Categories
AGENDA NASIONAL

SSM gesa orang ramai waspada perkhidmatan tidak berdaftar

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggesa orang ramai agar berhati-hati dengan perkhidmatan yang tidak berdaftar dengan suruhanjaya itu bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.

SSM dalam satu kenyataan memaklumkan ia susulan aduan rasmi yang diterima daripada orang awam berhubung wujudnya khidmat ejen bebas, model bebas dan jurusolek artis yang menawarkan perkhidmatan bagi tujuan perniagaan melalui laman Facebook.

“Hasil semakan dan pemantauan mengesahkan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan tidak didaftarkan dan ia menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (1) (a), Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 iaitu gagal mendaftarkan perniagaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected] atau layari laman sesawang www.ssm.com.my untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

SSM garis lima inisiatif bantu syarikat harungi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggariskan lima inisiatif bagi mengurangkan bebanan komuniti perniagaan serta korporat yang terkesan akibat Covid-19 sebagai tambahan kepada dua langkah yang diumum di dalam Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan).

Pada 6 April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memberikan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir untuk syarikat menyerahkan simpan dokumen dengan suruhanjaya itu.

Semua transaksi di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 perlu diserah simpan atau dikemukakan kepada Pendaftar selepas tamat tempoh PKP.

Dalam tempoh moratorium tersebut, fi lewat serah simpan akan dikecualikan.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama tiga bulan daripada tarikh terakhir PKP dan turut mengecualikan pembayaran fi RM100 kepada syarikat yang terjejas dalam pelanjutan masa tersebut.

“Selain daripada dua inisiatif ini, SSM, dalam menyahut saranan Perdana Menteri untuk mengurangkan bebanan komuniti perniagaan turut menggariskan lima lagi inisiatif lain,” kata SSM dalam satu kenyataan.

Inisiatif tersebut termasuk melanjutkan tempoh untuk pematuhan Seksyen 241 Akta Syarikat 2016 bagi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) bagi setiausaha syarikat sehingga 31 Disember 2020 tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

SSM turut akan menaikkan nilai ambang semasa keberhutangan di bawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada RM10,000 ke RM50,000 sehingga 31 Disember untuk mengurangkan tindakan penggulungan terhadap syarikat.

Tempoh menjawab notis tuntutan oleh sesebuah syarikat juga dipanjangkan kepada enam bulan berbanding tempoh 21 hari sekarang ini.

SSM juga akan melanjutkan tempoh pelaksanaan “Kempen Pematuhan Tahun 2020 Akta Syarikat 2016” sehingga 30 Jun depan.

Di bawah inisiatif ini, SSM akan memberikan kadar pengurangan kompaun maksimum sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun terhadap kompaun-kompaun bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Akta Syarikat 2016 (AS 2016) bagi keadaan, yang mana syarikat aktif telah mengemaskini serah simpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan; syarikat dorman atau tidak aktif telah membuat permohonan pembatalan nama di bawah seksyen 550, AS 2016 atau setiausaha syarikat telah memberi maklum balas bertulis terhadap notis di bawah seksyen 7(11)(b) AS 1965.

Suruhanjaya itu juga SSM akan memperkenalkan pengecualian kelulusan bagi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) dalam membuat kutipan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu lapisan masyarakat yang mengalami kesempitan hidup akibat Covid-19.

“Untuk mempercepatkan kegiatan amal ini, SSM akan memberikan pengecualian kepada SBMJ yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) daripada keperluan untuk mendapatkan kelulusan YB Menteri atau Pendaftar untuk membuat kutipan sumbangan tersebut sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

SBMJ yang belum mendapat kelulusan daripada LHDNM masih dibenarkan untuk membuat kutipan sumbangan dengan syarat, SBMJ tersebut perlu membuat permohonan secara rasmi dalam tempoh 30 hari selepas PKP berakhir.

Setiap SBMJ yang mengutip sumbangan Covid-19 perlu menyimpan rekod penerimaan sumbangan bagi pemantauan SSM.

SSM turut memberikan pelanjutan masa pematuhan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sehingga tiga bulan selepas berakhirnya PKP bagi syarikat mengadakan AGM.

“Bagaimanapun, syarikat masih perlu membuat permohonan kepada SSM untuk memastikan pelanjutan masa ini tidak akan disalahgunakan.

“Syarikat yang terlibat juga akan dikecualikan daripada membayar fi RM100 dalam pelanjutan masa tersebut,” kata suruhanjaya itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM lancar Pelan Induk Skim Kepentingan

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Pelan Induk Skim Kepentingan yang akan memanfaatkan semua sektor ekonomi untuk menjana pendapatan perniagaan serta mendapatkan dana atau pembiayaan alternatif bagi tujuan menjalankan aktiviti ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, skim itu berdaftar dan diiktiraf di bawah ‘Financial Service Act 2013 (FSA 2013)’ sebagai satu daripada aktiviti pengumpulan deposit yang terkecuali daripada kawal selia di bawah akta itu sepertimana aktiviti terkawal di bawah Akta Pasaran Modal dan Sekuriti (CMSA 2007).

