Kerajaan Selangor bantu penduduk Kg. Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Sinopsis

FOKUS Untuk 07112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

2. Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

3. Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengambil inisiatif mempromosikan tempat pelancongan dan rekreasi di sekitar Selayang.

4. Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Categories
SELANGOR

PKNS bakal lahir 200 usahawan peruncitan

pkns-usahawan

SHAH ALAM 1 NOV : Program keusahawan ‘Retail 200’ bakal dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaras dengan hasrat melahirkan usahawan berdaya saing dan memiliki ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

Program keusahawanan itu bakal melahirkan 200 peruncit berdaya tahan di pasaran, seterusnya mampu menempatkan diri mereka di kompleks perniagaan berkelas tinggi yang akan dilaksanakan, dalam tempoh terdekat.

Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS, Azilah Arshad, berkata usahawan termasuk yang baru akan menjalani latihan selama dua tahun sebelum ditempatkan di kompleks perniagaan terutamanya milik PKNS dan di Datum Jelatek.

“Kita akan lengkapkan diri mereka dengan ilmu keusahawanan dan dididik dengan ketahanan fizikal serta mental untuk membiasakan diri berniaga di tempat bertaraf tinggi. Kita juga tidak mahu ada budaya berniaga ala kadar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan tempoh dua tahun untuk melatih dan melahirkan usahawan dengan kriteria yang dikehendaki kerana usahawan akan diberi latihan yang sesuai dengan bidang peruncitan dan mendapat khidmat nasihat percuma daripada konsultan berpengalaman yang dilantik PKNS.

“Kita juga sedang menimbang untuk meletakkan mereka secara sementara di kompleks perniagaan milik PKNS sebagai sebahagian daripada modul latihan.

“Kita harap usaha ini akan membantu mereka menempatkan diri di kompleks terpilih selepas tamat tempoh latihan. Calon peserta perlu melalui ujian kompetensi bagi mengukur daya ketahanan mereka,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor anjur Bazar Darul Ehsan untuk usahawan

Dr Daroyah Beri Tumpuan Bangun Infrastruktur 01

SHAH ALAM 31 OKT : Selangor akan melaksanakan program Bazar Darul Ehsan untuk membantu usahawan di negeri itu mengembangkan perniagaan, selain berpeluang memasarkan produk mereka di segenap daerah, memjelang awal tahun depan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata program ini akan mengumpulkan usahawan di setiap pelusuk negeri untuk bersama-sama mempromosi produk mereka kepada orang ramai dengan lebih meluas.

“Program ini memberi ruang kepada semua usahawan pelbagai bidang seperti veterinar dan industri asas tani untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka supaya lebih maju. Sehingga kini, program itu sudah mula dilaksanakan di daerah Kuala Langat.

“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan hab halal di Pulau Indah tidak lama lagi untuk kita pasarkan produk halal secara global,” katanya ketika merasmikan seminar Usahawan Retail 200 di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan disertai kira-kira 500 peserta.

Seminar itu terbuka kepada orang ramai khususnya usahawan yang berminat dalam bidang peruncitan untuk mengetahui aspek perniagaan daripada tokoh perniagaan berjaya. -NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA : GST 6 % tinggi, jejas golongan berpendapatan rendah dan sederhana

fomca-GST

SHAH ALAM 29 OKT : Pelaksanaan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus adalah terlalu tinggi dan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi mendapatkan barangan keperluan ekoran kenaikan harga.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu melaksanakan GST pada kadar yang rendah supaya tidak memberikan kesan yang besar kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kita tidak menjangka kerajaan akan mengenakan pada kadar enam peratus kerana kadar pengenalan GST yang sesuai pada peringkat awal ini adalah antara tiga hingga empat peratus.

“Sewajarnya kerajaan mengenakan GST pada paras yang rendah supaya tidak membebankan rakyat pada pengenalan pertama, bermula 1 April 2015,” katanya ketika dihubungi di TV Selangor di sini, hari ini.

Yusof berkata, GST adalah cukai kepenggunaan bermaksud semua pengguna yang menggunakan barangan itu akan mendapat kesannya.

“Berdasarkan kajian, golongan yang berpendapatan rendah ini membelanjakan sebahagian besar wang pendapatan mereka untuk mendapatkan keperluan asas, berbanding golongan berpendapatan tinggi.

