Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu berkaitan SPRM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis Presiden PAKATAN dalam kenyataan berkata kerajaan wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pembentukan suruhanjaya berkenaan.

“PAKATAN berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM serta mencadangkan langkah mereformasi institusi penting ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Pada 20 September, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Majid.

Susulan itu, PAKATAN menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara daripada menjalankan sebarang tugas sehingga siasatan penuh dilakukan.

“Tahanan reman tersebut telah menimbulkan persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri.

“Kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” tambah kenyataan itu.

Majlis Presiden PAKATAN juga menyambut baik satu kertas inkuiri polis dibuka terhadap kes terbabit.

 

Categories
NASIONAL

PKR: Tembak Tanpa Amaran, Zahid Wajar Ditangkap

zahid-surendranSHAH ALAM, 7 OKTOBER: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar ditangkap kerana mahu anggota polis menembak suspek jenayah tanpa amaran.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata kenyataan Menteri Umno-BN itu merupakan satu kesalahan yang serius dibawah pelbagai Kanun Keseksaan seperti 302, 120A dan 107.

“Maknanya Menteri Dalam Negeri sendiri sedang mengarahkan ataupun mengapi-apikan polis untuk melakukan pembunuhan kerana kalau polis tembak tanpa amaran, pakai tembak sahaja suspek maknanya itu ditakrifkan sebagai pembunuhan dibawah Kanun Keseksaan,” kata Ahli Parlimen Padang Serai ini kepada TV Selangor.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap dalam satu ‘Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat’ pada hari Sabtu lalu.

Dalam majlis itu para wartawan dilaporkan dihalau keluar dan diugut oleh menteri tersebut agar tidak melaporkan kandungan ucapannya.

“Pada pendapat saya Menteri Dalam Negeri perlu ditangkap segera (kerana) meminta supaya pembunuhan dilakukan,” kata Surendran.

Mengikut undang-undang, suspek adalah orang yang disyaki melakukan jenayah. Perbezaan antara suspek dan pelaku adalah suspek tidak diketahui samada melakukan kesalahan, manakala pelaku melakukan kesalahan itu, tetapi tidak semestinya disyaki.

Tatacara penguatkuasa undang-undang yang digunapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan penggunaan senjata api adalah langkah ekstrem dan tidak boleh digunakan kecuali suspek mengancam nyawa orang lain.

Ekoran kenyataan Zahid itu, Surendren menggesa semua kes tembak sampai mati melibatkan polis dibuka untuk siasatan semula. Sebelum ini, media pernah melaporkan beberapa melibatkan anak-anak muda yang ditembak sampai mati oleh pihak berkuasa. Turut dilaporkan kes-kes rakyat Malaysia ditemui mati sewaktu dalam tahanan polis.

“Kita menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera. Satu siasatan polis yang bebas juga perlu segera dijalankan keatas kenyataan Zahid, yang dengan jelas melanggar undang-undang,” tegas Surendran.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Saya Akan Serah Bukti Pendatang Asing Sabah – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pendatang asing di Sabah.

2. PKR memandang berat tuntutan sesetengah pihak yang ingin mengembalikan hak kerajaan untuk menahan suspek dibawah Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3. Undang-undang Islam boleh dilaksanakan bagi mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang dihapuskan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Komuter Wilayah Iskandar, Syarikat Berkaitan Umno Didakwa Dapat Konsesi 31 Tahun – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 15072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mendesak kerajaan menjelaskan mengapa projek landasan keretapi untuk Wilayah Iskandar dianugerahkan kepada syarikat berkepentingan Umno secara runding terus.

2. Suruhanjaya Siasatan Diraja keatas pendatang haram Sabah diberitahu ahli-ahli politik melindungi dan menaungi sekolah-sekolah haram yang diuruskan oleh pendatang.

3. Pakatan Rakyat hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Tony Pua Sifatkan EAIC Harimau Tidak Bertaring

tony pua Forum Air

SHAH ALAM 10 JUN : Setiausaha Publisiti DAP,  hari ini menyifatkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai harimau tidak bertaring dan penubuhannya hanya kerja kosmetik untuk menenangkan orang ramai disebalik desakan cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta bantahan lantang daripada pasukan polis.

Tony berkata demikian sebagi menyangkal dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menyamakan EAIC dengan cadangan penubuhan IPCMC.

Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka. Sebaliknya, Tony menegaskan EAIC yang ditubuhkan pada 2011 hanya diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada organ tatatertib polis atau pendakwaraya.

Penubuhannya adalah sekadar bertujuan menenangkan desakan meluas untuk penubuhan IPCMC pada ketika itu.

“Sedangkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005 adalah jelas sebagai sebuah agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis.

“Jelas, EAIC direka khusus untuk gagalkan objektif IPCMC,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Tony berkata sejak tiga tahun ditubuhkan, EAIC yang  menerima bajet RM7 juta setahun sekadar mempunyai seorang pegawai penyiasat di samping 23 pekerja lain; termasuk kerani dan juga pemandu.

Kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad bahawa sehingga akhir 2012, EAIC hanya mencadangkan satu tindakan disiplin dan mengeluarkan dua amaran kepada penjawat awam juga membuktikan badan itu sebenarnya tidak efektif.

“Hakikat bahawa kerajaan tidak serius, dengan hanya satu pegawai penyiasat untuk memantau 19 agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya adalah bukti niat keseluruhan aktiviti EAIC adalah untuk gagal,” tambahnya.