“Skim itu akan menjadi penyelesaian pembiayaan alternatif perniagaan dan fleksibel bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membantu membangunkan industri sokongan.

“Pelancaran pelan induk skim ini juga menggariskan beberapa strategi pelaksanaan mampan dan bersepadu bagi mengembangkan industri skim kepentingan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2019 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.

Lebih 1,000 ahli komuniti perniagaan dan korporat menyertai persidangan kali kesembilan itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Persidangan selama dua hari bertemakan ‘Future Proofing Business In The Digital Age’ itu adalah agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan seperti pengamal sektor korporat serta komuniti perniagaan.

Saifuddin Nasution berkata, persidangan kali ini memberi tumpuan kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital yang mana teknologi memainkan peranan penting dalam arus informasi, proses globalisasi dan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, 122 notis kompaun yang dikeluarkan SSM telah menerima diskaun pengurangan kompaun secara automatik dengan jumlah sebelum potongan RM377,800.

Pengurangan kompaun secara automatik, yang diperkenalkan SSM pada awal bulan ini, telah menawarkan diskaun antara 30 hingga 85 peratus dengan nilai pengurangan keseluruhan RM278,365 daripada jumlah notis dikeluarkan itu.

Saifuddin Nasution berkata, SSM melaksanakan inisiatif itu sebagai langkah memudahkan komuniti korporat yang terlibat dapat menyelesaikan denda bayaran bagi tempoh ditetapkan dengan penjimatan kompaun diberikan.

Kadar pengurangan kompaun secara automatik itu dari satu hingga 40 hari akan menerima diskaun 85 peratus, 41-60 hari (75 peratus); 61-90 hari (60 peratus) dan 91-180 hari (30 peratus). – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sebutan semula kes saman syarikat milik anak Shahrizat 5 Ogos

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes saman oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap dua anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung beberapa kesalahan melibatkan syarikat mereka.

Hakim Manira Mohd Nor menetapkan tarikh itu selepas Pegawai Pendakwa SSM Najia Abdul Razak memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya gagal menyerahkan saman terhadap Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh yang merupakan selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas kes tersebut difailkan.

“Saman gagal diserahkan kepada kedua-dua OKS jadi saya memohon satu tarikh baharu untuk serah saman kali kedua,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Difahamkan saman itu berkaitan beberapa pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk gagal membentangkan akaun untung dan rugi, gagal mengadakan mesyuarat agung taqwim dan gagal menyerah simpan penyata tahunan yang kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2012 dan 2015.

Mengikut senarai kes mahkamah, nama yang dinyatakan dalam kes itu ialah Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

BizFair tawar inisiatif usahawan RM3,000

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 22 APR: Inisiatif berbentuk peralatan bernilai RM3,000 bakal menanti usahawan menerusi karnival BizFair anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada hari ini hingga esok di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam.

Jabatan Belia dan Sukan Selangor menerusi Facebook memaklumkan, usahawan yang layak bakal melalui proses pemilihan termasuk sesi temu duga.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan ingin melihat masyarakat sebagai penjana ekonomi negara dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Sebanyak 50 booth akan dibuka dan dijangka lebih 2,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari karnival ini berlangsung,” tulisnya.

Selain sesi temuduga, antara aktiviti bakal dijalankan ialah taklimat perniagaan, khidmat nasihat, pameran, gerai jualan, cabutan bertuah, taklimat produk dan perkhidmatan serta aktiviti keusahawanan bersama selebriti.

Justeru, Kementerian Belia dan Sukan menjemput usahawan belia sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memeriahkan karnival itu sekali gus berpeluang berkongsi idea dan membina hubungan dalam perniagaan.

BizFair adalah inisiatif SSM bagi membantu usahawan mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Minta Kerajaan Negeri Siasat Dakwaan Penyelewengan Bina Rumah Era BN

Rumah Kerajaan JKR

TANJONG KARANG, 26 DIS :  Kerajaan Negeri Selangor diminta menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pembinaan perumahan yang dibina di atas tanah Kerajaan Negeri yang diluluskan semasa era pemerintahan kerajaan BN.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Misran Serman berkata, sepatutnya Kerajaan Negeri akan memperolehi 20 unit rumah kos sederhana yang berharga RM200,000 sebuah yang keseluruhannya bernilai RM4 juta.

Namun ia dipersoal apabila pemaju hanya menyerahkan 20 unit rumah kos rendah berharga  RM35,000 sebuah dengan jumlah keseluruhannya berharga RM700,000.Rumah Kerajaan JKR1

Pembangunan perumahan itu dijalankan di tanah berkeluasan 7.7 ekar yag terletak di Lot 176 dan Lot 177 yang berhampiran dengan Dataran Tanjong Karang.