“Semakin banyak barangan keperluan yang dibelanjakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, maka kesan yang perlu dihadapi mereka akan meningkatg,” kata beliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan GST menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat, selain turut menjadi tambahan beban kepada rakyat  Sabah dan Sarawak disebabkan rakyat di negeri itu mempunyai berpendapatan jauh lebih rendah daripada Semenanjung.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB bantu eratkan Kerajaan Negeri dengan swasta

PNSB

SHAH ALAM 29 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam mewujudkan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dengan sektor korporat khususnya pihak swasta di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sumber pendapatan negeri demi kebaikan rakyat.

“Tumpuan kerajaan negeri bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri membantu memajukan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi di Majlis Makan Malam sempena Pertandingan Golf Persahabatan anjuran PNSB baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, melalui peranan yang dimainkan PNSB, Kerajaan Negeri dapat mendekati sektor swasta dengan lebih berkesan.

“Kejayaan PNSB membantu Kerajaan Negeri melalui pertandingan begini merupakan laluan terbaik bagi membolehkan sektor swasta menyumbang ke arah meningkatkan aset Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Abdul Khalid berkata, selain membawa masej ketelusan dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri turut digalakkan mengambil peluang bagi meningkatkan imej serta membantu Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Pertandingan Golf Persahabatan yang dianjurkan PNSB buat kali keempat ini melibatkan Pejabat-pejabat Daerah di Selangor dan sektor swasta.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Majlis ilmuan dan pesta jualan tarikan utama Festival Konvokesyen UNISEL 2013

Karnival Unisel

KUALA SELANGOR 25 OKT: Majlis ilmuan yang menampilkan tokoh daripada pelbagai bidang adalah antara tarikan utama pengunjung yang hadir ke Festival Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) 2013, yang bermula 24 hingga 27 Oktober ini.

Majlis ilmuan itu dijangka mampu menarik perhatian mahasiswa dan pengunjung luar terutama forum bertajuk ‘Cinta dan Mahasiswa’ yang menampilkan pendakwah dan novelis bercorak Islam terkenal, Dr Farhan Hadi, malam ini.

Sementara itu, forum bertajuk ‘Realiti dan Cabaran Generasi Y’ yang menampilkan tiga panelis muda iaitu perunding personaliti, Mona Izzah dan dua wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISEL, Ahmad Hafizi Hilmi dan Muhammad Nawawi Munir Shoib turut diadakan malam tadi.

Naib Yang Dipertua MPP UNISEL, Ibrahim Junaidi, berkata festival berkenaan turut mengadakan aktiviti pesta jualan dan pelbagai pertanding yang dibuka untuk pelajar dan pengunjung.

Forum Unisel

“Festival ini turut menampilkan artis jemputan seperti Siti Nordiana dan Nubhan, pada malam penutup. Sementara itu, pada sebelah pagi dan petang  akan diadakan Super Spontan Unisel, Auto Show, Soccer Kids, Paint Ball, pertandingan memancing, pertunjukkan fesyen jalanan dan acara kanak-kanak.

“Kita berharap pengunjung, khususnya warga UNISEL dan keluarga datang memeriahkan festival kali ini,” katanya ketika kepada TV Selangor di UNISEL, malam tadi.

Tinjauan TV Selangor mendapati selain pelbagai jenis makanan dan minuman, turut dijual di tapak jualan festival itu adalah pakaian, buku, majalah, barangan cederahati serta aksesori telefon.

Festival empat hari itu dirasmikan Exco Pendidikan negeri, Dr Halimah Ali, petang semalam, manakala acara penutupan akan disempurnakan Exco Sukan, Belia Dan Adat Resam Melayu, Dr Ahmad Yunus Hairi, pada Ahad ini.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang bergerak selangkah perkukuh demokrasi

Kerajaan PR Selangor dan P

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor dan P.Pinang yang bergerak selangkah lagi memperkukuhkan demokrasi dalam radar pentadbiran mereka.

18 September lalu Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan secara prinsipnya peruntukan kepada ADUN pembangkang di Pulau Pinang (baca : Barisan Nasional) dan lanjutan kelulusan Mesyuarat Exco ini akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri P.Pinang 2014.

Manakala 10 Oktober lepas Kerajaan PR Selangor pula mengumumkan elaun khas dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagi SAMM ini usaha berani dalam memperkukuh dan mendidik erti demokrasi sebenar di Malaysia namun memahami dalam searah panjang penindasan dalam menterjemah sistem demokrasi ala Barisan Nasional tentu tindakan seperti ini sukar diterima oleh beberapa pihak dalam PR itu sendiri.

