Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: 162 stesen pemancar komunikasi di pantai timur kembali beroperasi

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Sebanyak 162 stesen pemancar komunikasi yang sebelum ini terjejas akibat banjir di negeri pantai timur telah kembali beroperasi sepenuhnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 113 adalah stesen pemancar komunikasi di Terengganu, 42 di Kelantan dan Pahang (tujuh).

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 32 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kelantan dan Terengganu yang turut terjejas banjir, kini telah beroperasi semula.

“Sehingga hari ini tiada kes yang dilaporkan oleh pemberi perkhidmatan kepada SKMM mengenai insiden melibatkan infrastruktur komunikasi yang mengancam keselamatan orang ramai.

“Namun, SKMM dan pemberi perkhidmatan sentiasa berwaspada dan menerima aduan dari orang awam dan mana-mana pihak sekiranya ada kes yang melibatkan ancaman keselamatan infrastruktur komunikasi untuk diambil tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM mantapkan fungsi Pusat Internet Komuniti seluruh negara

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara akan terus dimantapkan bagi memberi peluang kepada rakyat menikmati perkhidmatan jalur lebar berkualiti sekali gus memperbaiki taraf sosioekonomi mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif untuk PIK termasuk proses transformasi, penambahbaikan perkhidmatan dan pertambahan kandungan atau kursus, pengoptimuman penggunaan PIK serta bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Melalui proses transformasi ke atas PIK, ia mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi digital yang pesat berkembang di negara ini. Pada masa yang sama, proses transformasi itu juga boleh dimanfaatkan bagi memastikan PIK berdaya maju dan menjadi sebuah pusat tumpuan aktiviti ekonomi penduduk,” menurut kenyataan itu.

Justeru, suruhanjaya itu menjelaskan pelbagai inisiatif kini giat digerakkan ke arah mencapai objektif itu, antara lain pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di Sabah dari 2020 hingga 2022.

“Di bawah JENDELA, Sabah adalah penerima terbesar peruntukan iaitu sebanyak RM2.45 bilion. SKMM telah menyediakan 133 PIK untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di Sabah.

“Kewujudan PIK akan menjadi platform penting kepada mereka untuk memperkasakan aktiviti ekonomi untuk menambah sumber pendapatan selain memperluas jaringan produk mereka ke seluruh dunia,” menurut SKMM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan syarikat labur RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G

CYBERJAYA, 30 SEPT: Sejumlah lapan syarikat telah komited untuk membuat pelaburan awal bernilai RM116 juta bagi projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, syarikat tersebut ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Bercakap dalam satu taklimat media mengenai Projek Demonstrasi Malaysia (Okt 2019-Mar 2020) di sini hari ini, beliau memberitahu syarikat-syarikat ini akan menonjolkan kes-kes kegunaan 5G di seluruh sembilan bidang iaitu pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan dan media, industri pemprosesan serta pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

“Akan ada 32 tapak 5G merentasi enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur yang akan berfungsi selama enam bulan, dengan 55 kes penggunaan 5G membabitkan sembilan bidang,” katanya.

Kes-kes penggunaan itu merangkumi lampu trafik pintar, tempat letak kereta pintar, diagnosis jarak jauh, pelancongan perubatan, konsultasi perubatan jarak jauh, pertanian pintar, penjejakan kenderaan dan pengawasan video pengawasan panorama 360° 5G.

Projek demonstrasi 5G ini akan memberi tumpuan kepada memudahkan dan memupuk pembangunan ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di negara ini bagi merangsang permintaan serta penggunaan teknologi untuk perniagaan dan pengguna.

“Kami berharap dapat mengkomersialkan beberapa kes penggunaan bermula pada suku ketiga 2020,” katanya lagi.

Al-Ishsal berkata, sokongan dan pelaburan yang agak padu daripada syarikat yang terlibat membuktikan komitmen industri ke arah mewujudkan penggunaan yang kukuh dan berdaya maju bagi aplikasi 5G yang akan mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup di kalangan rakyat Malaysia.

“SKMM berharap kes-kes penggunaan ini akan menarik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan 5G di Malaysia termasuk cadangan untuk kesalinghubungan di negeri-negeri lain,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM siasat penyalahgunaan nama perdana menteri

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan insiden penyalahgunaan nama Perdana Menteri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan siasatan itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel itu.

“SKMM mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kewujudan dan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai turut diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil SKMM.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 22 Julai memaklumkan terdapat dua insiden oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Semua kini boleh nikmati siaran TV digital myFreeview

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 24 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa kini rakyat Malaysia boleh menikmati perkhidmatan siaran TV digital berjenama myFreeview.

Ketua Pegawai Sektor Digitalnya, Gerard Lim berkata, siaran digital myFreeview sudah boleh dinikmati secara percuma, tanpa sebarang kos tersembunyi.

“Penonton hanya perlu membayar sekali sahaja untuk membeli IDTV baharu, dekorder DVB-T2, atau aerial luaran UHF. Hanya perlu membayar yuran pemasangan sekiranya memerlukan bantuan pemasangan aerial dan perkhidmatan penyelenggaraan.

“Kini, terdapat 13 jenama IDTV sudah mendapat pengesahan SIRIM dan berada di pasaran serta boleh didapati dalam talian, di pasar raya besar atau kedai elektrik terpilih seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi lebih jelas secara defini standard (SD) dan definisi tinggi (HD).

Penonton juga dapat menikmati Paduan Program Elektronik (EPG), sarikata pelbagai bahasa dan fungsi perkhidmatan televisyen interaktif.

Ketika ini, 15 saluran TV dan enam saluran radio sudah mula bersiaran di landasan myFreeview dan lebih banyak penyiar baharu dijangka menyertai perkhidmatan terbabit selepas ini.

Mengulas lanjut, Gerard berkata, siaran TV digital dijangka membantu merapatkan jurang digital bagi membolehkan akses kepada maklumat yang sama antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Perkembangan ini turut memberi kelebihan kepada penyedia kandungan dalam menyediakan landasan digital lebih besar untuk kandungan mereka dengan jangkauan yang lebih luas di seluruh negara,” katanya.

Liputan siaran myFreeview kini mencapai sehingga 98 peratus di kawasan berpenduduk melalui pembinaan infrastruktur dan rangkaian pemancaran Teknologi Televisyen Terestrial Digital (DTT) serta sokongan perkhidmatan satelit iaitu Langsung Ke Rumah (DTH) bagi memastikan wujud liputan di kawasan terlindung.

Sehingga 15 Mei, sebanyak 2 juta dekoder yang terdiri daripada 1.65 juta dekoder DTT dan 346,667 dekoder DTH diagihkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) yang berkelayakan serta berpendapatan rendah.

Malaysia kini bersama lebih 60 negara lain di dunia yang sudah beralih ke era penyiaran TV digital.

 

Categories
NASIONAL

SKMM saran orang ramai manfaat myFreeview

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggalakkan orang ramai supaya manfaatkan perkhidmatan penyiaran digital myFreeview yang menawarkan tontonan lebih berkualiti berbanding penyiaran analog.

Ketua Jabatan Platform Pengedaran dan Penciptaan Digital SKMM, Azlina Mohd Yusof berkata, perkhidmatan myFreeview ditawarkan secara percuma tanpa kos langganan bulanan sebagai usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

“Kalau kita lihat di zaman analog kualiti siarannya tidak memuaskan…tapi apabila berhijrah ke teknologi digital kita dapat kualiti siaran yang jelas, mutu gambar dan audio begitu cantik sekali.

“Selain itu, teknologi digital tidak mudah terima gangguan apabila keadaan cuaca tidak elok serta ia boleh siarkan banyak saluran televisyen dan radio dalam satu jaluran frekuensi,” katanya selepas menjadi tetamu program ‘Ala Carte’ terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Perkhidmatan televisyen digital terrestrial di bawah penjenamaan myFreeview ini adalah satu inisiatif kerajaan yang diberi secara percuma kepada rakyat, dikendalikan syarikat MYTV Broadcasting Sdn Bhd secara pembiayaan sektor swasta.

Azlina turut menggalakkan individu yang menerima dekoder MYTV secara percuma supaya memasangnya bagi menikmati pelbagai manfaat.

“Kita telah buat satu kajian secara rambang melibatkan 600 responden, kita dapati tahap pemasangan dekoder tidak memberangsangkan iaitu tidak sampai 40 peratus. Ia sangat merugikan sekiranya penerima yang diberikan secara percuma tidak memasang dekoder mereka,” katanya.

Penerima dekoder percuma dipilih daripada senarai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) terutama golongan isi rumah B40.

Orang ramai yang berminat untuk membeli dekoder berkenaan boleh mendapatkannya dengan harga tidak lebih daripada RM200 dan boleh melayari laman sesawang https://myfreeview.tv atau menghubungi talian 1800181088 untuk maklumat lanjut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serbuan SKM, PDRM bendung penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, mengadakan serbuan secara serentak di dua lokasi di Butterworth, Pulau Pinang dan Ampang, Selangor dalam usaha membendung penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun dalam kenyataan hari ini, berkata serbuan tersebut dibuat selepas agensi itu menerima aduan dan maklumat daripada orang ramai ada pihak atau individu tertentu yang menggunakan kelengkapan sedemikian.

Menurutnya, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh suspek menyebabkan gangguan frekuensi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan terbabit.

“Dalam serbuan itu, beberapa kelengkapan komunikasi seperti sebuah telefon tanpa wayar yang dibeli melalui platform dalam talian dan antena televisyen UHF disita bagi membantu siasatan. Pada masa sama, identiti suspek berkenaan dikenal pasti dan disahkan serta rakaman percakapan diambil,” katanya.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi tempoh 2018 hingga April 2019, sebanyak 23 pertuduhan difailkan di bawah peruntukan yang sama melibatkan kesalahan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dengan jumlah denda keseluruhan bernilai RM165,000.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menasihatkan orang ramai untuk hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang mempunyai label pemerakuan SKMM.

Selain telefon tanpa wayar dan antena televisyen UHF, orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli kelengkapan komunikasi lain seperti dekoder TV Digital myFreeview dan kotak TV Android kerana sejak kebelakangan ini, terdapat kelengkapan tidak diperakui sedemikian dijual di saluran runcit dan secara dalam talian.

Peringatan itu, beliau berkata bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna dan mengelak gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi.

Bagi memastikan kelengkapan komunikasi digunakan sah dan diperakui, pengguna boleh memeriksa status kelengkapan komunikasi mereka menggunakan aplikasi mudah alih ‘Check Your Label’ ataupun melalui laman sesawang di pautan https://ecomm.sirim.my.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: 5G tidak beri kesan kesihatan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 15 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan.

Anggota SKMM, Prof Dr Tharek Abd Rahman berkata, sehingga kini tiada sebarang keputusan penyelidikan konklusif membuktikan teknologi 5G boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Prof Dr Tharek berkata, kajian dijalankan mendapati pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan ‘Internet Commission on Non-Ionizing Radiation Protection’ (ICNIRP).

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang 30 tahun merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

“Tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan EMF berskala rendah adalah tidak tepat. Bukti santifik tidak menunjukkan apa-apa kaitan dengan simptom terbabit,” katanya menerusi kenyataan SKMM, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, EMF tergolong di bawah kategori ‘non-ionizing radiation’, iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menggangu struktur molekul berbanding ‘ionizing radiation’.

Professor dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pendedah terhadap ‘non-ionizing radiation’ hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu badan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa supaya kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada orang awam mengenai teknologi 5G.

“Yang jelas, teknologi 5G memberi banyak manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia seperti bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai EMF yang dibangunkan oleh SKMM dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), orang ramai boleh layari rfemf.mcmc.gov.my.

 

Categories
NASIONAL

SKMM tahan tiga individu salah guna sosial media

KUALA LUMPUR, 1 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu dalam serbuan untuk mengekang penyalahgunaan media sosial.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, kesemua individu ditahan atas kesalahan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan niat menganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) dan komputer riba, selain penemuan gambar-gambar lucah dan video seks berkaitan dengan kes-kes yang disiasat.

“Operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Serbuan terbaru ini dibuat selepas pihak SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di 11 lokasi di beberapa buah negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Shafie kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital SKMM untuk analisa forensik digital.

Sehingga 30 Mac, SKMM telah menerima 110 kes berkaitan salah guna media sosial, manakala tahun lepas sahaja sebanyak 237 kes direkodkan. Selain itu 710 barang kes disita dari 2018 sehingga 30 Mac ini.

Kes berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan ‘satu’ untuk diselesaikan dalam dua hingga empat minggu, manakala kes-kes keutamaan ‘dua’ harus diselesaikan dalam 12 minggu, sementara kes keutamaan ‘tiga’ dalam 24 minggu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kempen advokasi di seluruh negara menerusi program ‘Klik Dengan Bijak’ akan terus diperhebatkan bagi menyemai penggunaan internet secara berhemah dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.

Pengguna media sosial juga dinasihatkan supaya membuat aduan kepada pihak SKMM sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan isu salah guna media sosial dengan menyalurkan maklumat ke ​​​​​​​talian 1800-188-030, email ([email protected]). WhatsApp (016-2206 262), SMS (15888) dan Twitter (@MCMCReact).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: Pengguna Facebook, Instagram dinasihat tukar kata laluan

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna Facebook dan Instagram untuk menukar kata laluan jika menerima dalam format teks yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman Facebook.

Dalam kenyataannya, SKMM berkata, permasalahan itu berlaku ekoran pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan Januari lalu.

“Menurut Facebook, kata laluan itu tidak boleh diakses oleh pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kata laluan terbabit telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

“Sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah itu penting dan berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan ‘Phishing’.

“Justeru, bagi menangani permasalahan itu, SKMM turut memantau perkembangan lanjut serta berhubung rapat dengan pihak Facebook
untuk sebarang isu berbangkit,” katanya.

Categories
NASIONAL

SKMM: Henti sebar video serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video berhubung kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

SKMM berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang situasi panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta untuk menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa terlibat.

“SKMM juga akan bekerjasama denga penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.

“Kita memandang serius perkara ini dan sebarang pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas SKMM, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, seramai 49 orang maut dan lebih 20 lagi cedera dalam serangan di dua buah masjid di sini ketika umat Islam bersiap untuk solat Jumaat, lapor CNN.

Dalam kejadian jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia), dua warga Malaysia tercedera dalam insiden mengejutkan itu, kata Wisma Putra dalam kenyataan petang ini.

Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam serangan di masjid Al-Noor dan Linwood.

Categories
NASIONAL

SKMM: TM terima aduan pengguna tertinggi

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 7,946 kes setakat tahun ini berbanding syarikat penyedia jalur lebar yang lain.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah aduan TM meningkat 43 peratus berbanding 4,528 kes diterimanya tahun lalu.

SKMM berkata, aduan terhadap TM menguasai pasaran 85.97 peratus memberikan impak kepada rakyat termasuk perniagaan yang kebanyakannya bergantung kepada rangkaian syarikat itu dalam rutin harian mereka.

“Pengguna menuntut perkhidmatan lebih baik untuk bayaran bulanan dibayar kepada TM. Berdasarkan jumlah purata aduan bagi setiap 1,000 pelanggan, TM mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding dengan penyedia perkhidmatan lain.

“Aduan itu termasuk ketidakpuasan mengenai caj yang dikenakan (21 peratus, liputan UNIFI yang tidak memuaskan (16 peratus), gangguan perkhidmatan UNIFI (13 peratus), pertikaian bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) serta kategori lain sebanyak 22 peratus.

“Kerajaan melihat penurunan perkhidmatan TM ini sebagai satu perkara yang serius,” katanya dalam kenyataan, semalam.

SKMM berkata, pendekatan pengendalian TM dalam menangani aduan seperti keterbatasan teknikal dan meminta pengguna untuk bersabar adalah tindakan yang tidak wajar.

Suruhanjaya itu berkata, membiarkan pelanggan tanpa penyelesaian yang wajar tidak seharusnya berlaku dalam operasi syarikat bertaraf multinasional seperti TM.

Sementara itu, TM dalam satu kenyataan berkata, sebagai penyedia jalur lebar tetap terbesar negara, pihaknya sentiasa komited meningkatkan pengalaman pelanggan dan sentiasa berinteraksi dengan SKMM berkongsi inisiatif pengalaman pelanggannya.

TM juga mempelawa kerajaan untuk berbincang bagi mencapai keputusan segera untuk memberi manfaat bersama dalam peningkatan kualitinya.

“TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan kerajaan dalam menangani cabaran ini,” katanya.