Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Kamera badan bantu siasatan lebih telus

MELAKA, 21 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan penggunaan kamera badan dan kamera papan pemuka oleh pihak berkuasa di negara ini kerana cara itu dilihat lebih telus dan adil bagi bagi kedua-dua pihak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, penggunaan kamera tersebut oleh pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam yang disyorkan oleh badan tersebut adalah bagi menangani kes salah guna kuasa termasuk kesalahan rasuah di negara ini.

Latheefa berkata, penggunan kamera badan itu tiada kaitan dengan hak asasi kerana apabila bercakap tentang ketelusan ia melmbabitkan hak asasi semua orang.

“Tiada isu privasi atau hak asasi, anggota penguat kuasa perlu memastikan bahawa kamera badan berfungsi ketika bertugas dan tindakan diambil sekiranya ianya tidak berfungsi seperti tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau demikian selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawaR) Zon Selatan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Latheefa berkata, ketelusan perlu ada dalam pengunaan kamera badan kerana sekiranya tidak berfungsi ia boleh menimbulkan kesangsian.

Katanya, kamera badan juga boleh menjadi perlindungan bukan hanya kepada orang awam tetapi juga kepada anggota penguatkuasa bertugas jika terdapat tomahan ataupun fitnah.

“Apa-apa yang berlaku kita akan dapat dengar dua orang bercakap, dua versi iaitu satu versi daripada anggota penguatkuasa dan satu lagi dari orang yang mendakwa menjadi mangsa kepada salah guna kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini, kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing dikendalikan oleh pihak polis kerana ia mebabitkan isu keselamatan negara.

“SPRM bersedia sekiranya pihak polis selesai membuat siasatan atau perlu bantuan tambahan, Kami akan membantu.

“Namum buat masa ini ianya dilihat sebagai isu keselamatan negara dan biarlah pihak polis membuat siasatan,”katanya

Beliau berkata, walaupun belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu tersebut, pihak SPRM tidak akan berdiam diri dan hanya menunggu sebaliknya akan mengikutu perkembangan semasa namum siasatan dijalankan oleh pihak polis buat masa ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku atau rasuah

KUALA TERENGGANU, 26 OGOS: Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku atau unsur rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, setakat ini SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara itu yang boleh mengaitkannya dengan gangguan sistem teknikal di lapangan terbang tersebut.

“Setakat ini memang tiada…bagaimanapun SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan yang mengaitkan gangguan teknikal itu dengan salah laku atau unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dialog Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Industri Perhotelan Terengganu Bersama Ketua Pengarah SPRM di sini, hari ini.

Gangguan teknikal pada Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) selama empat hari sejak Rabu lepas telah menyebabkan kelewatan penerbangan dan situasi itu sangat mengecewakan penumpang.

Gangguan itu juga melibatkan fungsi utama seperti penyambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, dan sistem pengendalian bagasi.

Bagaimanapun, situasi di KLIA pulih dengan penumpang dapat mengetahui status penerbangan pada FIDS, yang telah diperbaiki dan proses daftar masuk telah kembali normal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM seru ahli politik, ahli majlis isyithar harta

SHAH ALAM, 19 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru ahli politik yang mempunyai akses kepada dana awam supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebagai usaha mengekang berlakunya rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, langkah itu juga perlu bagi mengelak persepsi bahawa seseorang ahli politik itu terbabit dalam kegiatan berkaitan.

Katanya, pendekatan sama perlu dilakukan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana negeri juga mempunyai sumber kewangan yang tinggi.

“Saya ingin tekankan ahli politik mempunyai akses kepada dana awam yang mendapat peruntukan kawasan dan sebagainya tetap dikehendaki untuk mengisytihar harta.

“SPRM juga menyeru setiap Kerajaan Negeri bukan sahaja Selangor untuk isytihar harta yang mana tidak terhad kepada EXCO tetapi juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Latheefa sebelum itu menyaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan turut disertai EXCO Kerajaan Negeri.

Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 44 jabatan, tiga anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dan masing-masing dua syarikat swasta serta persatuan di Selangor sudah menandatangani IBR.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gejala rasuah di kalangan penjawat awam, golongan muda membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 6 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sebanyak 4,860 tangkapan dari 2014 sehingga Jun tahun ini dengan 46.3 peratus daripada jumlah itu membabitkan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, kebanyakan kes rasuah melibatkan mereka yang berkhidmat dalam sektor perolehan dan sebanyak 53.4 peratus daripada jumlah tangkapan keseluruhan merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

“Malah, satu kajian SPRM tahun lepas merekodkan 22 peratus penjawat awam sanggup menerima rasuah sekiranya mereka ada kuasa. Kalau di kalangan penjawat awam yang masih bekerja jawab begitu, bermakna ini bahaya dan membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, dari 2017 hingga Jun tahun ini, sebanyak 99 tangkapan direkodkan di Terengganu dan dari jumlah tersebut sebanyak 53 orang merupakan penjawat awam

“Penjawat awam Kerajaan negeri adalah 10 orang, penjawat awam persekutuan adalah 43 orang dan selebihnya lain-lain. Jumlah tersebut juga membimbangkan namun ia masih lagi rendah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, DIDI yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menerapkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam di negeri ini melalui pelbagai program termasuk latihan, kursus, dan seminar.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan program-program seumpama itu bagi memastikan usaha membanteras rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri berjaya.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan nasihat dan teknikal dari SPRM untuk memastikan penerapan nilai-nilai anti rasuah melekat di hati pegawai-pegawai yang bertugas,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tolak tawaran RM50,000 UMNO Bahagian Pekan dalam kes lucut hak harta

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menolak tawaran oleh seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan untuk membayar RM50,000 untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah berhubung kes tuntutan melucutkan hak harta.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa tawaran itu dibuat melalui surat representasi oleh Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail, bulan lalu.

“Surat tawaran bertarikh 17 Julai untuk membayar 50 peratus daripada jumlah RM100,000 yang dituntut kerajaan telah ditolak. Saya difahamkan peguam responden akan mengemukakan representasi baharu bagi penyelesaian,” katanya dalam sebutan kes di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan melucuthak sivil di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Nur Shafiqa Balqish Jafri, yang mewakili Ibrahim, berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan respresentasi baharu untuk membatalkan tuntutan kerajaan bagi melucut hak harta itu.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos ini bagi semua pihak memaklumkan perkembangan terkini mengenai permohonan representasi itu. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Serah kuasa pendakwaan sepenuhnya kepada SPRM masih dikaji

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Keperluan meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 supaya kuasa pendakwaan terhadap kes rasuah diserahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya berkenaan masih dikaji, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, setakat ini kuasa badan bebas berkenaan hanyalah untuk menyiasat dan segala pendakwaan diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

”Inilah proses telah diadakan dalam negara sejak kemerdekaan. Pihak Peguam Negara memang ada struktur lengkap, mereka mempunyai Timbalan Pendakwa Raya mencukupi untuk dakwa semua kes jenayah termasuk kes rasuah,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Theodore Douglas Lind yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan atau meminda Seksyen 58 Akta SPRM 2009 supaya kuasa penuh yang sekarang diberikan kepada pendakwa raya untuk membuat semua keputusan dalam tindakan pendakwaan kes rasuah, diserahkan kepada SPRM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu masa teliti, buka semula kes berprofil tinggi

GEORGE TOWN, 23 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti dan membuka semula kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpengaruh.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, beliau sedang meneliti kesemua kes berkaitan termasuk kes-kes di Sarawak dan Pulau Pinang.

“Ini bukan kali pertama saya dimaklumkan ada banyak kes yang dikatakan kontroversi, mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja di Pulau Pinang, di Sarawak melibatkan VIP dan sebagainya. Saya ingin memberitahu bahawa saya sedang mengkaji semula kes-kes berkenaan.

“Saya telah meminta semua fail yang melibatkan individu kontroversi dan saya perlu meneliti dan memahami kenapa ia ditutup, adakah ia benar-benar NFA (tiada tindakan selanjutnya) atas alasan yang betul. Saya memerlukan sedikit masa untuk melakukannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan membuka semula kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Latheefa berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka semula kes berkenaan kerana sudah diputuskan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti dan isu terbaharu yang membolehkan kes tersebut dibuka semula.

“Bagi saya kes-kes yang telah sampai tahap mahkamah dan telah selesai, memang nak buka semula (kes-kes itu) tidak masuk akal. Apabila kes telah selesai di mahkamah, sudah selesai. Tidak boleh membuka kes yang telah selesai. Apabila kes mahkamah selesai dan ditutup,” katanya.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat mahkamah berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam Datuk V Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hakim Mahkamah Sesyen Selangor ditahan SPRM

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Seorang hakim Mahkamah Sesyen di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pendatang tanpa izin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan penahanan itu dan berkata, hakim itu ditahan petang ini bagi membantu siasatan kes pendatang tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.

Beliau berkata, tangkapan itu turut mempunyai kaitan dengan penahanan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis baru-baru ini.

“Sejumlah wang turut dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, reman terhadap seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendatang tanpa izin dilanjutkan selama dua hari dan akan berakhir esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, enam anggota polis yang sebelum ini direman untuk membantu siasatan, dibebaskan hari ini.

Minggu lepas, enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan masing-masing seorang DPP dan peguam ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Azman Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis terbabit dan berkata, kesemua anggota itu ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan berkaitan pembebasan 15 pendatang tanpa izin. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM akan siasat kes punitif berdasar Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat kes-kes yang menggesa tindakan punitif berhubung kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata SPRM telah bertemu dengan Ketua Audit Negara untuk mengkaji kes-kes yang memerlukan tindakan punitif.

“Jadi dari segi Laporan Ketua Audit Negara, kita akan mengkajinya sekali lagi dan melihat sama ada ia melibatkan wang dan situasi yang membolehkan kita membuka kertas siasatan.

Oleh itu, berdasarkan maklumat tersebut, kita sekarang telah menubuhkan pasukan petugas untuk memulakan siasatan,” kata beliau selepas merasmikan Bengkel Serantau mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Selatan Asia, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Latheefa, berkata tiada tempoh ditetapkan tentang bila siasatan akan bermula.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, yang dikeluarkan pada 15 Jun, mendedahkan beberapa isu termasuk elemen manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM digesa percepat siasatan Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya supaya mempercepatkan siasatan terhadap isu Taman Rimba Kiara.

“Saya harap SPRM akan mengkaji semua laporan yang telah dibuat setakat ini dan laporan terbaru dibuat minggu lepas kerana kita perlukan SPRM mengeluarkan keputusan siasatannya dengan cepat dan memberikan kita maklum balas dan penemuan-penemuan mereka,” kata beliau.

“Saya telah pergi semula ke SPRM pada 17 Jun untuk bertanya perkembangan (kes) Taman Rimba Kiara dan kerana ada janji temu, kerana terdapat beberapa laporan berkaitan kes itu yang telah dibuat sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti TTDI di sini hari ini.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mendapat sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain mengenai dua cadangan penyelesaiannya.

“Saya juga menerima sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen KL yang lain dan mereka menyokong dua cadangan penyelesaiannya. Cadangan penyelesaian pertama ialah membatalkan perintah yang telah diberikan atau yang kedua, jika anda mahu terus memberi mereka kebenaran untuk melaksanakan pembinaan, mereka perlu membina dalam lingkungan keluasan tapak rumah panjang sedia ada iaitu seluas 1.78 hektar dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Yeoh berkata, Kabinet belum membuat apa-apa keputusan berkenaan status Taman Rimba Kiara itu kerana ia turut melibatkan beberapa kementerian lain dan ia mengambil masa untuk mendapatkan input-input yang diperlukan.

Selepas mendapat bantahan daripada para penduduk dan pihak-pihak yang berkepentingan, para pemaju projek bersetuju untuk mengecilkan skala projek dan jumlah serta saiz blok apartmen, dengan projek mengambil keluasan 3.2 hektar berbanding keluasan asalnya 4.9 hektar.

Juga, blok apartmen 350 unit yang disediakan untuk penghuni rumah panjang Bukit Kiara akan kekal menjadi sebahagian daripada projek itu. Bagaimanapun, projek berkenaan terus menderima kritikan dan protes daripada persatuan penduduk dan kumpulan-kumpulan berkepentingan. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah: Reman peguam, Timbalan DPP dilanjut

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Reman terhadap seorang peguam dan seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang ditahan kerana disyaki terlibat rasuah, melibatkan pendatang tanpa izin dilanjutkan selama dua hari dan berakhir esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, enam anggota polis yang sebelum ini direman untuk membantu siasatan, dibebaskan hari ini.

“Saya hanya boleh mengesahkan tempoh reman seorang peguam dan seorang timbalan DPP dilanjutkan manakala enam polis yang ditahan pula dibebaskan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis perasmian Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di sini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Kota menyifatkan kes itu dan penahanan peguam serta timbalan DPP berkenaan, sebagai sesuatu yang serius.

Pada 20 Julai lepas, enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dan masing-masing seorang timbalan DPP dan peguam ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu peruntukan sendiri berkait pemunya benefisiari

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Terdapat keperluan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peruntukannya sendiri berkaitan pemunya benifisiari (beneficial ownership) dalam Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, perkara itu penting untuk menyokong siasatan dan memastikan pihak terlibat tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.

“Kerajaan akan meminda Akta SPRM 2009 bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui siapa pemunya benifisiari semasa siasatan dijalankan.

“Kerajaan melihat satu keperluan untuk perkara ini kerana terdapat banyak kes yang mana nama individu lain digunakan sebagai ‘proksi’ untuk menghalang pemilik asal daripada terdedah kepada tindakan yang mungkin,” katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di sini, hari ini.

Latheefa berkata, kuasa penuh undang-undang sedia ada akan dilaksanakan kepada pesalah untuk memastikan tiada pemunya benifisiari yang tidak jelas atau berselindung melakukan aktiviti rasuah dan perusahaan jenayah.

Pada 10 Jan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bercadang memasukkan peruntukan baharu dalam Akta SPRM mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari.

Beliau berkata, ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai Antirasuah yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

– BERNAMA