Categories
AGENDA NASIONAL

Agihan susu, lampin pakai buang bantu ribuan penduduk susah

PUCHONG, 15 DIS: Lebih 7,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri bakal menerima bantuan susu dan lampin pakai buang sumbangan Kerajaan Selangor.

Inisiatif secara berfasa mulai Julai lalu selesai diagihkan kepada 1,510 penerima dengan peruntukan RM200,000, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Sementara itu, fasa kedua pula menyasar seramai 5,600 orang dengan dana RM336,000 yang akan diagihkan oleh Wanita Berdaya Selangor, jelas Dr Siti Mariah Mahmud.

“Program ini bagi membantu meringankan beban wanita yang rata-ratanya terjejas akibat pandemik Covid-19 di samping memberi sokongan dalam memenuhi keperluan tumbesaran kanak-kanak,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima B40 di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Dr Siti Mariah turut mengalu-alukan individu yang terjejas untuk segera memohon bantuan melalui pusat khidmat masyarakat berhampiran.

“Kita juga sentiasa terbuka menjalin kerjasama pintar bersama syarikat korporat untuk melaksanakan program pemberian bantuan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar utama sedia bantuan susu, lampin pakai buang

SHAH ALAM, 26 JULAI: Penduduk terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama yang memerlukan susu bayi dan lampin pakai buang boleh memohon daripada Pusat Wanita Berdaya (PWB) kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama berkata pihaknya bekerjasama dengan PWB Bandar Utama menyediakan bantuan itu kepada mereka yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Jamaliah Jamaluddin PWB mempunyai kuota tertentu dan jika jumlah permohonannya melebihi maka pejabatnya akan menyediakan bantuan tambahan.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak masing-masing,” katanya di sini, semalam.

Mereka yang ingin memohon boleh mengisi borang dalam talian menerusi pautan https://tinyurl.com/d5xvnc8b atau menghubungi PWB Bandar Utama di talian 017-578 1102 atau di Facebooknya.

Categories
EXCO SELANGOR

Mangsa terkesan Covid-19 terima bantuan susu, lampin bayi lebih RM300,000

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) memperuntukkan sejumlah RM336,000 dalam bentuk bantuan susu dan lampin bayi kepada mangsa terkesan Covid-19.

EXCO Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata sehingga kini seramai 5,829 individu dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima manfaat tersebut.

“Kita memutuskan untuk batal dan tangguh beberapa program PWB yang bersifat tidak kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Susulan itu, kita melaksanakan program kilat iaitu pemberian susu dan lampin bayi kepada mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berkata PWB giat menganjurkan aktiviti yang memfokuskan kepada modul perusahaan makanan, minuman serta kraftangan dalam tempoh PKP Pemulihan.

Menurutnya, 80 program dilaksanakan dalam tempoh itu merangkumi bengkel membuat kek, pembuatan ikan sardin, masakan aneka sambal dan gubahan bunga yang boleh menjana pendapatan wanita di rumah.

“Saya yakin program PWB dinanti-nantikan wanita di negeri ini selepas hampir empat bulan ditangguhkan susulan PKP,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

FOMCA: Susu formula patut ada subsidi & bebas GST

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JUL: Kerajaan Persekutuan patut menyediakan subsidi bagi susu formula bayi yang didakwa sering mengalami kenaikan harga.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata syor itu dibuat selepas banyak rungutan dan aduan mengenai kenaikan harga barangan itu di pasaran.

Katanya, langkah itu juga bagi membantu golongan kurang berkemampuan meringankan beban ekoran kenaikan harga makanan bayi itu.

susu“Isu ini jarang ditimbulkan mengenai atau mungkin terlepas pandang iaitu berkenaan susu formula bayi.

“Bagi golongan ibu bapa kenaikan harga susu bayi agak membimbangkan, saya syorkan ia diberikan subsidi khas dan turut dijadikan barangan kawalan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Yusof mendakwa Kerajaan Persekutuan pernah memberikan subsidi susu formula bayi di era 1970-an hingga 80an.

“Namun, ia tidak diteruskan saya kurang jelas mengapa, jadi wajar sekiranya ia diperkenalkan semula bagi membantu kesan kenaikan harga barangan ketika ini,” katanya.

FOMCABeliau berkata kebanyakan pengguna juga tidak menyedari bahawa susu formula bayi yang berkadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya untuk di bawah umur 36 bulan.

“Namun begitu, FOMCA merasakan bahawa susu formula bayi ini merupakan keperluan untuk tumbesaran bayi tidak kira pada peringkat umur berapa sekalipun.

“Jadi diharapkan kerajaan juga dapat mengkaji semula pelaksanaan GST ke atas produk berkenaan dan menjadikannya sifar GST ke atas semua peringkat umur dan bukannya hanya untuk 36 bulan ke bawah sahaja,” katanya.

Sebelum ini, pengguna Haslina Sulaiman, 42, mendakwa harga susu formula yang kebanyakannya diimport meningkat terlalu mahal untuk golongan berpendapatan rendah sepertinya.

“Sepengetahuan saya, kerajaan tidak mengawal harga susu formula ini. Saya percaya, ramai lagi golongan ibu bapa di luar sana yang setuju dengan pendapat ini.

“Dikhuatiri sekiranya pihak pengeluar dan pengimport atau pengedar dibiarkan menaikkan harga sesuka hati, ia menyebabkan ibu bapa berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa memilih susu yang kurang berkualiti untuk bayi mereka.

“Jika diberi susu kurang berkualiti, sudah pasti akan menjejaskan tumbesaran bayi atau kanak-kanak itu” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap jika Kerajaan Persekutuan memberi subsidi khas kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli susu bayi.

EZY