Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan banjir: Team Selangor agih dapur masak, set penjagaan kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Sukarelawan Team Selangor akan mengagihkan bantuan kepada 450 lagi keluarga yang terjejas banjir bermula minggu ini, maklum ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata edaran beras, bakul makanan, dapur masak, set penjagaan diri dan kesihatan, sabun basuh serta sejadah bagi meringankan beban ditanggung mangsa bencana bulan lepas.

Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti untuk agihan sumbangan itu adalah Batu Tiga, Sungai Pelek, Seri Serdang, Dengkil, Kota Kemuning dan Ijok.

“Kita masih mempunyai baki barang bantuan berkaitan untuk diagih kepada mereka yang memerlukan. Pegawai kita sudah berurusan dengan pusat khidmat masyarakat dan ketua kampung untuk proses penghantaran.

“Agihan bantuan ini dibuat mengikut keperluan yang mana bukan semua tempat akan memperoleh barang sama,” katanya kepada Selangorkini.

Sejak banjir melanda negeri ini tahun lalu, Team Selangor menyantuni lebih 3,000 rumah yang terkesan akibat banjir melibatkan 71 lokasi dengan disertai lebih 1,200 sukarelawan.

Sukarelawan terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya membersihkan rumah, mengagih air minuman serta membungkus dan menghantar bakul makanan.

Individu berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau hubungi 013-5303578 untuk sebarang pertanyaan.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pascabanjir: Team Selangor terima banyak permintaan mangsa, bantu bersih kediaman

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 90 sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti membantu mangsa banjir pada hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata aktiviti membantu membersihkan rumah itu meliputi dua kawasan iaitu di Bukit Lanchong, Subang Jaya dan Labohan Dagang, Banting.

“Jika ikut perancangan kita hanya ke Bukit Lanchong sahaja hari ini, namun mendapat permintaan dari komuniti di Labohan Dagang dan kita hantar juga sukarelawan ke sana untuk membantu.

“Pergerakan sukarelawan bermula jam 8.30 pagi dengan seramai 65 orang di Bukit Lanchong, manakala 25 orang lagi di Labohan Dagang,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Team Selangor menerima banyak permintaan mangsa banjir untuk membantu mereka membersihkan kediaman mereka.

“Justeru kita berharap lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan bukan sahaja untuk membantu mangsa banjir tetapi pelbagai program kemasyarakatan pada masa depan,” katanya.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Team Selangor edar lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Team Selangor mengagihkan lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk negeri ini yang terjejas banjir setakat hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata lebih 400 anggota sukarelawan digerakkan bagi menyedia dan mengedarkan bantuan terbabit.

“Kita pecahkan kepada tiga pasukan hari ini untuk mengedarkan sumbangan termasuk membantu membersihkan kawasan rumah penduduk yang terjejas.

“Selain itu, kita turut membantu menyampaikan sumbangan daripada orang ramai kepada mangsa banjir antaranya kerusi roda, lampin pakai buang dan susu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam membabitkan pembersihan enam rumah di kampung terbabit.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor pelawa sertai sukarelawan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Team Selangor mempelawa individu atau organisasi yang berminat menjadi sukarelawan pasukan mereka untuk turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata antara syarat utama adalah perlu mempunyai minat yang tinggi dalam aktiviti kesukarelawanan dan sihat tubuh badan.

“Kita mengalu-alukan penglibatan orang awam yang ada kereta pacuan empat roda bagi memudahkan pergerakan ke lokasi banjir untuk membawa sukarelawan dan peralatan pembersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, setakat ini lebih 250 sukarelawan terlibat dan berharap angka itu semakin bertambah supaya kerja pascabanjir dapat dilaksana dan selesai segera.

Individu yang berminat boleh daftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih 700 pek makanan untuk mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Team Selangor mengedarkan 700 pek makanan kepada mangsa banjir di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini semalam.

