Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 476,037 individu layak mengundi Sabtu ini

MELAKA, 18 NOV: Seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang mengundi secara pos.

Beliau berkata pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my. aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, dan mereka perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Ikmalrudin berkata pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi dibuat serta membantu kelancaran proses pengundian.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR minta bakal calon PRK Sandakan buat semakan awal

KUALA LUMPUR, 22 APR: Semua bakal calon yang berhasrat bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diminta membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka sebelum Hari Penamaan Calon Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, semakan awal itu boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurut beliau, semakan awal itu bertujuan memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kesilapan pengisian borang semasa Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.

Bagaimanapun menurut Azhar Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon semasa Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata, selain itu, bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, bakal calon diminta membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal serta diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong untuk memasuki Pusat Penamaan Calon pada hari berkenaan.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Anggota Parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan percaya mesej viral di media sosial -SPR

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan pengundi tidak mudah terpengaruh dengan mesej viral di media sosial kerana ia mengelirukan orang ramai.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, orang ramai disaran merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan kesahihan maklumat diterima mereka.

“Antara mesej diviralkan di media sosial baru-baru ini ialah visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan institusi tidak berkaitan dengan SPR.

“SPR menegaskan kaedah yang betul penandaan pada kertas undi adalah tanda pangkah `X’ dalam salah satu petak calon dipilih pengundi pada kertas undi berkenaan.

“Walaupun tanda lain masih diterima, namun ia bergantung kepada pertimbangan Ketua Tempat Mengundi yang memutuskan sama ada penandaan itu dalam kategori undi diterima, undi ragu atau undi ditolak,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hashim berkata, bagi kemudahan pengundi, poster panduan cara penandaan kertas undi dengan betul turut dipaparkan pada setiap petak undi bagi memberi panduan kepada pengundi.

Beliau berkata, SPR juga tidak lagi menggunakan pensil dalam urusan pengundian, sebaliknya hanya menggunakan pen mata bola sejak pilihan raya lalu.

“Hanya kerani pengundian pertama saja yang mempunyai pen bagi menanda pemotongan nama pengundi dalam buku daftar Pemilih Pilihan Raya bagi saluran berkenaan, manakala petugas lain tidak dibenarkan mempunyai pen atau pensil untuk mencatat apa-apa pada kertas undi atau bahagian keratan buku kertas undi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati supaya tidak mengotorkan kertas undi dengan sengaja sama ada dengan dakwat dan sebagainya. Jika kertas undi didapati rosak dengan tidak sengaja, pengundi hanya boleh meminta penukaran kertas undi lain sekali saja,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Shahrul Aman Mohd Saari mendapati laman media sosial tular dengan mesej palsu berhubung cara mengundi yang salah.

Mesej berjaya dikesan kakitangan BERSIH 2.0 sejak awal April itu tersebar luas melalui aplikasi whatsapp, facebook dan twitter.

Categories
NASIONAL

SPR perlu perjelas status pindahan sejuta pengundi, elak kekeliruan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JUN : Proses pemindahan melibatkan status sejuta pemilih perlu diperjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ketika hari pengundian.

Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata wujudnya kelemahan hasil perubahan tersebut berdasarkan kajian dibuat Unit Data Jabatan Pilihanraya KEADILAN.

nurul izzah ipad 01“Bukan sahaja CD mengandungi maklumat terkini berkait daerah mengundi baru sahaja diberi kepada semua parti politik, tetapi Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku 1, 2016 jua tidak memaparkan senarai daerah mengundi baru digazet.

“Ternyata, tinjauan kami mendapati kenyataan Pengerusi SPR jauh meleset  kerana pengundi baru yang mendaftar pada akhir tahun lepas ataupun awal 2016 hanya akan melihat senarai data daerah mengundi lama mereka walaupun mereka memeriksa rekod terkini di Pejabat SPR,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah menyatakan bahawa proses penukaran tempat mengundi buat pemilih telah digazet seawal Disember 2014.

Hashim berkata, proses tersebut juga digazet kononnya merujuk kepada kriteria pemilih untuk memudahkan pengundi mengundi di kawasan pusat pengundian.

Nurul Izzah berkata, seramai 118,775 pengundi terkesan dengan perubahan peralihan DUN dan daripada jumlah tersebut seramai 41,850 adalah pemilih melibatkan perubahan Parlimen.