Namun jika kita bercakap soal demokrasi matang, inilah masa terbaik menunjukkan PR berbeza dengan politik penindasan Bn. Kita lihat selama ini bagaimana wakil rakyat PR khususnya ahli parlimen dinafikan hak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan satu sen pun peruntukan tidak disalurkan melalui wakil rakyat PR yang diangkat dengan undi rakyat.

Kini satu tamparan hebat buat ADUN Bn di Pulau Pinang. Adakah mereka mahu menerima peruntukan yang diberikan kepada mereka walaupun mereka pembangkang ?

Jika mereka menerima maka mereka memperakui bahawa amalan Kerajaan Bn di negeri lain dan Bn peringkat Pusat sendiri adalah salah dengan tidak menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat atau jika menolaknya maka mereka akan terus dikenang dengan politik kepartian sempit dan mereka tidak boleh mengeluh lagi depan pengundi mereka yang mereka tidak ada peruntukan.

Melalui Kerajaan Pulau Pinang, PR membuktikan bahawa pertembungan parti politik hal yang lain tetapi dalam urus tadbir negeri demokrasi maka pilihan rakyat harus dihormati dan PR Pulau Pinang telah mengiktirafnya.

Jawatan Ketua Pembangkang dalam dewan (sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri) amat penting. Namun sejak merdeka Malaysia tidak pernah menghormati seperti mana negara – negara demokrasi matang mengiktiraf jawatan tersebut.

Kerajaan PR Selangor mengorak langkah apabila memberikan elaun khas RM8,260 sebulan dengan perbagai keistemewaan lain kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dengan ini jawatan yang juga diangkat melalui proses demokrasi suara rakyat ini boleh digunakan untuk sama membangunkan negeri. Ketua pembangkang boleh punya sebuah pejabat yang efisyen lengkap dengan pegawai penyelidik yang cukup dan mampu untuk membahaskan dan membuat teguran membina kepada kerajaan negeri yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Persoalanya kini juga muncul adakah Ketua Pembangkang yang datang dari Bn di Selangor menerima elaun dan keistimewaan tersebut atau dia menolak dengan pemikiran politik kepartian sempit.

Jika menerimanya juga maka dia mengakui sendirinya bahawa adalah amalan yang salah apabila Kerajaan Pusat dan Negeri dibawah Bn menidakkan peranan Ketua Pembangkang di dewan yang diangkat oleh rakyat.

Seharusnya beginilah politik negara dibawa kepada persaingan polisi dan persaingan dalam penambahbaikan yang akhirnya memperkukuh demokrasi dan menguntungkan rakyat.

Besar harapan SAMM ingin melihat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan yang menjadikan perkataan ‘transformasi’ sebagai zikirnya tiap hari dalam membentangkan Buget 2014 Jumaat ini mampu benar benar menyambut langkah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang.

Langkah ini juga positif dan semua harus bergerak dalam memperkukuh demokrasi dengan mengiktiraf peranan ahli parlimen PR dengan mengambil kira penyaluran peruntukan melalui mereka yang dipilih rakyat dan mengangkat peranan Parlimen Malaysia dengan mengiktiraf keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Malaysia.

Jika tidak zikir ‘transformasi’ itu akan terus menjadi retorik bahan ketawa mainan dalam dan luar negara.

Badrul Hisham Shaharin
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
SELANGOR

Penjualan rumah berkembar Bukit Botak dapat sambutan

bukit botak rumah asri 01

SHAH ALAM 19 OKT : Penjualan unit rumah berkembar satu tingkat di Bukit Botak, Selayang, yang dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak mula dibuka untuk jualan.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata pihaknya menerima lebih 1,000 borang permohonan sejak diedarkan awal bulan ini iaitu 10 kali ganda berbanding 100 unit rumah yang ditawarkan.

Katanya, proses penapisan untuk menentukan kelayakan pemohon hanya akan diputuskan melalui persidangan Jawatankuasa Khas Pemilihan yang dianggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), PKNS serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang dijadualkan tidak lama lagi.

“Kita belum buat panggilan temuduga kerana hanya akan dilakukan selepas proses penapisan selesai. Permohonan untuk memiliki kediaman itu sudah ditutup, pada minggu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Ishak berkata, segala keputusan yang melayakkan seseorang untuk memiliki kediaman itu adalah bergantung kepada garis panduan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengarahkan PKNS untuk membatalkan penjualan ‘siapa cepat dia dapat’ dengan serta-merta dan menggantikannya dengan saluran jawatankuasa khas.

