Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji semula IPCMC, pertahan hak penjawat awam

AYER KEROH, 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) supaya tidak dilihat untuk menghukum anggota polis.

Presiden KEADILAN itu berkata, perkara utama adalah menegakkan keadilan berdasarkan keluhuran perundangan dan hak polis sewajarnya dipertahan serta diberikan pengiktirafan.

“Saya ingin menggesa kerajaan supaya melihat semula IPCMC dan mempertahan hak polis supaya keluhuran perundangan ditegakkan tetapi janganlah beri gambaran seolah-olah IPCMC ini hanya membicarakan soal salah laku polis.

“Kita mahu polis diberikan pengiktirfan, kebajikan, pertahankan peranan mereka menangani masalah keganasan dan masalah jenayah yang meningkat.

“Cuma kita nak kawal jangan ada keterlanjuran dalam tindakan mereka tetapi saya percaya perkara ini boleh kita kaji semula memandangkan kita sedang menilai semula dan akan membentangkan cadangan tersebut pada Mac,” katanya.

Dalam ucapan sama beliau turut mengingatkan supaya hak penjawat awam juga perlu dipertahankan walaupun masih terdapat segelintir daripad mereka yang bersekongkol dengan sistem lama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Categories
NASIONAL

PKR gesa tubuh IPCMC bagi tangani isu ‘tembak dahulu’

nurul - tembak

SHAH ALAM 13 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) perlu mewujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyelesaikan isu ‘tembak dahulu’ dengan berkesan, tegas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Kata Azmin, beliau merujuk kepada cabaran KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran untuk ‘menemani’ Polis dalam operasi memerangi jenayah.

“Daripada mengeluarkan cabaran itu, KPN perlu menangani masalah rakyat dengan (bertindak ke atas) kenyataan mengejutkan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih seminggu lalu,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid pada majlis taklimat keselamatan kepada pemimpin masyarakat di Ayer Keroh mencadangkan dasar “tembak dahulu” kepada polis dalam menangani ahli kongsi gelap yang disyaki.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata KPN perlu menumpukan memperbaiki kelemahan Polis dengan berusaha mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi menangani isu itu.

Kata Nurul Izzah, tawaran KPN itu kepada N Surendran untuk menyertai operasi pasukan adalah melanggar prinsip sejagat.

“Surendran, seperti rakyat Malaysia lain, mempunyai hak untuk meminta tahap profesionalisme yang tinggi pihak polis.

“Tiada ahli Parlimen harus menerima layanan polis berat sebelah, saya tidak akan membiarkan rakan saya mengikuti usaha berisiko seperti itu,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan.

Categories
NASIONAL

Majlis Peringatan Teoh Beng Hock 24 Julai

 teoh beng hock mak kakak

SHAH ALAM 2 JUL : Sempena ulang tahun keempat kematian Teoh Beck Hock, parti DAP mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Memperingati Mendiang yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Anggota Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah yang juga Adun Seri Kembangan, majlis tersebut akan diadakan di Nirvana Memorial Park, Semenyih pada jam 8.30 pagi.

“Ini juga sebagai satu mesej bahawa sehingga hari ini keluarga mendiang dan rakyat Malaysia masih menunggu-nunggu penjelasan penuh pihak SPRM ( Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Kerajaan BN (Barisan Nasional) berhubung kematian seorang saksi di bawah pengawasan ketat.

“Kami juga percaya kematian mendiang bukanlah kerana membunuh diri dan terdapat pihak-pihak yang menyembunyikan kebenaran daripada rakyat,” jelas Ean Yong dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di lobi Annex bangunan Annex pagi tadi turut dihadiri Adun Bukit Gasing, R.Rajiv dan Adun Teratai, Tiew Way Keng.

Dalam pada itu, DAP turut menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan siasatan semula kes kematian Beng Hock supaya mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan saja keadilan untuk Beng Hock tidak dapat ditegakkan.  Lebih membimbangkan, terdapat juga kes-kes kematian dalam lokap yang masih tidak dapat dihentikan pihak berkuasa berkaitan.

“Dengan itu kami juga menggesa agar Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan agar kejadian sama tidak berulang,” tegas Ean Yong lagi.

Beng Hock merupakan seorang bekas pembantu Ean Yong yang ditemui mati di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam di sini pada bulan Julai 2009.

Pada malam sebelum beliau ditemui mati, Beng Hock hadir sebagai saksi di dalam satu kes siasatan SPRM di pejabat agensi itu yang terletak di tingkat atas bangunan tersebut.

Siasatan kerajaan persekutuan dalam kematian Beng Hock mendapati tiada unsur jenayah di dalam kematian itu. Siasatan itu juga mendapati Beng Hock tidak membunuh diri.

Sementara itu, antara tahanan polis yang mati pada tahun ini ialah Karuna Nithi di balai polis Tampin, Melaka pada 2 Jun, James Ramesh (Pulau Pinang, 26 Mei) dan N. Dharmendran (Kuala Lumpur, 21 Mei).