp.

Menerusi Facebook hari ini, agensi tersebut menegaskan mesej ditularkan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Slot suntikan terhad bagi pesakit NCD (penyakit tidak berjangkit) yang sedang dalam rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Karang. Pesakit berkenaan telah dikenal pasti sesuai untuk divaksin oleh doktor yang merawat.

“Mereka telah mendaftar dengan MySejahtera dan bersetuju untuk menerima suntikan vaksin pada tarikh akan ditetapkan,” katanya.

PKD Kuala Selangor juga menegaskan individu yang hadir ke klinik bagi tujuan berkenaan tidak akan dilayan.

Berdasarkan mesej tular dikongsi PKD Kuala Selangor, Klinik Kesihatan Tanjung Karang didakwa membuka senarai untuk suntikan vaksin dan hanya diadakan sebanyak dua kali serta terhad kepada 200 orang sehari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas daerah, negeri bagi tujuan suntikan vaksin tidak perlu surat polis

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Individu yang perlu merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah tempat tinggal mereka tidak perlu memohon surat kebenaran daripada pihak polis.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan malam ini berkata mereka hanya perlu menunjukkan butiran janji temu yang dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS ketika melalui sekatan jalan raya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Selangor yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi.

Enam daerah di Selangor yang diletakkan di bawah PKP bermula 6 hingga 17 Mei iaiah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kawal penularan wabak, EXCO harap rakyat yakin ambil vaksin

SHAH ALAM, 26 FEB: Program suntikan vaksin yang bermula secara rasmi di Selangor semalam diharap memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani proses itu.

EXCO kesihatan awam berkata langkah tersebut penting bagi mengawal penularan wabak berikutan negeri ini menyumbang 33 peratus daripada keseluruhan kes dalam negara.

“Kita menyambut baik proses ini dan akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara.

“Saya berharap orang ramai juga akan lebih yakin untuk menerima suntikan vaksin,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada pelancaran program imunisasi vaksin Covid-19 peringkat Selangor di sini.

Semalam, beliau bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri dan anggota Majlis Keselamatan Negeri menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, Dr Mariah meminta penduduk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bersesuaian dengan norma baharu meskipun program imunsasi sudah dilaksanakan.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin yang memberi keutamaan kepada petugas hadapan termasuk wakil rakyat dan diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.