Lebih dikesalkan, jelas Tony, Menteri JPM itu begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan BN dengan memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan IPCMC yang menurutnya adalah lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC.

Paul Low yang ketika itu merupakan Presiden Transparency Intergrity Malaysia pernah berkata tindakan kerajaan mencairkan cadangan IPCMC adalah indikator jelas bahawa kerajaan tidak mampu mengawal pihak-pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, Paul Low mengumumkan kerajaan mengambil keputusan ‘lebih kurang’ untuk tidak melaksanakan IPCMC tetapi akan melakukan banyak rombakan memperbaiki EAIC yang sedia ada.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Cadang Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat PRU13 – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 15052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dan menyemak semula proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sejurus penubuhan jemaah menteri kabinet.

2. Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuatkuasa 17 Mei menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang bersara selepas tamat kontrak Khamis ini.

3. Pakatan Rakyat mengharapkan Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Khalid Abu Bakar dapat mengangkat tahap profesionalisma polis dengan lebih adil dan bertanggungjawab.

polis

Categories
NASIONAL

Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat PRU13

Kit Siang Anwar PC

PETALING JAYA, 15 MEI: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dan menyemak semula proses Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) sejurus penubuhan jemaah menteri kabinet .

Katanya, keanggotaan suruhanjaya siasatan ini perlu dipersetujui oleh BN dan Pakatan Rakyat, bukan satu pihak sahaja.

“Ini akan menjadi  tugas pertama (jemaah menteri) adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas PRU13, melihat proses pilihan raya yang tidak adil, tidak
bersih dan meragukan.

“SPR perlu dibawa ke kandang untuk disiasat kerana mereka bertanggungjawab menjalankan pilihan raya yang sebegini pincang,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelas Kit Siang, kabinet yang ditubuhkan perlu menyatakan pendirian menyokong penuh polisi 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain menghentikan amalan politik perkauman khasnya selepas PRU-13.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Rakyat meluluskan cadangan untuk mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Nasional seperti yang dicadangkan oleh Majlis Setiausaha Pakatan
Rakyat semalam.

Konvenseyen ini bertujuan membincangkan formula pengukuhan antara kaum di Malaysia dan mungkin akan diadakan pada awal bulan Jun.

Categories
NASIONAL

Dr M Adalah Orang Pertama Harus Di Siasat RCI

 

SHAH ALAM, 2 JUN : “Orang pertama yang harus di siasat dan didakwa berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.” tegas Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Beliau berkata demikian ketika di hubungi TV Selangor berhubung cubaan kerajaaan pusat kononnya mahu menubuhkan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah baru-baru ini.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) mahu kerajaan pusat bukan sekadar menubuhkan RCI berhubung isu PATI di Sabah malah di seluruh negara sahaja sekiranya kerajaan ikhlas mahu menangani isu tersebut secara telus.

Gesaan itu disifatkan wajar kerana isu pendatang asing turut berlaku di kawasan-kawasan lain seluruh negara sejak sekian lama.

Menurutnya, perkara itu sudah menular sejak dari zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab membawa masuk lebih setengah juta pendatang asing ke Sabah pada era 1980’an lalu untuk menjatuhkan kerajaan PBS, pimpinan Datuk Pairin Kitingan.

“Saya menyambut baik penubuhan RCI ke arah untuk menyelesaikan atau penyiasatan terhadap isu kad pengenalan palsu yang diberikan Tun Dr Mahathir sehingga sekarang. Kerajaan kononnnya nak tunjukkan sikap prihatin mereka terhadap isu ini di Sabah.

“Dr Mahathir harus menjadi sasaran utama suruhanjaya ini kerana masalah ini sudah menular sehingga merosakkan daftar pemilih kita. RCI juga boleh ditubuhkan jika benar-benar mahu bersihkan pilihan raya untuk ambil hati pengundi,” tegasnya.

Apa yang menjadi keutamaan katanya, RCI perlu dilaksanakan secara efisyen supaya ia tidak menjadi siasatan dangkal yang akhirnya gagal membongkarkan siapa yang bersalah.

Jelasnya, ketelusan dalam melakukan siasatan adalah penting kerana ia membabitkan soal masa depan negara terutama terhadap generasi muda.

“Bagi saya jelas bahawa RCI perlu melihat apakah hasil siasatannya. Kita boleh bercakap apa sahaja malah Tun Dr Mahathir boleh menafikannya, tetapi RCI seharusnya meneliti sehingga kita boleh membongkarkan siapa sebenarnya yang terlibat serta puncanya. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab kerana isu kad pengenalan adalah masalah yang tidak pernah selesai,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

Categories
NASIONAL

Pemuda PAS Mahu Suruhanjaya Diraja Siasat ‘Pengkhianat Jual Negara’

SHAH ALAM, 5 APRIL : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja diwujudkan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan “task force” tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar.

Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.

“Pendedahan Mahfuz Omar merupakan sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara. Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam PRU ke-13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya.

Ini memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan,pendedahan ini membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU 13.

“BN tidak bersikap “gentleman” dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihanraya. BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi,” ujarnya.

Tambah Riduan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa.

“Sekiranya benar dakwaan ini, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara.Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka.

“DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihanraya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan ini. PRU ke-13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatandan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi,” tegas Riduan.