Categories
SELANGOR

MB: Tiada bayaran 10 kali ganda kepada SPLASH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

TANJUNG KARANG, 18 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pentadbiran negeri tidak membuat lebihan pembayaran 10 kali ganda kepada pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Mohamed Azmin berkata, dakwaan bersifat jahat dilemparkan individu tidak bertangungjawab itu mahu memburuk-burukkan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan beliau.

“Saya tidak faham mengapa ada pihak membuat tohmahan seolah-olah kita membayar 10 kali ganda daripada nilai tawaran yang pernah dibuat itu.

“Ini satu tuduhan yang tidak bertangunggjawab dan saya gembira apabila Menteri sendiri telah mengesahkan di Parlimen bahawa perbincangan berhubung rundingan tersebut masih berjalan.

img_2455“Kita menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan melantik penilai bebas yang mana Kerajaan Negeri telah membuat lantikan itu sebelum ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas hadir menyerahkan bantuan sumbangan baik pulih masjid dan surau negeri di Masjid Kampung Haji Razali, Tanjung Karang, di sini, petang ini.

Terdahulu, tawaran asal ekuiti pembayaran SPLASH didakwa bernilai RM250.6 juta, bagaimanapun wujudnya tohmahan daripada pentadbiran terdahulu kononnya Kerajaan Negeri kini membuat pembayaran ekuiti 10 kali ganda kepada SPLASH sebanyak RM2.7 bilion.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, lantikan panel penilaian bebas antarabangsa dibuat pentadbiran negeri dan Persekutuan akan menentukan kadar pembayaran yang dibuat Kerajaan Negeri bagi pengambilalihan saham SPLASH.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dalam sepucuk surat bertarikh 7 Oktober lalu turut meminta supaya rundingan pengambilalihan itu dilanjutkan enam bulan lagi.

Untuk tempoh ini, tiada sebarang ketetapan kadar dibuat sehingga penentuan kadar pembayaran sebenar dimaklumkan panel penilai.

-nR-

Categories
SELANGOR

Pengambilalihan Splash: Kerajaan Negeri tidak ulangi amalan pentadbiran terdahulu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri tidak akan mengulangi amalan pentadbiran sebelum ini dalam mengendalikan urusan industri perkhidmatan air di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan urusan dibuat Kerajaan Negeri terdahulu bersama Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) tidak pernah dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan ia bertentangan dengan amalan dipraktikkan dalam pentadbiran negeri.

“Saya ingin menegaskan di dalam dewan ini, Kerajaan Negeri tidak mahu mengulangi amalan lalu.

mb-dun“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan ke atas Splash adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka diuar-uarkan seantero dunia, namun orang sama tidak pernah memaklumkan kepada dewan ini berkenaan tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009.

“Ia dengan pecahan seperti berikut iaitu nilai ikuiti sebanyak RM1.579 bilion dan nilai liabiliti sebanyak RM1.396 bilion,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan Belanjawan 2017 Negeri dalan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Beliau menyatakan perkara itu selepas ia dibangkitkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Pelabuhan Klang – Bebas) dan mengulangi kenyataan dibuat apabila diminta Datuk Sulaiman Razak (Permatang – BN) yang tidak sempat mengambil catatan.

Berdasarkan tawaran dibuat pentadbiran 2009, katanya, Splash telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri untuk menerima tawaran itu dan perkara berkenaan juga dinyatakan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHa) melalui surat bertarikh 15 Oktober 2009.

“Pentadbiran sebelum ini juga meuar-uarkan bahawa tawaran kepada semua pemegang konsesi dibuat berdasarkan kepada kaedah ‘return on equity’ (ROE) sebanyak 12 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut persoalan dibangkitkan Sulaiman, Mohamed Azmin berkata, sama ada perkara itu menepati peruntukan undang-undang atau tidak, perkara utama ingin disampaikan adalah berkaitan ketelusan sebagai ketua pentadbir negeri yang harus melaporkan kepada DNS berhubung perkara itu.

“Maka kerana itu soal proses pengambilalihan Splash telah saya bawa dan bincangkan dalam MMKN seperti mana dinyatakan kita tidak mahu mengulangi amalan lalu.

“Sama ada Pelabuhan Klang akan dirujuk atau tidak (kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT)), itu di bawah bidang kuasa dewan dan saya tidak akan membuat cadangan kepada dewan kerana ruang ini untuk memberikan fakta sahaja.

“Manakala semua cadangan dan perbincangan mengenai pengambilalihan Splash, saya bawa dalam MMKN dan apabila ia dicadangkan maka saya bersedia membahaskan di dalam dewan ini,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

MB beri jaminan tiada pemberhentian kakitangan SYABAS

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 02SHAH ALAM 7 NOV : “Tidak ada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, SYABAS hanya akan bertukar pentadbiran di bawah kerajaan negeri sahaja dan tidak membabitkan tenaga kerja syarikat itu.

“Satu perkara yang jelas tidak ada pemberhentian membabitkan tenaga kerja SYABAS, bermakna kakitangan akan terus bekerja tetapi di bawah pemilik yang lain, itu sahaja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, jika keputusan berkenaan syarat yang dikemukakan kerajaan negeri kepada SYABAS dipersetujui hujung tahun ini, proses pengambilalihan itu akan mengambil masa selama tiga hingga ke enam bulan.

Katanya, kerajaan negeri sudah menerima surat daripada kerajaan pusat yang menyatakan persetujuan pengambilalihan syarikat konsesi air terbesar di Selangor itu.

“Kita sudah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan berkenaan perkara ini mesti diselesaikan, tetapi perbezaannya adalah duit sahaja, walaupun itu penting tetapi kesamaan pendapat sudah ada,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu adalah SYABAS, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

-NFN

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air menuju peringkat akhir, Selangor sedia bentang cadangan ambil-alih industri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

– HM

Punca Gagal Bekal Air: Syabas Cuma Bayar 45 % Kepada Operator Loji

dr zul

SHAH ALAM, 4 FEB: Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang hanya membayar sekitar 40 hingga 45 peratus kepada syarikat operator loji rawatan air menyebabkan syarikat terlibat tidak mampu mengeluarkan air dalam kapasiti yang optimum.

Syarikat operator rawatan air, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) terpaksa bertindak demikian bagi mengurangkan kos pengeluaran dan mengelakkan menanggung kerugian.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad keadaan ini hanya dapat diselesaikan apabila Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih operasi pengeluaran air di negeri itu.

“Bayaran Syabas kepada syarikat operator loji ini sangat menekan aliran tunai mereka,” kata Dr Dzulkefly kepada TV Selangor hari ini.

Selain itu, Dr Dzulkefly turut mendedahkan bahawa Syabas juga tidak memberikan layanan yang adil dan saksama kepada syarikat-syarikat kontraktor mereka.

“Kontraktor Syabas ini ada banyak, tetapi saya dapat tahu cuma beberapa syarikat yang Tan Sri Rozali Ismail ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dapat keistimewaan seperti anak emas oleh Syabas.

“Projek yang diberikan juga biasanya projek yang beri keuntungan lebih besar berbanding kerja yang diperolehi syarikat lain, ini tak adil kepada syarikat kontraktor lain walaupun mereka punyai keupayaan jalankan projek,” ujarnya lagi.

Antara syarikat yang disebutkan sebagai anak emas Syabas oleh Dr Dzulkefly termasuklah Mewah Kota Sdn Bhd, Damini Sdn Bhd, Yakin Rantau Sdn Bhd, Kembara Sdn Bhd dan Semarak Niaga Sdn Bhd.

“Sekiranya Kerajaan Negeri ambil alih, kontrak dan bayaran akan dibuat dengan adil dan lebih baik sebab rekod yang ada saya percaya Kerajaan Negeri merupakan ‘pay master’ yang bagus,” kata Dr Dzulkefly yang mengaku dibekalkan maklumat dari sumber dalaman salah sebuah syarikat anak emas terbabit.