Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Kedudukan pusat mengundi ikut persempadanan 2018

PUTRAJAYA, 23 OKT: Kedudukan pusat mengundi yang jauh dari Kampung Ulu Pulai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah mengikut syor persempadanan baharu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang diluluskan di Parlimen pada 28 Mac 2018, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sehubungan pewartaan syor persempadanan baharu, terdapat beberapa kawasan bahagian pilihan raya sedia ada yang telah berubah mengikut syor tersebut,” kata SPR dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPR, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Kampung Ulu Pulai terletak dalam Daerah Mengundi Kampung Pulai, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusa Jaya dan Parlimen Gelang Patah, manakala pusat mengundi adalah di Sekolah Kebangsaan Kampung Pulai.

Berdasarkan persempadanan baharu itu, Kampung Ulu Pulai telah berubah ke Daerah Mengundi Bandar Pekan Nenas Selatan, DUN Pekan Nanas dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan mereka mengundi di SJK (C) Yu Ming 1 pada PRU14, katanya.

“Perubahan ini dilaksanakan setelah mengambil kira sempadan pentadbiran Daerah Pontian dan Daerah Johor Bahru,” kata SPR.

Sebuah stesen televisyen baru-baru ini melaporkan penduduk Tanjung Piai mahu isu pusat mengundi yang jauh sehingga 10 km diselesaikan menjelang PRK tersebut.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR, JPN tubuh pasukan petugas khas selaras undi 18 tahun

PUTRAJAYA, 10 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan.

“Di samping itu, salah satu program kerjasama SPR dan JPN yang telah dirancang adalah mengadakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan warganegara untuk mengemas kini alamat bermastautin terkini di JPN,” katanya.

Azhar berkata, walaupun usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021, namun SPR akan berusaha untuk melaksanakannya secepat mungkin.

Dalam tempoh peralihan sebelum dikuatkuasakan, SPR bercadang untuk melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli parti politik, katanya.

“Bagi tujuan ini, parti-parti politik boleh mengemukakan cadangan pelantikan ini kepada Ibu Pejabat SPR dan mana-mana pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara mulai sekarang,” katanya.

Azhar berkata, SPR turut mencadangkan agar pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri bagi membolehkan calon berumur 18 tahun sebagai wakil dewan undangan negeri (DUN) dibuat semasa persidangan DUN yang dijangka pada November ini atau selewat-lewatnya Mac 2020.

Katanya, pemilihan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Rakyat telah mula dikuatkuasakan pada 11 September lepas.

“Kesemua pihak ambil maklum akan pindaan ini yang berkuatkuasa di peringkat Dewan Rakyat dan berharap ianya juga dapat dilaksanakan dengan segera di peringkat DUN,” katanya.

Beliau berkata, kesemua perkara itu telah diterangkan kepada 20 wakil parti politik dalam sesi libat urus bipartisan berhubung pelaksanaan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 3 Oktober lepas.

Azhar berkata, SPR turut memaklumkan tentang pelaksanaan program-program pendidikan pengundi bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah.

Beliau berkata, SPR telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah menengah.

“Sekiranya ada parti politik ingin mengetahui tentang perkara tersebut, SPR bersedia untuk memaklumkan kandungan terperinci modul tersebut,” katanya.

Azhar berkata, SPR akan terus mengadakan sesi libat urus dengan parti politik dan pelbagai pihak dari semasa ke semasa selain memaklumkan status pelaksanaan terkini undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: Tiada pilihan raya negeri Perak

PUTRAJAYA, 10 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan bahawa suruhanjaya itu sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak berikutan tular surat mengenai lawatan ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata, lawatan ke sekolah-sekolah itu merupakan urusan semakan yang dijalankan SPR dari semasa ke semasa.

“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai,” katanya.

Media dalam talian terutamanya menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

Azhar berkata, lawatan berkenaan juga adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958.

Azhar dalam pada itu menasihatkan pihak media atau orang ramai agar merujuk kepada SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada orang awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Tanjung Piai: Calon umur 18 boleh bertanding

PUTRAJAYA, 1 OKT: Parti politik boleh menamakan calon umur 18 tahun buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.

“Parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun kerana pindaan itu sudah diwartakan,” katanya sidang media selepas Mesyuarat Khas urusan PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata kelayakan calon umur 18 tahun untuk layak bertanding akan ditentukan semasa hari penamaan calon iaitu pada 2 November oleh pegawai pengurus.

