Categories
SELANGOR SELANGOR

Himpunan kereta mewah setiap Ahad di SACC Mall, raih dana anak yatim

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertunjukan kereta mewah amal yang diadakan di pekarangan SACC Mall di sini pada setiap Ahad akan diteruskan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Terbaru acara Supercar Sunday sempena program SACC Charity Drive itu berjaya meraih dana RM12,700 dalam masa dua minggu daripada ahli-ahli kelab kereta mewah.

Dana itu telah disampaikan kepada tiga buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang pada Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS Real Estate Fakru Radzi Ab Ghani berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dan berharap agar Supercar Sunday dapat menjadi acara ‘signature’ di SACC Mall.

“Melalui acara ini, pengunjung berpeluang melihat kereta-kereta mewah secara lebih dekat selain berpeluang bergambar bersama kereta idaman.

“Pengunjung turut diberi kesempatan menaiki kereta-kereta tersebut,” katanya.

Pada program edisi keempat itu, sebanyak 40 buah kereta ‘sports’ berkapasiti 50,000 kuasa kuda berjaya dihimpunkan.

Antara kereta mewah terlibat ialah Mustang, BMWi8, Nissan GTR, Porsche Boxster, Lamborghini Huracan, Lamborghini Aventador dan Mercedes E63

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran 56 anak yatim dari Rumah Penyayang Ulin Nuha, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah di Klang serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh.

Program amal ini mendapat sokongan TerMeetUp Group, ahli Harley Davidson Malaysia dan Mustang Group selain penaja lokasi SACC Mall, PKNS Real Estate, Bazaarlokal, LumiX Technology, Robotz dan Wrapz63.

Sementara itu, penganjur dan pengarah R Group Capital Sdn Bhd Shahrin Ong berkata pihaknya turut merancang membuat ‘countdown’ tahun baharu bersama kelab kereta-kereta mewah, Kelab Harley Davidson Malaysia dan kelab vespa di SACC Mall pada 31 Disember depan.

Sekumpulan anak yatim yang diraikan bergambar bersama kereta mewah pada acara Supercar Sunday di pekarangan SACC Mall pada 14 November 2021. Foto SACC MALL