Jawatankuasa itu akan menyenarai pendek permohonan dan membuat tawaran jualan kepada pemohon yang layak melalui proses temuduga membabitkan kriteria pemilihan tertentu. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : 3 juta rekod tanah ganti sistem fail elak penipuan

MB_yellow

SHAH ALAM 20 OKT : Kerajaan Selangor berjaya merekodkan sejumlah tiga juta fail pemilikan tanah di negeri itu kepada sistem digital berkomputer bagi memastikan sistem penyimpanan dan pencarian yang lebih efektif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata melalui kaedah ‘Bank Tanah’ itu masalah kehilangan dan kesukaran mencari fail hak milik tanah dapat diatasi malahan kini dapat mencarinya dengan pantas dan tepat.

Abdul Khalid berkata, sistem itu yang dilaksanakan sejak setahun lepas juga turut membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah yang dimiliki dan juga merancang pembangunan tanah dengan lebih baik.

“Sekarang kita dapat mengetahui jumlah sebenar tanah yang dimiliki Kerajaan Negeri yang sebelum ini tidak diketahui,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

MB_yellow 2

Abdul Khalid berkata, pengurusan tanah menggunakan amalan sistem fail diubah kerana tidak menguntungkan rakyat dan membuka ruang berlakunya penipuan.

“Fail sebanyak tiga juta itu sudah diletakkan di Stadium Shah Alam, jadi hilang fail sudah tidak ada dan kita dapat tahu lebih cekap.

“Kita terbuka dan telus dalam isu pemilikan tanah. Semua orang berhak tahu siapa pemilik tanah. Kerana itu rekod pemilikan tanah sangat penting,” kata beliau.

Kira-kira 300 orang hadir dalam konvensyen itu yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad.

Categories
SELANGOR

PKNS diminta ambil tindakan atasi masalah sistem pepejal

niksampah

niksampah1PETALING JAYA SELATAN, 17 OKT :  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diminta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah sistem pepejal yang dihadapi penduduk Pangsapuri PKNS di PJS 6 di sini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sehingga kini masih belum ada kata sepakat berhubung masalah pengurusan sisa pepejal ekoran berlakunya percanggahan bidang kuasa  di antara PKNS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan timbulnya masalah kesihatan kepada penduduk di pangsapuri itu.

“Kita sudah turun melihat keadaan sampah yang serius, Kita bawa wakil PKNS dan MBPJ. Setakat ini belum ada penyelarasan.

“Oleh sebab pangsapuri ini besar dan saya bimbang masalah kesihatan lain akan timbul,” katanya.

Tinjauan TVSelangor mendapati rumah sampah kecil yang dikhaskan untuk pembuangan sisa pepejal gagal diuruskan dengan baik memandagkan terdapat pembuangan sisa domestik seperti barangan rumah dan rangka kenderaan.

Situasi ini mengundang rasa tidak selesa penduduk dan membawa kepada pembiakan tikus yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

Seorang penduduk tempatan Mohd Zulkifli Mohd Nasir yang tinggal di Blok 5 berkata, masalah longgokan sampah ini telah berlaku hampir dua tahun lalu sehingga mengakibatkan pembiakan tikus.

“Saya harap jika ada bantuan daripada pihak kerajaan dan kerjasama diantara penduduk, keharmonian ini dapat dikekalkan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sambutan Aidiladha di Selangor meriah – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 16102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

2. Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangopr (PKPS) membuka ladang penanaman sawit seluas 335 hektar yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

3. Sistem pemilihan “satu bahagian satu undi” yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.

Categories
NASIONAL

Harga minyak naik, Fomca desak mansuh cukai jalan

fomca ron97

SHAH ALAM 6 SEPT: Gabungan Persatuan Pengguna- pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans berikutan kenaikan harga minyak.

Senada dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM),  Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abd Rahman berkata,  ia perlu sebagai alternatif berikutan rakyat tertekan ekoran kenaikan harga minyak.

“Semua maklum kesan besar dari kenaikan ini melibatkan peningkatan kos rantaian barangan.

“Ia menjadi inisiatif meringankan beban rakyat apabila dikurangkan cukai lain termasuk cukai jalan,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, PDAM mencadangkan kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang 2,000cc.

Yusof berkata, cadangan itu wajar dipertimbang memandangkan kenaikan mendadak harga minyak mengakibatkan pengguna dihimpit kos sara hidup yang tinggi.

Beliau juga yakin langkah itu mampu mereda kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga bahan api.

“Walaupun cukai jalan hanya kesan sementara sebab rakyat bayar cukai jalan hanya sekali setahun. Ini melegakan mereka. Segera umumkan inisiatif lain,” katanya.