Ketua sekretariatnya berkata seramai 60 sukarelawan terdiri daripada 30 mahasiswa dan 30 komuniti sekitar Selangor terlibat dalam kerja pembungkusan serta mengagihkan barangan berkenaan.

Syahaizel Keman berkata kesemua pek makanan itu diedarkan di PPS Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Naga (150) dan PPS Dewan Majli Perbandaran Klang (MPK) Kampung Jawa (50).

Manakala masing-masing 100 di PPS Sekolah Rendah Agama Padang Jawa, PPS Kampung Teluk Menegun, PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan PPS Dewan Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar.

Baki 100 pek makanan lagi diserahkan kepada wakil Ahli Majlis MPK N42B.

“Kerja pembungkusan pek makanan melibatkan semua sukarelawan Team Selangor dijalankan di Dewan MBPJ PJS 4/46 Petaling Jaya. Terima kasih mereka dan MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) kerana membenarkan kami menggunakan dewan ini,” katanya.

Sukarelawan Team Selangor yang terlibat dalam kerja pembungkusan pek makanan di Dewan Dewan MBPJ PJS 4/46 Petaling Jaya pada 19 Disember 2021. Foto Team Selangor

 

Sukarelawan Team Selangor bersama pek makanan yang diagihkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pada 19 Disember 2021. Foto Team Selangor
Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor anjur Semenyih Sihat, berjaya kumpul 86 beg darah

SHAH ALAM, 23 NOV: Program Semenyih Sihat yang dianjurkan Team Selangor berjaya mengumpul 86 beg darah, kata ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata darah didermakan 110 individu itu mampu menyelamatkan pesakit yang memerlukan bekalan.

“Memang tujuan kita anjurkan program ini untuk membantu Pusat Darah Negara mendapatkan darah seterusnya agih kepada hospital.

“Kita cuba meneruskan program ini pada masa akan datang memandangkan manfaatnya besar kepada masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel berkata program berkenaan dijalankan bersama Ahli Majlis MPKj Zon 20 Pejabat Kesihatan Hulu Langat, Pusat Darah Negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bidadari, Agensi Dadah Kebangsaan dan Persatuan Semarak.

“Selain aktiviti derma darah, kita turut adakan pemeran kesihatan bagi mendidik penduduk selain senaman aerobik sebagai pembuka program,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor anjur kursus untuk orang ramai bersedia hadapi banjir

SHAH ALAM, 19 NOV: Sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti memelihara alam sekitar dengan menumpukan kepada kursus persediaan menghadapi bencana banjir.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata program membabitkan empat daerah bermula di Kuala Selangor minggu lalu mendidik masyarakat bersedia berdepan bencana itu kerana bantuan luar adakalanya agak lewat.

“Justeru, timbul idea untuk melengkapkan komuniti dengan sedikit pengetahuan kerana tindakan pantas dalam kalangan mereka penting bagi mengurangkan risiko melibatkan harta benda dan nyawa,” katanya kepada SelangorKini.

Selepas ini, kursus sama diteruskan di Hulu Selangor pada esok dan Ahad ini diikuti Hulu Langat serta Klang pada tarikh yang akan ditentukan nanti.

Syahaizel berkata program dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu turut membabitkan 30 peserta Team Selangor bagi setiap daerah.

Selain kursus bencana banjir, turut diadakan program e-sukan dan pembersihan pantai di Selangor.

Pada 3 Oktober Team Selangor memilih Pantai Remis sebagai lokasi pertama menjayakan aktiviti kutip sampah di kawasan tumpuan ramai.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 10 kawasan lagi untuk melakukan aktiviti sama sehingga penghujung Disember.

Categories
AGENSI SELANGOR

Belanjawan 2022: Beri tumpuan bimbing lepasan sekolah bina kerjaya

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri diharap dapat memberi tumpuan kepada golongan remaja khususnya lepasan sekolah menjelang Belanjawan Selangor 2022 nanti.

Ketua Sekretariat Team Selangor berkata selain aspek pendidikan golongan berkenaan perlu dibimbing bagi menghadapi alam dewasa khususnya dalam menjana pendapatan.

“Akan datang nanti kita tidak boleh berharap kepada peluang pekerjaan, perlu cari kaedah untuk membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.

“Mungkin apa-apa program yang belum pernah ada atau peluang perniagaan yang baharu boleh diberi kepada golongan ini,” kata Syahaizel Keman ketika dihubungi SelangorKini.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor peruntuk RM110,000 edar 2,000 bakul makanan

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 2,000 bakul makanan diedar Sukarelawan Team Selangor kepada golongan memerlukan di 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak Ogos hingga Oktober lalu.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata sumbangan RM110,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dengan setiap satu pek bernilai RM55.

“Setiap pek mengandungi beras lima kilogram, sardin, biskut, kicap, mee segera dan baucar kedai serbaneka 99 Speedmart RM30.

“Pemberian baucar ini bagi memudahkan setiap penerima membeli sendiri barangan diperlukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan 3,000 bakul makanan untuk diedar sehingga penghujung bulan ini.

Pada 24 Oktober lalu sebanyak 600 bakul makanan diedar oleh Sukarelawan Team Selangor kepada isi rumah yang terkesan Covid-19 di enam DUN.

Syahaizel berkata DUN berkenaan ialah Ijok, Jeram, Permatang, Sungai Panjang, Sekinchan dan Bukit Melawati.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua sungai lagi dibersih, Team Selangor mahu pelihara alam sekitar

SHAH ALAM, 9 NOV: Team Selangor meneruskan lagi aktiviti memelihara alam sekitar negeri ini dengan dua program mengutip sampah bakal berlangsung bulan ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata program minggu hadapan diadakan sepanjang dua kilometer (km) Sungai Sekamat di Kajang manakala hujung bulan melibatkan sungai di Hulu Selangor.

“Bagaimanapun lokasi kedua itu masih belum ditentukan. Program disertai pelbagai agensi antaranya pelajar Universiti Putra Malaysia, Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Matlamat program untuk membentuk masyarakat sedar kepentingan menjaga ekosistem. Selain kutip sampah kita turut edarkan risalah berkaitan alam sekitar,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 3 Oktober Team Selangor memilih Pantai Remis sebagai lokasi pertama menjayakan aktiviti kutip sampah di kawasan tumpuan ramai.

Syahaizel berkata pihaknya menyasarkan 10 kawasan lagi untuk melakukan aktiviti sama sehingga penghujung Disember.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Team Selangor anjur siri gotong-royong, pupuk kesedaran masyarakat

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Team Selangor mengadakan program gotong-royong kutipan sampah di 10 kawasan tumpuan ramai sehingga hujung tahun ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata inisiatif bersama Kerajaan Negeri itu sebagai langkah menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berucap ketika program Clean & Clear Beach Cleanup @ Pantai Remis, Kuala Selangor pada 3 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selangor mahu menjadi negeri bebas karbon, justeru untuk mencapai matlamat itu maka kita perlulah melakukan sesuatu.

“Hari ini merupakan siri pertama dan terdapat sembilan lagi kawasan yang akan menjalankan program ini, kita tumpukan pantai dan sungai yang terima kunjungan ramai,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor. Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Syahaizel berkata program yang turut disertai penyampai radio popular Fara Fauzana itu melibatkan 100 sukarelawan yang mengutip sampah di sepanjang 500 meter pesisir Pantai Remis.

Menurutnya program seumpama itu pernah dilakukan di tempat sama pada September tahun lalu dan berjaya mengutip 119 kilogram sampah.

“Jadi kali ini kita harap sampah dikutip berkurangan. Lagi banyak sampah dikutip bermakna kesedaran orang awam kurang.

“Kita harap masyarakat sedar keburukan membuang sampah ini dan mengubah sikap mereka. Bawa pulang sampah masing-masing,” katanya.