Categories
SELANGOR

SPAN Dan SYABAS Digesa Tukar Paip Air Usang

KUALA LUMPUR,6 JAN : Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) diseru mempercepatkan penggantian paip-paip yang sudah berusia hampir 25 tahun di siekitar Bangsar.

Sebagai rekod dalam dua bulan mutakhir ini sebanyak 27 kejadian paip pecah dilaporkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata kejadian itu tidak wajar berterusan berlaku khususnya di kawasan seperti Bangsar kerana kawasan ini merupakan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Saya juga dimaklumkan sehingga 1 Januari lepas masih lagi berlaku kejadian ketiadaaan air, isunya yang utama ialah ketiadaan notis yang mencukupi daripada pihak Syabas dan menyusahkan penduduk-penduduk tempatan,” kata Izzah semasa lawatan turun padang ke tapak takungan air di Bukit Bandaraya di sini.

Menurut Izzah, beliau banyak menerima aduan daripada penduduk di Taman Lucky Garden di Bangsar berkenaan masalah gangguan bekalan air akibat daripada paip milik Syabas yang menyalurkan bekalan air ke kawasan berkenaan pecah.

Masalah itu jelas Izzah, menyukarkan aktiviti penduduk di kawasan tersebut dan sepanjang tempoh pembaikan tidak ada alternatif untuk membekalkan sumber bekalan air kepada penduduk.

“Walaupun masalah ini sudah lama dikenalpasti, jawapan Syabas menyatakan pihak SPAN belum lagi meluluskan untuk penggantian paip di kawasan Bangsar walaupun mereka sudah melakukan lawatan tapak pada 13 Disember yang lalu.

“Arahan pihak SPAN ialah untuk menangguhkan pelaksanaan semua program pengurangan air tanpa hasil termasuklah penggantian paip-paip lama sehingga cadangan penstrukturan semula perkhidmatan air Kuala Lumpur dan Putrajaya selesai sepenuhnya,ini membimbangkan,” kata Izzah.

Izzah berkata, penduduk yang mengalami gangguan bekalan air tidak diberikan sebarang notis gangguan bekalan air yang menjejaskan kehidupan harian penduduk.

” Alasan hendak menunggu sehingga penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air dilakukan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya tidak munasabah, pada saya Kuala Lumpur tidak ada masalah kerana ia di bawah kerajaan pusat termasuk pengurusan sisa pepejal yang juga di bawah kerajaan pusat , takkan tidak boleh selesai dan kita perkara ini tidak boleh tunggu,” tegas Izzah.

Beliau mengesa SPAN meneliti perkara ini dan jangan korbankan masa depan penduduk Kuala Lumpur khususnya berkaitan dengan perkhidmatan air.