“Permohonan itu diluluskan pada tahun 2004 untuk pembangunan perumahan mengandungi rumah kos sederhana dua tingkat 100 unit dan kuarters 20 unit.

“Kerajaan Selangor sebagai tuan tanah dalam ratio 10:2 sepatutnya mendapat  rumah kos jenis sederhana sebanyak 20 unit yang berharga 1 unit berjumlah RM200,000 atau keseluruhanya berjumlah RM4juta.

“Di sini terdapat penyelewengan apabila Kerajaan Negeri Selangor hanya mendapat rumah murah townhouse yang berharga RM35,000.

“Kerajaan telah ‘ditipu’ sebanyak RM3.3 juta,” katanya kata Misran ketika dihubungi oleh TVSelangor.

Misran mendakwa menerima maklumat berkenaan daripada kakitangan kerajaan yang menduduki rumah itu sendiri sekitar bulan Ogos lepas.

Rumah Kerajaan JKR2Hal demikian mendatangkan rasa tidak puas hati kakitangan berkenaan yang membuat aduan kepada Misran bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya harap pihak negeri dapat menyiasat perkara ini,” ujarnya.

Tambahnya beliau akan membuat semakan di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memperolehi maklumat lanjut butiran pemilikan syarikat berkenaan untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

Dalam dokumen yang ditunjukkan Misran kepada TVSelangor, pihak pemaju projek berkenaan ialah Pembinaan Tegap Perkasa Sdn Bhd yang mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang kepada pihak MDKS pada 12 Sep 2000.

Setelah mendapat kelulusan permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) untuk tujuan pembangunan kediaman.

Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui surat bil(15)dlm.PTKS.3C/TK.70/99 bertarikh 14 Mac 2000 dengan syarat pembinaan bangunan kediaman hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Syaratnnya adalah dengan membina 20 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus rumah kos sederhana.

Pemaju berkenaan beralamat di 40-A, Jalan Datuk Sulaiman,Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur dan  Jururancang Bandar ialah Berkat Consult.

Rumah Kerajaan JKR3

SUARAM : Henti ‘Ganggu’ Pemberi Maklumat, Siasat Suspek Rasuah

 

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Umno-BN digesa untuk menyiasat suspek dalam skandal rasuah berhubung pembelian kapal selam Scorpene dan bukannya pihak yang menjadi pemberi maklumat.

Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, ‘gangguan ‘oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan membuat pemeriksaan mengejut ke premisnya baru-baru ini adalah contoh yang mengejutkan berhubung keutamaan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Sebaliknya siasat segera aktiviti syarikat yang dipersoalkan seperti Perimekar dan Terasasi baru-baru ini yang didedahkan di Paris.

“Pihak berkuasa memutuskan untuk mengganggu Suaram, pemberi maklumat dalam skandal berterusan Scorpene, yang melibatkan sekurang-kurangnya RM500 juta komisyen,” kata Sekretariat Suaram dalam kenyataan media.

Jelas kenyataan itu, lawatan oleh SSM mengenai ‘pemeriksaan rutin’ mengurangkan kredibiliti agensi itu apabila jelas  bahawa sebelum ini Suaram mempunyai rekod yang cemerlang selama 23 tahun dan mengemukakan rekod kepada SSM sejak tahun 2002.

Pada 2011 Suaram dikurniakan dengan anugerah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Kami mempersoalkan motif politik SSM apabila mereka melakukan pemeriksaan ‘rutin’ untuk kali pertama selepas lebih 23 tahun beroperasi.

“Suaram tiada apa yang hendak disembunyikan dan kami bersedia untuk mematuhi mana-mana kehendak yang dinyatakan di bawah undang-undang dalam mengemukakan rekod sepenuhnya pengauditan kami,” katanya.

Jelasnya, Suaram berkembang selama 23 tahun melalui derma oleh sumber-sumber awam dan swasta dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada penaja.

“Kami adalah sebuah pertubuhan bukan membuat keuntungan dan kami bangga perkhidmatan tidak mementingkan diri sendiri .

“Kami pembayar cukai di Malaysia dan sumbangan kami adalah untuk  keadilan demokrasi Malaysia, dan hak asasi manusia,” kenyataan itu dipetik.

Semalam, pegawai SSM sekali lagi mencuba tetapi gagal untuk menyampaikan notis pemeriksaan kepada Suaram.

Tiga pegawai SSM yang diketuai Timbalan Pendaftar, Azahari Ab Rahman tiba beberapa minit sebelum pejabat ditutup pada jam 5.53 petang dan mendapati tidak ada kakitangan yang layak menerima notis tersebut.