Categories
SELANGOR

LGE Kesal Sikap Bermuka-muka Kerajaan Pusat Dalam Isu Penswastaan Pelabuhan

SHAH ALAM 3 OGOS : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar sikap bermuka-muka Kerajaan Pusat dalam isu penswastaan pelabuhan di negeri itu.

Kerajaan Pusat yang sebelum ini lantang membantah penswastaan berkenaan bagaimanapun ‘kantoi’ apabila menghadiahkan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd (Seaport).

Kebenaran untuk mengambil-alih pengurusan pelabuhan tersebut selewat-lewatnya Disember tahun ini.

“Lebih malang, penganugerahan ini dilakukan tanpa sebarang pendedahan maklumat yang berkaitan selain tiada jaminan kepada penduduk Pulau Pinang bahawa ia amalan telus.

“Persoalannya juga, mengapa Kerajaan Pusat membantah sebelum ini tetapi akhirnya menswastakan pelabuhan itu.

“Ternyata mereka bermuka-muka,” tegas Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Tambahnya lagi, rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui terma-terma perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Sehingga kini, Pengarah Seaport, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman enggan menyatakan jumlah suntikan modal oleh Seaport ke Pelabuhan Pulau Pinang.

“Namun berdasarkan kenyataan kabur beliau sebelum ini, suntikan modal dijangka mencapai RM 1 billion menjelang 2017 dan mencapai RM 4.7 billion menjelang 2022,” jelas Guan Eng.

Dalam satu laporan media semalam, Pengarah Seaport, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman mengesahkan Seaport menerima surat lantikan dan akan bertanggungjawab mengurus Pelabuhan Pulau Pinang akhir tahun ini.

Sementara itu, Presiden Transparency Antarabangsa, Datuk Paul Low dalam satu kenyataan hari ini turut mempertikaikan keputusan penswastaan ini yang dilakukan tanpa tender terbuka.

“Bukankah ini melanggar prinsip amalan tadbir urus baik dan ketelusan yang diuar-uarkan Kerajaan Pusat selama ini,” ujarnya.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Dewan Pulau Pinang Cina bahawa pelupusan Pelabuhan Pulau Pinang itu melanggar Akta Anti-Pertandingan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Digesa Siasat Dakwaan Tawaran RM5 juta Lompat Parti

SHAH ALAM 30 JUN : Pemuda PAS mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke BN pada tahun 2010.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah.

“Meskipun beliau (Azan) mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan, tugas sebagai Ahli Parlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata.

“Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini.

“Ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.

Justeru, siasatan menyeluruh perlu dilakukan termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya.

“Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

PKR Buat Laporan Polis Kontrak Projek 1.1 Bilion

PETALING JAYA 29 JUN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1.1 bilion.

Laporan berhubung kes itu dibuat di Balai Polis Tropicana di Merchant Square,di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut Rafizi laporan itu dibuat kerana menimbulkan pelbagai kegusaran kerana projek besar dan penting ini dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada minggu lalu melahirkan hasratnya untuk menganugerahkan kontrak terbabit kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times pada 22 Jun lalu.

Rafizi juga memberitahu sebelum ini beliau sudah didatangi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membeuat siasatan terhadap pendedahannya sebelum ini.

‘Tetapi laporan polis dibuat kerana lebih percaya kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Dagangan yang lebih professional,” katanya.

Jelas Rafizi, beliau akan mendedahkan skandal ini sedikit demi sedikit dari masa kes semasa agar pihak lain juga tampil untuk memberikan ulasan dan bukti berkenaan skandal ini.

“Kita menunggu untuk pihak Perdana Menteri memberikan komen berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang PKR, Lateffa Koya berkata SPRM tidak perlu menunggu laporan dibuat kepadaSPRM kerana suruhanjaya itu mempunyai bidang kuasa yang lebih meluas untuk melaksanakan siasatan.