Categories
NASIONAL

Isteri Dharmendran : Polis Cuba Tutup Kes Kematian

dharmendran isteri bukit aman 01

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Isteri mendiang N Dharmendran, Marry Maria Susay telah mengemukakan aduan tatatertib terhadap Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah kerana mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kematian suaminya.

Dalam satu sidang media pada 22 Mei lalu, Chin Wah menyatakan Dharmendran pada waktu malam 21 Mei, mengadu sakit dada dan mengalami sesak nafas ketika ditahan di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur.

Mendiang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur tetapi meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Namun, menurut laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Kuala Lumpur, Dharmendran  meninggal dunia akibat pukulan dengan objek tumpul dan keras.

“Mengapa dia (Ku Chin Wah) masih melindungi dan mengeluarkan kenyataan palsu kepada media dan umum?” soal Marry, selepas mengemukan aduan tersebut di ibupejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman di sini.

Laporan aduan berkenaan telah diterima ASP Ramia Kanapathi di Unit Rekod Pengaduan Urus Setia Ketua Polis Negera (Tatatertib) Bukit Aman.

Sementara itu, peguam keluarga, Sivamalar Genaphaty menegaskan pihaknya tetap menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dan menolak penubuhan pasukan khas siasatan seperti yang diumumkan Suruhanjaya Integriti Awam Penguatkuasaan (EAIC).

“Perkara ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pegawai polis. Selepas ini kami tidak mahu ada lagi kejadian kematian dalam tahanan. Ku Chin Wah perlu disiasat,” tegasnya.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas terlibat di dalam satu kejadian tembak menembak pada 11 Mei di kawasan Bandar Tun Razak. dharmendran isteri bukit aman 03

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Susulan daripada protes parti Pakatan dan keluarganya, tiga anggota polis telah didakwa di Mahkamah Tinggi pada kerana membunuh Dharmedran.

Kerajaan Persekutuan juga telah mengumumkan bahawa badan EAIC akan menyiasat kematian Dharmendran dan seorang lagi, R. Jamesh, di ibupejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei.

 

Categories
NASIONAL

Pakatan Akan Bawa Usul Penubuhan IPCMC Dalam Parlimen

kitsiang anwar mustafa 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ketika persidangan Parlimen diadakan pada 24 Jun nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan berharap usul tersebut akan mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang sebahagiannya didakwa menyokong cadangan itu.

Ini kerana suruhajaya tersebut yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penting menangani kes salahlaku anggota polis seperti kematian di dalam tahanan.

Beliau menjelaskan Pakatan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan itu yang dianggotai dua Ahli Parlimen dari setiap parti gagasan itu.

“Kita memerlukan sokongan majoriti mudah di Parlimen iaitu 112 bagi kelulusan suruhanjaya bebas ini. Kita sudah ada 89 Ahli Parlimen dari PR maka kita perlukan sekurang-kurangnya 23 lagi untuk tujuan ini.

“Kita harap enam Ahli Parlimen PR dalam jawatankuasa akan berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN bagi penubuhan IPCMC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, maklumat diperoleh menyatakan parti komponen BN seperti MIC dan MCA turut menyokong cadangan penubuhan IPCMC itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen BN yang prihatin dalam perkara itu perlu menyatakan sokongan supaya insiden kematian dalam lokap tidak berulang lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kematian yang berlaku dalam lokap dengan yang terakhir melibatkan mangsa, N Dharmendran, 32.

“Ini kita bantah sekeras-kerasnya kerana berulang kali berlaku sudah dibantah sejak kes Kugan tetapi masih berterusan berlaku.

“Oleh demikian gesaan kita mengenai IPCMC diteruskan … Pada masa sama kita mahu Menteri Dalam Negeri jangan bagi alasan … Tetapi siasatan yang telus dan tindakan segera untuk menghentikan segala bentuk jenayah terhadap orang yang dituduh,” ujarnya.

Dharmendran ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur apabila beliau hadir membuat laporan tetang kejadian tembak-menembak di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.

Peguam keluarga mangsa, N Surendran mendakwa laporan bedah siasat pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, merumuskan bahawa Dharmendran mati selepas dipukul objek tumpul secara berterusan.

CCTV Bukan Jalan Penyelesaian Atasi Kematian Tahanan Polis

surendran speech mic 02

SHAH ALAM 3 JUN : Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran yang dihubungi berkata, kerajaan didesak untuk kesekelian kalinya agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada kadar segera.

Katanya, walaupun CCTV di pasang di lokap namun ia tidak menghalang daripada kejadian ‘keganasan’ yang dilakukan pihak polis terhadap tahanan daripada berlaku kerana perkara demikian boleh juga berlaku di luar pengawasan CCTV.

Sebelum ini, dalam kejadian terbaru, seorang jurutera, P Karuan menjadi individu ketiga yang maut dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Kejadian itu berlaku di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang dilaporkan ‘meninggal dunia tiba-tiba’ pada jam 7 petang Sabtu lalu.

“Hanya dengan penubuhan IPCMC akan menyelesaikan masalah kejadian kematian tahanan dalam lokap kerana selepas ini pihak Polis tidak akan berani untuk melakukan sebarang tindakan di luar batas kuasa dan juga jenayah,” kata beliau.

Tambah beliau, faktor kesihatan merupakan isu yang dihadapi oleh tahanan bukan menjadi isu utama kerana yang perlu diberi perhatian ialah tahanan yang dipukul dan diperlakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Pihak Peguam Negara dan polis perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap anggota polis yang terlibat kerana tiada tindakan tegas telah diambil,” kata Surendran.

Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.