Categories
NASIONAL

PKR Dakwa Ada Bukti SPR Daftar Pemilih Baru Tanpa Pengetahuan Penama

PKR 1

PETALING JAYA, 19 FEB: Penolong-penolong pendaftar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh diheret kemuka pengadilan sekiranya terbukti bersekongkol di dalam penipuan pendaftar pengundi baru tanpa pengetahuan penama asal.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa berdasarkan aduan yang diterima setakat ini, PKR mempunyai cukup bukti untuk mengheret mereka meskipun sebelum ini SPR tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang luarbiasa.

Menurutnya, peningkatan mendadak jumlah daftar pengundi baru menunjukkan unsur-unsur kesalahan jenayah dari segi undang-undang negara seperti yang termaktub dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya Akta (5) 1954, Seksyen 3 (1) (a).

“Seksyen berkenaan menyatakan, mana-mana orang yang dengan diketahuinya membuat apa-apa penyataan palsu dalam atau berkaitan dengan apa-apa permohonan supaya dimasukkan ke dalam mana-mana daftar pemilih.

“Boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan dan di denda kedua-duanya,” katanya dalam satu sidang media.

Menurut Fuziah aduan yang diterima dari pelbagai latar belakang antaranya pelajar di luar negara, pemilih cukup umur, orang dewasa yang tidak pernah mendaftar dan juga ahli Puteri Umno.

Pihak PKR menggesa semua yang didalam kategori di atas dengan segera memeriksa status pemilih mereka dilaman web SPR atau melalui wakil-wakil parti.

Tegasnya, SPR diminta memberi segala kerjasama untuk buatkan cabutan borang pendaftaran pemilih sekiranya di minta oleh pihak diri pemilih.

Keengganan oleh pihak SPR untuk memberi kerjasama akan mengundang rakyat menaruh syak kepada SPR bahawa mereka dikawal oleh Umno-BN, ujar beliau lagi.

“Sekiranya didapati nama mereka di daftarkan tanpa pengetahuan, mereka disaran ke Pejabat SPR berdekatan dan buat cabutan borang permohonan mereka.

“Sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada SPR sila laporkan kepada kami.

“Setelah mendapat borang cabutan. Sila buat laporan polis ke atas pendaftar yang melakukan kesalahan tersebut.

“Serah satu salinan borang cabutan dan laporan polis kepada kami. Pihak PKR akan lantik satu majlis peguam untuk meilhat kepada kes ini,” ujarnya lagi.

Categories
SELANGOR

MB: SPR Bebas Tentukan PRU-13 Serentak Dengan Selangor

mb pecah tanah

SHAH ALAM 15 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dalam tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) Selangor.

Sebelum ini, beliau mengumumkan akan membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei hujung bulan ini.

Menurut Abdul Khalid, menjadi tugas SPR untuk menyesuaikan tarikh yang bersesuaian dengan Kerajaan Pusat jika mahu PRU-13 diadakan secara serentak.

mb rasmiJelasnya, kesesuaian tarikh yang bakal diumumkan SPR itu yang menjadi penentu sama ada PRU-13 akan diadakan serentak atau berasingan.

“Apabila saya umumkan pembubaran, SPR mesti mengadakan PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN Selangor.

“Terpulang pada SPR untuk sesuaikan tarikh dengan Kerajaan Pusat, namun jika tidak sesuai saya buat pilihan raya dulu, dan jika sesuai kita buat pilihan raya sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Ketiga di Klang pagi tadi.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dipetik sebagai berkata, badan bebas itu mempunyai kuasa mutlak menentukan tarikh PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Menurut Abdul Khalid, rakyat kini sudah tidak sabar dan tertunggu-tunggu tarikh PRU-13 dan ia turut membantutkan perkembangan sektor ekonomi di negeri ini.

“Rakyat sudah tertanya-tanya bila PRU-13, jadi rakyat tak buat kerja, asyik tunggu pilihan raya, keputusan pelaburan pun tak buat, sektor peniagaan pun tunggu pilihan raya.

“Lagi lama pilihan raya hendak diadakan, lagi lambat ekonomi membangun,” ujarnya.

 

Categories
SELANGOR

Walau Dihalang SPR : Tugas Mafrel Pantau Pilihan Raya Tidak Terjejas

SHAH ALAM 3 OGOS : Tugas Badan Malaysia Untuk Pilihan raya Bebas dan Adil (Mafrel) tidak akan terjejas walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengiktiraf tugas badan itu bagi memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata untuk penambahbaikan proses demokrasi sewajarnya pihak SPR mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan pemantauan dan memberikan input dan maklum balas yang baik untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya.

“Mafrel akan meneruskan kerja dan kini sedang rancak untuk melaksanakan pemantauan semasa PRU-13, bagi Mafrel sendiri kita akan bertindak berdasarkan pengalaman dan perancangan yang sudah kita buat.

“Mafrel untuk melaksanakan tugas tidak akan terhalang kerana proses pemantauan ini luas, ia bukan hanya pemantauan pada hari mengundi tetapi merangkumi tugas untuk memeriksa daftar mengundi yang boleh dilaksanakan bila-bila masa sahaja,” kata Syed Noh ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, Mafrel masih boleh membuat pemantauan semasa proses penamaan calon yang boleh dilakukan daripada luar kawasan yang ditetapkan SPR dan juga pada waktu berkempen.

“Yang mungkin tidak boleh ialah cuma di kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai kawasan larangan oleh pihak SPR khususnya pusat penamaan calon dan pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi,lain-lain tempat adalah terbuka untuk Mafrel melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, SPR memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada badan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya berikutan aduan yang diterima.

Sementara itu,Syed Noh menegaskan keperluan untuk pihak pemantau antarabangsa dibenarkan bagi melaksanakan tugas dengan pemantauan semasa PRU-13 nanti.

“Pemantau antarabangsa akan membuat pemantauan secara umum dan peringkat tertinggi sahaja seperti soal keselamatan,demokrasi dan hak asasi secara umum,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manifesto Pilihan Raya SPR Teruskan Sikap Berat Sebelah

SHAH ALAM 26 JUN : Pemuda PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang  tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata tindakan SPR itu seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno-BN selama ini.

Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap SPR sebagi  ?budak suruhan? BN, tindakan terbaru SPR ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

“Pemuda PAS merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

“Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Ujar Riduan, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat. Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Tegas beliau, setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” katanya.

Categories
SELANGOR

SPR, Pos Malaysia Harus Atasi Masalah Bekalan Borang Pemilih


Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 22 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pos Malaysia digesa supaya memastikan borang pendaftaran pemilih mencukupi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata tinjauan oleh pihaknya di pejabat Pos sekitar Subang Jaya mendapati borang tersebut sudah kehabisan selama dua bulan.

“Pejabat Dun terima aduan penduduk yang memberitahu bila mereka pergi ke pejabat pos Seksyen 15, Subang Jaya untuk mendaftar sebagai pemilih SPR, borang dah habis, ak boleh daftar sudah dua bulan.

“Bila saya hubungi SPR, SPR kata Pos Malaysia kurang beri kerjasama,” kata Hannah.

Menurut Pembantu Adun Subang Jaya, Timothy Ho Sze Ye pula, beliau juga telah melawat Pejabat Pos di Pasaraya Mydin di Seksyen 1 dan Seksyen 15 pada 14 Jun untuk mendapatkan maklum balas berhubung aduan itu.

“Di Pejabat Pos Mydin, saya diberitahu oleh petugas kaunter, borang pendaftaran baru sahaja masuk pada awal bulan Mei,” kata Timothy.

“Selepas itu saya ada menghubungi Pengurus Cawangan, Puan Farah dan dia mengesahkan borang dah sampai pada 11 Mei. Tetapi bila saya pergi pada 15 Jun, petugas kaunter maklumkan borang dah habis untuk selama dua, tiga bulan.

“YB Hannah sendiri juga periksa di Pejabat Pos Cawangan Giant Putra Heights dan diberitahu tiada bekalan.

“Saya percaya ada Pejabat Pos lain juga hadapi kehabisan bekalan borang pendaftaran SPR,” ujar Timothy.

Menurut Hannah, masalah ketiadaan borang akan menyebabkan hasrat golongan muda untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih akan terbantut.

“Bila seseorang anak muda pergi ke Pejabat Pos untuk mendaftar, itu adalah satu langkah besar yang telah diambil.

“Bagaimanapun apabila sampai di sana dan tidak dapat mendaftar kerana tiada borang, ini akan merencatkan hasrat anak muda tadi disebabkan perkara yang tak sepatutnya berlaku,” kata Hannah.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

DUN Chempaka Kesan Pertambahan 35 Pengundi Dalam Sebuah Rumah

AMPANG, 25 MEI : Iskandar Abdul Samad hari ini mendedahkan terdapat pertambahan pengundi meragukan di sebuah rumah di Kampung Pandan di sini serta pertambahan penduduk ketara sejak 2008.

Katanya, di  tiga lorong itu bagi 10 rumah dari 2007 hingga tahun lalu mencatat pertambahan 236 orang dan ini mendatangkan keresahan kepada penduduk.

“Kalau kita lihat yang paling ketara ialah Lorong Cantik di rumah nombor lima, tahun 2007 ada lapan pengundi tetapi yang terkini sehingga 2011 ada 43 pengundi bermakna ada pertambahan 35 orang.

“Tidak mungkin dalam rumah sebegini akan bertambah begini ramai dalam masa empat tahun, begitu juga rumah-rumah lain yang dilihat bertambah hingga satu rumah ada 10 orang baru,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Iskandar berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan dan melakukan tindakan sewajarnya berhubung pendedahan ‘pengundi hantu’ ini.

Tambahnya ia tidak mungkin dilakukan individu tertentu tetapi pihak berkepentingan.

“Walaupun masa untuk menyemak dan membantah untuk suku tahun ini telah tamat tetapi demi kredibiliti SPR ia tidak sepatutnya berdiam diri,” ujarnya.

Seorang penduduk, Mohd Fauzi Ariffin, 26, berkata ayahnya Ariffin Sahak, 76, tinggal bersendirian di rumahnya sejak sekian lama tetapi kini dikatakan terdapat empat penghuni baru yang tidak dikenali.

“Semakan mendapati ada empat orang menetap di rumah saya di Lorong Kemajuan 1. Memang saya tak mengenali dan tak tahu siapa mereka ini.

“Tahun 2007 hanya ayah saya seorang didaftarkan di rumah ini,” katanya.

Iskandar berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu dari penduduk tempatan dan ia adalah memeranjatkan.

Malah, siasatan mendapati DUN Chempaka mendapat pertambahan pengundi baru kira-kira 25 peratus, ini menunjukkan peningkatan seramai 8,000 pengundi dari 32 ribu kepada 40 ribu pengundi

“Hasil kajian ini adalah bukti bahawa terdapat usaha yang terancang untuk memindahkan pengundi-pengundi ke dalam kawasan DUN tertentu di Selangor.

“Mereka yang melakukan pemindahan ini mungkin berpandangan bahawa untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melalui proses pilihan raya biasa kemungkinan besar tidak akan berjaya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.