SPR“Saya mendesak SPR agar memaklumkan kepada pengundi tentang status pemindahan terkini serta mengemaskini maklumat di pejabat SPR, bukannya mengharap usaha unilateral diambil oleh pemilih.

“SPR wajib menyatakan usaha diambil dalam menghubungi pengundi supaya kekeliruan dan kepincangan dalam proses demokrasi tidak berterusan,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Pada masa sama kata Izzah, Pengerusi SPR perlu mengambil maklum pendedahan KEADILAN melaksanakan rekomendasi Jawatankuasa Pilihan Parlimen secara telus.

-nR-

Laporan Projek Pendemokrasian Selangor Dedah 134,675 Pengundi Tidak Dikenali

SHAH ALAM 23 NOV : Seramai 134,675 pengundi tidak dikenali dikenal pasti didaftar di negeri Selangor dedah Laporan Projek Pendemokrasian.

Jumlah ini mewakili kira-kira 28 peratus daripada jumlah 497,084 pemilih baru yang didaftarkan. Sebagai rekod sehingga kini jumlah pengundi di negeri ini mencecah 1,924,281 orang.

Semakan daftar pemilih bagi jumlah itu berdasarkan daftar pemilih induk (DPI) suku ke empat 2011 yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta dilaksanakan mengikut 56 DUN yang dilakukan oleh Ketua Kampung, Ahli Majlis, kakitangan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mengikut laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) itu mencatatkan DUN Sri Serdang mengalami bilangan pengundi tidak dikenali yang paling ramai iaitu lebih 9,000 orang.

Ia diikuti dengan DUN Subang Jaya 8,000 orang, Hulu Kelang 5,500 orang dan Sri Muda 5,000 orang.

Daripada jumlah keseluruhan pemilih baru itu, sebanyak 51 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun.

Manakala bagi pemilih yang tidak dikenal pasti iaitu seramai 134,675 orang itu, sebanyak 44 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun.

Dari aspek jantina, sebanyak 51 peratus pemilih baru merupakan lelaki dan 49 peratus wanita.

Manakala, bagi kajian pemilih yang tidak dikenal pasti pasti turut mendapati 51 peratus adalah lelaki dan 49 peratus wanita.

Mengikut aspek bangsa pula, bangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 49 peratus, diikuti Cina sebanyak 34 peratus dan India sebanyak 13 peratus daripada keseluruhan jumlah pemilih berdasarkan DPI suku ke empat tahun 2011.

Bagi pemilih baru, ia menunjukkan 55 peratus daripada bangsa Melayu merupakan pemilih baru manakala 45 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dilakukan.

Selain itu, kaum Cina sebanyak 28 peratus pemilih baru dan 35 peratus tidak dapat dikenal pasti.

Manakala bagi India, sebanyak 11 peratus pemilih baru dan 13 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dijalankan.

Sementara itu, lain-lain sebanyak 8,561 pemilih baru yang terdiri antaranya Orang Asli Semenanjung, Punjabi, Eurasian, Jawa, Pakistan, Sri Lanka dan Hakka.

Laporan terbabit juga memaklumkan penambahan pemilih baru pada setiap suku tahun iaitu bermula suku ke empat 2011 hingga suku tahun ke tiga 2012 mendapati mengalami peningkatan.

Hal itu dibuktikan seramai 497,084 orang dengan peratusan 32 peratus pada suku ke empat 2011 ; 563,471 orang dengan peratusan 36 peratus pada suku pertama 2012 ; 600,406 orang dengan peratusan 38 peratus pada suku kedua 2012 dan meningkat kepada 625,210 orang dengan peratusan 40 peratus bagi suku ke empat 2012.

Jumlah pemilih berdasar suku ke tiga 2012 (belum digazetkan) seramai 2,025,153 orang serta daripada jumlah itu seramai 513,074 pemilih baru yang mencatatkan 51 peratus lelaki dan 49 peratus wanita.

Laporan Projek Pendemokrasian diserahkan kepada Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini dan diedarkan kepada Adun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan dalam satu sidang media, laporan ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sebaik sidang DNS berakhir minggu depan.

Laporan Penuh: Laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor