SHAH ALAM, 5 MAC: Ketua Pegawai Eksklusif KSSB, Ir Wan Abdul Halim Wan Ismail tampil memberikan penerangan kepada Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung syarikat yang terlibat dalam operasi pasir Selangor di bawah kendalian Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Berdasarkan ringkasan Prestasi Tahun Kewangan 2008-2012 KSSB mencatatkan perkembangan positif terutama dari segi jumlah jualan.
Tahun 2011 mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai RM84,413,801 hasil daripada jualan 8,030,801 tan metrik pasir.
Sebelum ini, KSSB mencatatkan jumlah jualan RM61,301,231 dengan 5,886,612 tan metrik pada tahun 2010 manakala pada tahun 2009 jumlah jualan yang dicatatkan adalah RM31,028,289 (1,771,792 tan metrik) dan hanya RM4,824,874 (220,139 tan metrik) pada tahun 2008.
Untuk sumbangan kepada kerajaan negeri pula, KSSB telah menyalurkan RM7,946,010 untuk tahun 2011 berbanding pada tahun 2009 dengan jumlah RM1,398,950 meskipun mengalami penurunan jumlah sumbangan RM630,800 pada tahun 2010.
“Untuk tanggungjawab sosial korporat pula, RM899,559 telah diperuntukkan untuk tahun 2011 sementara tahun 2010 hanya RM20,190.
“Bagi tahun 2009, sebanyak RM13,747 digunakan manakala RM9,886 untuk tahun 2008,” katanya.
KSSB mencatatkan penurunan cukai korporat hampir RM570,000 pada tahun 2011 dengan jumlah RM5,000,000 meskipun mencatat perolehan tinggi pada tahun 2010 dengan jumlah RM5,573,026.
Menjawab persoalan yang diajukan oleh Shaari Sungib pula, Wan Abdul Halim memaklumkan, sebanyak 46 kontraktor terlibat dalam operasi melombong pasir sehingga Januari 2012 dibawah kendalian KSSB.
Enam syarikat kontraktor telah dipilih untuk mengendalikan operasi di lombong KSSB dengan keluasaan kawasan yang telah ditetapkan.
Syarikat-sayrikat tersebut adalah Cheong Weng Trading dengan keluasan terbesar sebanyak 120 ekar diikuti Reach Eastern Resources Sdn Bhd dengan 100 ekar dan Plustrans dengan 80 ekar.
“Tiga lagi kontraktor yang terlibat adalah Transcend Heritage Heritage Resources dengan 50 ekar, Uruswajar Sdn Bhd 49 ekar dan Krizik (Malaysia) Sdn Bhd dengan keluasan 42 ekar,” katanya.
Bagi jenis lombong persendirian pula, Goldgraf Sdn Bhd mempunyai keluasan kawasan operasi terbesar dengan 91.39 ekar disusuli dengan Benteng Nusantara dengan 90 ekar dan telah tamat operasi pada 6 Januari 2012.
Sementara Marita Sdn Bhd dan APMG Sdn Bhd merupakan dua lagi kontraktor yang mempunyai jumlah keluasan kawasan operasi yang besar seluas 50 ekar.
Setiap metrik tan tanah operasi perlombongan lombong KSSB dijual pada harga RM5.00 hingga RM6.00 per tan dan untuk lombong persendirian pula dijual pada harga RM1.82.
Beliau turut menegaskan Syarikat Double Dignity Sdn Bhd merupakan syarikat yang tidak terlibat dalam operasi perlombongan pasir di bawah kendalian KSSB.
Menurut satu kenyataan KSSB sebelum ii, syarikat Double Dignity tidak berdaftar di bawah KSSB dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti mengorek dan menjual pasir sama ada atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan.