Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Puas hati SOP, Jais benar surau Al Jannah dibuka semula

SHAH ALAM, 13 OGOS: Surau Al Jannah di Seksyen 23 di sini, dibuka semula hari ini selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berpuas hati dengan penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) surau tersebut.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata kebenaran diberikan selepas ujian saringan terhadap tiga jemaah surau yang dikaitkan dengan individu positif Covid-19 mendapati mereka bebas jangkitan.

“Semalam iaitu pada hari ke-13 kuarantin, semua individu yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kes Covid-19 menjalani saringan kali kedua dan bebas jangkitan.

“Jais bersetuju memberi kebenaran Surau Al-Jannah dibuka dan berharap kejadian ini memberi pengajaran kepada pengurusan masjid dan surau supaya mengekalkan tahap disiplin serta patuh SOP,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata Jawatankuasa Khas Pemantauan Pematuhan Masjid Surau terus memantau pematuhan SOP bagi mengelak penularan Covid-19.

Pada 7 Ogos Surau Al-Jannah di Seksyen 23 diarahkan tutup susulan seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Sekolah KAFA Integrasi Al-Jannah di lokasi yang sama turut ditutup.

Categories
AGENSI SELANGOR

MB: Segera jejak kontak rapat jika ada kes positif

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pencarian kontak rapat berkait kluster Sivagangga di Surau Al-Jannah di sini dibuat segera jika ada jemaah positif Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan saringan masih belum diterima, namun Jawatankuasa Unit Bencana Negeri memantau rapat isu tersebut.

“Sekiranya hasil saringan jemaah negatif, maka kita selamat. Sekiranya positif, kita akan jalankan kerja pencarian kontak rapat secepat mungkin.

“Masyarakat kena faham Covid-19 masih ada dan kita perlu sentiasa berhati-hati serta amalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan wabak,” katanya selepas melancarkan Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok (termasuk rokok elektronik) di Tasik Shah Alam.

Pada 7 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini ditutup serta-merta susulan seorang jemaah dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kluster Sivagangga.

Turut ditutup ialah Sekolah Kafa Integrasi Al-Jannah di lokasi sama.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 43 kes Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster tersebut. Keseluruhannya seramai 4,198 individu disaring dengan 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sebuah surau di Shah Alam tutup, ada kontak rapat kluster Sivagangga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Surau Al Jannah di Seksyen 23 di sini diarahkan tutup serta-merta susulan seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sekolah KAFA Integrasi Al-Jannah di lokasi yang sama turut ditutup.

Katanya, penutupan surau itu menyebabkan semua aktiviti termasuk solat Jumaat, fardu berjemaah dan program pengimarahan tidak dibenarkan.

“Namun, solat fardu di surau berkenaan hanya dibenarkan dilakukan tiga orang ahli jawatankuasa (AJK) surau sahaja. Proses nyahkuman juga perlu dilakukan serta-merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan AJK surau memantau rapat isu tersebut serta meningkatkan langkah keselamatan.

“Surau terbabit hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh Jais,” katanya.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 30 kes positif Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster Sivagangga.

Sehingga kini 2,351 individu yang disaring dengan 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan.