Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu berani ambil tindakan terhadap orang kenamaan seleweng dana negara

SEGAMAT, 2 MAC: Pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang menyeleweng dana negara.

Menegaskan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat secara menyeluruh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan beliau dalam isu itu bukan fitnah sebaliknya bersandarkan keterangan mahkamah Amerika Syarikat.

Ketua pembangkang itu menjelaskan pendedahan wanita lantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan dana 1MDB sebanyak RM41 juta untuk membeli rumah di London perlu disiasat.

“Saya tidak akan keluar kenyataan jika tiada bukti sahih, tiada laporan.

“Kalau SPRM tanya, polis hendak siasat, silakan. Tetapi saya bagi syarat, ada bukti ambil tindakan tidak kira dia Tun, Datuk Seri. Kita mesti berani ambil tindakan kerana wang rakyat diambil secara tidak sah.

“Kita marah sebab ambil wang negara, ini kenyataan di mahkamah. Dalam Jabatan Kehakiman Amerika, keluar bukti judi kasino di Los Angeles rugi berbelas-belas juta menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berucap dalam program jelajah di Felda Palong Timur 2 di sini petang tadi yang turut disertai calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap C Subramani.

Semalam, Anwar meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes berkenaan pada peringkat antarabangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usah takut, lapor segera SPRM jika disogok

SHAH ALAM, 16 NOV: Pegawai penguat kuasa atau mana-mana individu yang disogok digesa melaporkan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Selangor Dato’ Alias Salim berkata mereka yang berbuat demikian akan menerima insentif dalam kadar tertentu.

Pengarah SPRM Selangor Dato’ Alias Salim berucap ketika Sambutan Hari Integriti MBSA di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada 16 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pegawai penguat kuasa yang ditawar rasuah boleh melaporkan kepada SPRM kerana mungkin dalam keadaan tertentu mereka yang disogok lemah integriti menyebabkan terpaksa menerima rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Integriti di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Alias turut memuji program dilaksana MBSA itu yang disifatkan mampu memberi kesedaran kepada penjawat awam dan berharap Ikrar Bebas Rasuah itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Pada majlis sama, turut diadakan bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang disertai oleh 700 kakitangan MBSA dan dibacakan Datuk Bandar Zamani Ahmad Mansor sambil disaksikan Alias.

Usaha itu bagi membentuk penjawat awam yang telus tanpa menyalah guna kuasa selain mengelak terlibat jenayah rasuah.

Categories
AGENDA NASIONAL

16 pengarah syarikat ditahan seleweng geran kerajaan babit puluhan juta

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), agensi di bawah sebuah kementerian, tengah malam tadi.

Sumber SPRM berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula semalam.

Sumber itu menyebut dianggarkan puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Menurut sumber, kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

“Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudian diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu,” kata sumber itu.

Sumber menjelaskan tiada program dibuat serta tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.

“MITRA telah distruktur semula pada 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Namun pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan dianggarkan MITRA memperoleh bajet RM100 juta setahun,” katanya.

Sumber berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 68 tahun itu akan dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu berkaitan SPRM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan berkata kerajaan wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pembentukan suruhanjaya berkenaan.

“PAKATAN berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM serta mencadangkan langkah mereformasi institusi penting ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Pada 20 September, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Majid.

Susulan itu, PAKATAN menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara daripada menjalankan sebarang tugas sehingga siasatan penuh dilakukan.

“Tahanan reman tersebut telah menimbulkan persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri.

“Kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” tambah kenyataan itu.

Majlis Presiden PAKATAN juga menyambut baik satu kertas inkuiri polis dibuka terhadap kes terbabit.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pastikan agensi telus, Selangor terbuka tindakan pihak berkuasa – EXCO

SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang tindakan daripada pihak berwajib terhadap kakitangannya bagi memastikan ketelusan dalam semua agensi.

EXCO kerajaan negeri berkata ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang pengarah pihak berkuasa tempatan yang didakwa menyalah guna kuasa memberi kelulusan kebenaran merancang kepada adik perempuannya lima tahun lalu.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum siasatan dilakukan dan beliau telah diarahkan berhenti tugas sementara sehingga keputusan mahkamah dibuat,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbadanan Kajang (MPKj), Datuk Nizam Sahari, 54, didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh ditahan di SPRM Selangor semalam diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan, tidak membantah cadangan itu dengan Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan pihak pendakwa dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Februari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman suara konspirasi jenayah babitkan Najib tulen

PUTRAJAYA, 8 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan rakaman audio berhubung kebocoran maklumat didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, dalam sidang media yang penuh sesak, mengenal pasti individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – daripada Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu.

Menyatakan SPRM boleh mengesahkan ketulenan sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit itu, yang berlaku antara 5 Januari dan 29 Julai, 2016, Latheefa berkata: “Kandungannya mengejutkan; ia menyembunyikan dan subversif keadilan …demi kepentingan awam, kami mendedahkan kepada umum kandungannya.”

Mendedahkan SPRM menerima rakaman audio itu baru-baru ini, pada tahun baharu, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata pejabatnya akan menyerahkan rakaman itu kepada pihak berkuasa relevan untuk memudahkan penyiasatan.

Selepas semua rakaman audio itu dimainkan pada sidang media itu yang disiarkan secara langsung di televisyen, Latheefa berkata rakaman itu telah menimbulkan beberapa isu.

“Terdapat beberapa isu serius yang timbul termasuk salah guna kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah,” tegasnya.

“Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya – Tan Sri Abu Kassim Mohamed,” katanya.

Abu Kassim ialah ketua pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku. Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.

Merujuk kepada rakaman audio itu, Latheefa berkata: “Apabila kami mendapatnya (rakaman audio), kami melakukan ujian forensik untuk mengenal pasti siapa mereka (individu), dan kami membuat siasatan sendiri dan jelas, berdasarkan pengetahuan yang kami ada …kami dengan mudah boleh mengenal pasti siapa mereka.”

Ditanya sama ada pendedahan rakaman itu akan menjejaskan kes mahkamah yang sedang berjalan yang melibatkan Najib, Latheefa berkata: “Saya tidak melihat bagaimana ia akan menjejaskan (perbicaraan).

“Bagi kami, ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara yang serius. Jadi saya tidak melihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi (dengan orang awam) dan memudaratkan kes-kes yang sedang berjalan.”

Katanya satu daripada rakaman audio itu mengandungi perbualan antara Najib dan Dzulkifli, panggilan telefon yang dijawab oleh Rosmah dan diserahkan kepada Najib.

“Perbualan itu berkisar tentang kertas siasatan. Jelas terdapat kebocoran maklumat daripada AGC kepada individu yang kami percaya adalah subjek penyiasatan,” katanya.

Rakaman audio yang lain mengandungi, antara lain, perbualan yang menyatakan kebimbangan dan keperluan menyelesaikan isu itu dengan cepat.

Dalam rakaman lain, menampilkan perbualan dalam suara meninggi antara lelaki dan wanita dikatakan sebagai Najib dan Rosmah.

Menurut Latheefa, apa yang dikatakan semasa perbualan itu mengandungi unsur-unsur rasuah dan apa yang mungkin merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang SPRM rasa lebih wajar untuk pihak polis menelitinya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Bernama, polis akan menjalankan penyiasatan sebaik sahaja menerima maklumat relevan daripada SPRM.

Najib yang menghadiri perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata semasa waktu rehat, bahawa beliau akan berbincang dengan peguamnya tentang pendedahan SPRM itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat entiti terima wang besar daripada akaun peribadi Najib

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa UMNO, Wanita MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd telah menerima sejumlah besar wang daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata penerimaan wang dalam jumlah yang begitu banyak daripada seorang perdana menteri (kini bekas) telah menimbulkan syak wasangka.

Beliau berkata Syarikat Perano sebagai contoh menerima ratusan ribu ringgit untuk pembayaran pembekalan tudung membabitkan projek Barisan Nasional (BN) dan pembayaran berkenaan sepatutnya dibuat daripada tabung UMNO atau BN, sebaliknya wang itu diterima daripada akaun peribadi Najib.

“Syarikat Binsabi pula terima bayaran bagi pembekalan khemah juga untuk kegunaan parti tetapi bayaran bukan dari akaun parti. Bagaimana seorang perdana menteri boleh keluarkan cek hampir RM1 juta untuk bayar, justeru ada syak yang munasabah mana datang duit begitu banyak daripada akaun seorang individu.

“Manakala UMNO dan Wanita MCA pula ialah organisasi bukan mencari keuntungan dan mereka sukar untuk menjana pendapatan yang banyak. Namun, dalam kes ini kedua-dua pihak telah terima lebih daripada RM200 juta, bagaimana parti politik boleh terima jumlah yang begitu besar daripada seorang perdana menteri,” katanya.

Mahadi berkata demikian pada prosiding permohonan untuk melucut hak wang berjumlah hampir RM194 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada empat entiti itu yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam permohonan mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu, pihak pendakwaan memohon untuk melucut hak wang RM192 juta daripada UMNO, Wanita MCA (RM300,000), Syarikat Perano (RM337,000) dan Syarikat Binsabi (RM827,250).

Mengenai dakwaan responden bahawa mereka tiada pengetahuan mengenai sumber wang yang diterima, Mahadi berkata ia bukan satu pembelaan yang kuat.

“Ketika penerimaan (wang) mereka tiada pengetahuan tetapi ketika sitaan mereka tahu dari mana sumber wang itu. Sekiranya wang yang diterima dilupuskan sepenuhnya, mereka boleh lucut hak kepada kerajaan dengan dua cara iaitu menggantikannya semula di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA atau dengan cara rela hati (pulangkan) seperti yang telah dibuat dalam beberapa kes sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh berhujah bahawa pendakwaan telah menggunakan peruntukan yang salah di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 61 AMLATFPUAA dalam memfailkan permohonan lucut hak itu.

Beliau berkata, apabila pendakwaan memfailkan permohonan itu, mereka sedar bahawa Mahkamah Tinggi lain masih lagi mendengar kes 1MDB Najib mengenai pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

“Pihak pendakwaan sepatutnya memfailkan permohonan mereka di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA,” katanya.

Seksyen 55 akta itu memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk melucut hak setelah orang yang dituduh telah disabitkan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 6 Februari untuk membuat keputusan.

Wanita MCA diwakili peguam Datuk Ben Chan, Perano diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman manakala Binsabi diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib untuk periksa dokumen Justo didengar 13 Disember

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Disember untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dan memeriksa dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat berkaitan dengan perbicaraan rasuah dihadapi Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 30 November.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, beliau menerima afidavit berhubung permohonan itu oleh pihak pendakwaan semalam dan akan menjawab afidavit itu pada Selasa depan.

“Afidavit pihak pendakwaan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu media bahawa dalam afidavit itu, Azam menyatakan dokumen itu diterima dalam kedudukan rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing berkata, Justo pada waktu material merupakan pengarah PetroSaudi International Ltd dan beliau mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Kes lucut hak wang Yayasan Tun Hussein Onn didengar 15 November

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 November untuk mendengar permohonan lucut hak wang RM1,980,328.37 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Yayasan Tun Hussein Onn yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh tersebut semasa sebutan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman dari SPRM dan peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili yayasan itu.

Hariharan memberitahu mahkamah bahawa terdapat perkembangan terbaru mengenai kes tersebut.

“Sekiranya dibenarkan mahkamah, pihak kami memohon tarikh bicara pada 15 November depan, iaitu tarikh yang sesuai bagi pihak pendakwaan dan pembelaan manakala tarikh bicara pada 4 November yang sebelum ini telah ditetapkan mahkamah dilapangkan.

“Ini kerana kami memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan arahan anak guam mengenai perkembangan terbaru kes,” katanya.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri ruang SPRM siasat dua pegawai RTM

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan berhubung dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang direman bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana sebuah institusi zakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu pada 12 Oktober lalu.

“Jadi biar mereka buat siasatan dan saya akan bincang dengan pegawai-pegawai di RTM (mengenai perkara itu),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Dua pegawai kanan RTM itu dilaporkan direman sembilan hari sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan berhubung apa yang disyaki salah guna dana Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam berkata, kedua-dua pegawai wanita berusia 37 tahun dan 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 7 Oktober lalu.

Seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai 80 individu belum muktamad, fokus jumlah besar

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Senarai 80 individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lepas, adalah bagi mereka yang dipercayai menerima dana berjumlah RM500,000 ke atas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, senarai itu belum muktamad.

“Pendekatan SPRM adalah untuk memberi keutamaan kepada jumlah yang lebih besar. Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Latheefa mengulas mengenai dakwaan kononnya SPRM menggugurkan nama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1MDB, baru-baru ini.

“Suruhanjaya ini akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur serta terus mengambil langkah mendapatkan balik wang 1MDB yang merupakan milik rakyat secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa,” katanya.

Isnin lepas, Latheefa pada sidang akhbar berkata, SPRM akan mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tekad banteras pembalakan, pelombongan haram habis-habisan

KOTA KINABALU, 27 SEPT: Kegiatan pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara kini menjadi fokus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana isu membabitkan alam sekitar itu adalah isu kepentingan awam dan perlu dibanteras habis-habisan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

“Oleh itu kita sedang menyusun strategi yang melibatkan kaedah-kaedah yang lebih cangih disebabkan ada pelaku yang sudah terlalu selesa melakukan kegiatan itu kerana mereka mengetahui sistem yang kita ada,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Media Sabah di sini, hari ini. Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Muguntan Vanar.

Latheefa berkata selain itu, SPRM kini akan lebih fokus untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab utamanya iaitu pencegahan rasuah.

“Ramai tidak mengetahui bahawa tugas utama SPRM adalah pencegahan…namun SPRM kini lebih terkenal sebagai badan yang melakukan tangkapan dan reman. Sebenarnya dua pertiga dalam Akta SPRM adalah untuk tujuan pencegahan,” katanya.

Katanya, untuk usaha pencegahan, pihaknya akan mendatangi jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai masalah rasuah terlalu kerap.

“Kita akan berjumpa mereka dan meminta maklumat bagaimana mereka melakukan kerja sehingga menjadi lubuk rasuah. Sekiranya kita dapati ada perkara yang tidak betul…apa-apa arahan yang kita berikan wajib dipatuhi,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai syor SPRM sebelum ini yang mahu menempatkan pegawai kanannya di pejabat menteri besar dan ketua menteri, Latheefa berkata cadangan itu diterima positif.

“Kita cadangkan perkara itu sebagai satu usaha pencegahan demi memastikan tidak berlaku sebarang rasuah dan salah guna kuasa kerana di peringkat negeri mempunyai banyak potensi untuk melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, SPRM akan memilih beberapa pegawai kanannya untuk dicalonkan kepada ketua menteri atau menteri besar untuk ditempatkan di pejabat mereka.

“Setakat ini, semua ketua menteri dan menteri besar menyambut baik usaha ini dan mereka akan umumkan sendiri sekiranya pegawai kanan SPRM itu sudah ditempatkan di pejabat mereka,” katanya.

– BERNAMA