SPR hari ini menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November ini. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November, manakala tarikh mengundi awal pada 12 November.

Pindaan Perkara 47 iaitu mengenai calon umur 18 dan Perkara 119 mengenai had umur mengundi Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada 4 September dan diwartakan pada 10 September lepas.

Azhar berkata, SPR sedang mengambil tindakan untuk melibat urus secara bipartisan minggu ini untuk membincangkan perkara berhubung calon umur 18 tahun.

“SPR akan terlibat dengan parti-parti politik tidak lama lagi kerana ia merupakan inisiatif bipartisan dan akan duduk bersama untuk membincangkan apa yang telah diluluskan dan diwartakan,” katanya.

Ditanya pengundi umur 18 tahun, Azhar berkata, golongan itu belum lagi boleh mengundi dalam PRK Tanjung Piai kerana ia belum dikuatkuasakan pelaksanaannya.

“Penurunan had umur mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan apabila diputuskan dan diwartakan pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai salah laku ketika PRK Tanjung Piai, Azhar berkata, beliau berharap ia tidak akan terjadi dan menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat untuk mematuhi peraturan dan peruntukan perundangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR umum tarikh PRK Tanjung Piai hari ini

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Johor hari ini.

SPR akan mengumumkan tarikh itu pada sidang akhbar tengahari ini di Menara SPR, Putrajaya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi. Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Proses pelaksanaan penuh Undi18 diketahui akhir 2021

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Status proses pelaksanaan sepenuhnya Undi18 tahun dijangka akan dapat diketahui sekurang-kurangnya pada akhir tahun hadapan atau selewatnya pada akhir 2021, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata ini kerana SPR perlu mengambil kira beberapa keperluan serta sesi libat urus terlebih dahulu bagi menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh serta berkesan dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan dari sekarang.

Katanya, Undi18 itu juga melibatkan tiga komponen utama iaitu umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun, umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran warga negara yang layak sebagai pemilih secara automatik.

“SPR akan memaklumkan kepada pihak Kerajaan serta pembangkang dari semasa ke semasa mengenai status kesediaan SPR untuk melaksanakan sepenuhnya Undi18 yang berkenaan.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa Undi18 itu akan hanya dilaksanakan sama ada secara bersekali (melibatkan ketiga-tiga komponen utama) atau berasingan iaitu dengan berperingkat setelah mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar Azizan berkata pada masa ini, SPR sedang meneliti isu-isu berkaitan pelaksanaan penuh Undi18 untuk menyediakan satu garis masa dan kajian kos yang lengkap mengenai pelaksanaan undi tersebut.

Antara isu-isu yang berkaitan katanya termasuk menaik taraf sistem ICT SPR, keperluan data-data dari jabatan atau agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara atau Mahkamah serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18 dan pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan warga negara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata penelitian dibuat termasuk kajian mengenai pusat-pusat mengundi baharu yang perlu diwujudkan untuk menampung pertambahan jumlah pengundi yang mendadak pada pilihan raya akan datang dan penetapan lokaliti pengundi-pengundi baharu.

Berdasarkan rekod, kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023.

Dianggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Sementara itu, mengenai penglibatan pengundi 18 tahun pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sarawak Ke-12, beliau berkata SPR tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai tarikh pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut Azhar Azizan tarikh PRU bagi negeri berkenaan masih tidak dapat dipastikan, justeru itu persoalan sama ada pengundi-pengundi 18 tahun dapat mengundi pada PRU tersebut tidak dapat dijawab secara tepat pada masa ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pelajar keracunan makanan: SPR mohon maaf

GEORGE TOWN, 25 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memohon maaf kepada pelajar Politeknik Balik Pulau dekat sini yang mengalami keracunan makanan selepas menghadiri Program Pendidikan Pengundi anjurannya, semalam.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan turut menzahirkan rasa kesal dan bersimpati terhadap pelajar terbabit dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menangani kejadian itu.

“Susulan kejadian ini, SPR telah dimaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Menurutnya, SPR telah melantik sebuah syarikat pembekal makanan tempatan bagi menyediakan makanan tengah hari untuk pelajar, tenaga pengajar dan petugas SPR semasa program itu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Hospital Balik Pulau, seramai 85 orang pelajar telah disahkan mengalami keracunan makanan dan daripada jumlah ini, 84 orang telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang pelajar telah dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut,” katanya.

Azhar turut meminta pelajar dan tenaga pengajar terlibat supaya menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya masih merasa tidak sihat dan terdapat tanda-tanda keracunan makanan.

