Categories
NASIONAL SELANGOR

Status pembinaan SJKT Ladang Castlefield akan dibincang dalam mesyuarat MTES

MB SUK grey

SHAH ALAM 28 OKT : Kontroversi berhubung status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Castlefield, Puchong, di lokasi baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan melalui MTES bertujuan untuk merekodkan sebarang keputusan dan persetujuan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat MTES sama ada minggu ini atau minggu depan kerana mahu Kementerian Pendidikan dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) untuk mendapat ketetapan mereka.

“Itu sebab kita adakan perjumpaan di MTES supaya ada rekod persetujuan yang kita lakukan,” katanya sebagai respon kepada pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, sebelum ini mendesak Abdul Khalid untuk memberi jawapan segera berhubung pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan SJKT Ladang Castlefield di lokasi baru.

Difahamkan, tanah di lokasi baru itu diperuntukkan kerajaan negeri selepas timbul bantahan apabila sebahagian padang sekolah di tapak lama diambil bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT).

Gobind berkata, perkara berkenaan perlu segera dipertimbangkan kerana akan timbul masalah lain termasuk menjejaskan kerja pembinaan LRT sekiranya persetujuan kerajaan negeri lewat diperoleh.

Kerajaan Negeri sebelum ini memutuskan memperuntukkan tanah seluas 1.6 hektar di Taman Wawasan untuk memindahkan sekolah berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.

Categories
NASIONAL

Pua: Kronisme Tegar Di Era Transformasi Najib

SHAH ALAM,7 OGOS : Tindakan kerajaan menganugerahkan projek LRT Ampang kepada George Kent adalah bukti ketegaran amalan kronisme dalam kerajaan BN selain menyerlahkan lagi kegagalan konsep transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua berkata, ketika Najib Razak melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 2010,beliau telah mengisytiharkan untuk menghapuskan amalan ‘rent-seeking’ dan naungan.

Namun,penganugerahan projek kepada George Kent itu tidak menggambarkan kenyataan yang cuba dilaksanakan Najib Razak.

“Anugerah ini telah terbukti bahawa bukan sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk menghapuskan amalan ‘rent seeking’ dan naungan dalam perolehan Kerajaan dan proses tender.

“Perlakuan ini menjadi semakin terang-terangan dan berkembang pesat di negara ini,” kata Pua dalam kenyataan medianya.

Jelas Pua lagi,sejak minggu lalu, pelbagai pendedahan menunjukkan bahawa George Kent memenangi bidaan walaupun harganya RM167 juta lebih tinggi daripada tawaran asal yang dicadangkan pemilik projek Syarikat Prasarana Negara.

Malahan, George Kent telah dianugerahkan kontrak walaupun gagal kriteria teknikal.

“Eksekutif industri dipetik berkata bahawa “George Kent mungkin perlu subkontrak kira-kira 70 peratus sehingga 80 peratus daripada nilai kontrak kerana ia bukan merupakan pengeluar peralatan asal mana-mana komponen yang diperlukan untuk kerja sistem.

“Eksekutif tertinggi dari Nokia juga telah mengesahkan bahawa mereka telah dihubungi oleh George Kent untuk mengambil bahagian dalam projek itu sebagai subkontraktor,” ujar Pua.

Tambah beliau lagi,Balfour Beatty juga telah didekati untuk projek subkontrak itu tetapi eksekutif rapat kepada kumpulan yang berpangkalan di United Kingdom berkata ia telah “menolak” tawaran itu.

“Anugerah ini menunjukkan bahawa kontraktor Ali-Baba  yang masih wujud yang mempunyai pertalian  politik.

“Bagaimanakah Datuk Seri Najib Tun Razak boleh terus bercakap tentang “Model Baru Ekonomi” dan “Transformasi Ekonomi” apabila kroni Barisan Nasional (BN) terus memperolehi tender kerajaan yang lumayan melalui rent seeking dan naungan, dan bukan dengan kecekapan, kualiti dan daya saing harga,” katanya.

Kerajaan Negeri Harus Ambil Tindakan Isu LRT Subang Alam

SHAH ALAM 22 JULAI : Keselamatan penduduk Taman Subang Alam, Seksyen 27, dikuatiri semakin terancam apabila pembinaan jajaran stesen transit aliran ringan (LRT) dilakukan atas tapak berdekatan tasik bekas kuari.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie berkata perkara itu perlu di selesaikan secara tuntas dan bersepadu oleh Kerajaan Negeri bagi menjaga keselamatan penduduk dan mengelak dari bencana.

Shuhaimi menambah sekiranya pembinaan itu dilaksanakan tiga buah rumah akan dipindahkan dan lima buah rumah akan berada dalam keadaan yang terlalu hampir dengan jajaran LRT itu.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan cadangan penduduk agar tapak bagi jajaran LRT dan stesen 11 dan 12 pada laluan penyambungan LRT Subang Jaya dipindahkan ke satu tapak berhampiran yang lebih selamat.

Beliau berkata walaupun pihak Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) telah memberi respons kepada kebimbangan penduduk,
ia tidak mengurangkan ketakutan mereka.

“Saya sudah berulang kali membangkitkan perkara ini untuk meminta Kerajaan Negeri mengatasi masalah ini dan ia harus diteliti dan dipertimbangkan.

?Isu ini bukan perkara baru jadi ia perlu perhatian segera,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, kira-kira 300 penduduk Taman Subang Alam meminta pihak berkuasa menghentikan pembinaan LRT di kawasan taman perumahan mereka kerana khuatir ia akan menyebabkan tanah runtuh.

Penduduk mendakwa pembinaan di tapak sekarang mengundang bahaya kerana ia melalui kawasan sempit antara tasik bekas kuari dan deretan rumah di Subang Alam dan Putra Heights.

Penduduk bimbang kerja-kerja itu menjejaskan keselamatan mereka kerana Prasarana antaranya, didakwa tidak mendedahkan pelan migrasi struktur dan pelan kontingensi untuk mengukuhkan kuari berdekatan kediaman mereka.

Justeru, mereka menyarankan agar laluan dan tapak kedua-dua stesen tersebut dipindahkan ke satu lagi cadangan tapak yang berhampiran yang difikirkan lebih selamat.

Cadangan tapak itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2011 sebelum binaan di tapak sekarang, yang dicadangkan Prasarana, dimulakan.

Ini kerana, cadangan laluan LRT MBSA akan dibina melalui jalan raya lebar, kawasan komersial yang dapat menarik lebih ramai pengguna dan berisiko rendah.