Beliau berkata, SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah menganjurkan program itu bersama Politeknik Balik Pulau, semalam bagi memberi pendedahan dan pendidikan tentang proses pilihan raya negara membabitkan seramai 207 pelajar.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR: Daftar pemilih automatik perlu pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Sistem pendaftaran pemilih secara automatik memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

“Berdasarkan kerangka undang-undang sedia ada, warganegara perlu memohon bagi didaftarkan sebagai pengundi dan jika melaksanakan pendaftaran automatik, maka peruntukan sekarang yang diguna pakai perlu dipinda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa Ahli Parlimen pembangkang bersedia menyokong pindaan itu sekiranya warganegara Malaysia berumur 18 tahun didaftar sebagai pemilih secara automatik selain had umur calon pilihan raya diturunkan kepada usia sama.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan dibentang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usul turun had umur mengundi dibawa ke Parlimen Julai ini

KUCHING, 25 JUN: Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, pembentangan usul itu yang dijadualkan pada 4 Julai bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sekiranya diluluskan, lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuk di politeknik kerajaan layak mengundi pada pilihan raya yang datang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pendidikan Pengundi bersama Politeknik Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga suku pertama tahun ini, seramai 3.8 juta belia yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara.

Mengenai Program Pendidikan Pengundi SPR, beliau berkata seramai 31,355 pelajar berumur 18 hingga 26 tahun telah menyertai program yang diadakan melalui Akademi Pilihan Raya (APR) yang antara lain bertujuan menjawab pelbagai isu berkaitan pilihan raya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2021, beliau berkata SPR sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu.

Azhar turut menafikan dakwaan yang diviralkan di media sosial bahawa rakyat Sarawak diminta untuk mendaftar sebagai pengundi di pejabat SPR atau pejabat pos dengan segera dan tarikh tutup pendaftaran itu adalah 30 Jun 2019.

Beliau berkata, tarikh akhir untuk mendaftar sebagai pengundi akan hanya diketahui selepas tarikh pilihan raya itu diumumkan.

“Saya menasihati mereka yang belum menjadi pengundi untuk mendaftar secepat mungkin agar kesulitan dan kecewaan tidak timbul,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengundi PRK Sandakan diminta buat semakan awal

SANDAKAN, 5 MEI: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

Pengundi terbabit boleh membuat semakan melalui saluran dengan melayari portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di www.spr.gov.my, menelefon ke talian 03-88927018, menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNo Kad Pengenalan).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

Sebaliknya, boleh terus ke saluran mengundi manakala bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih, katanya.

Menurutnya para pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Beliau berkata catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR hantar kad kepada 39,349 pengundi berdaftar di Sandakan

SANDAKAN, 24 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif untuk menghantar kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa dalam usaha menggalak serta memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.

“Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

“SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lepas kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar juga berkata, SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Katanya lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Disiplin penyokong parti politik kurang memuaskan – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Disiplin penyokong parti politik pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini, kurang memuaskan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, ini kerana masih terdapat beberapa barong yang didirikan berhampiran pusat mengundi.

“Perjalanan PRK berjalan lancar (setakat 11.30 pagi), saya sudah lawat tiga pusat mengundi, cuma disiplin calon dan parti politik agak kurang memuaskan kerana terdapat barong-barong panas masih dibina.

“Macam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Seri Sendayan, ada dua barong tetapi yang beroperasi hanya dari satu pihak iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun saya sendiri suruh berhentikan, mereka berhentikan 15 minit namun minit ke 16 sudah mula balik, saya kena bagi amaran dua kali baru berhenti, kemudian mula balik semak pula pakai telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembinaan barong di sekitar pusat mengundi bagi menyemak saluran pengundi yang ingin mengundi.

Setakat pukul 11 pagi, Azhar Azizan berkata, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 38 peratus.

“Bagi saya memuaskan kalau tiga jam dah 38 peratus, ada lagi enam jam setengah, kalau lagi 38 peratus lagi sudah 76 peratus… tak berani nak cakap tetapi kalau ikut trend dan dari segi logik sepatutunya pada 5.30 perang sudah boleh dapat 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini seperti kekecohan atau pergaduhan berlaku setakat ini.

“Kita tidak mahu kekecohan berlaku, kalau kita suruh berhenti tetapi mereka nak teruskan juga, kita guna pendekatan lembut, kita rakam peristiwa untuk kita buat laporan polis dikemudian hari.

PRK DUN Rantau hari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA