Categories
AGENDA NASIONAL

TH lantik 22 syarikat sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 2021

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh lembaga berkenaan.

“Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, C.S Holidays Sdn Bhd, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini telah diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Perketat PKP tanpa bantuan kewangan bawa risiko syarikat gulung tikar

SHAH ALAM, 25 JAN: Lebih banyak syarikat risiko gulung tikar jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketat tanpa bantuan kewangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata ini adalah masa tepat untuk kerajaan belanja lebih bagi membantu golongan tersebut dan pada masa sama mengawal penularan Covid-19.

“Kita harus akui sebelum pandemik, syarikat tersebut telah membayar cukai secara konsisten sebanyak RM70 bilion setahun.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah serius dengan memperluas skim subsidi upah serta beri geran cukai kepada mereka agar boleh tambah baik kuarters dan asrama pekerja,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Facebook hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson berkata saringan secara besar-besaran terhadap pekerja warga asing juga perlu dilaksana segera atau sekurang-kurangnya dibiayai separuh oleh kerajaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang benar syarikat biaya kos hantar pulang pendatang di depot

PUTRAJAYA, 4 DIS: Cadangan membenarkan syarikat besar membiayai kos penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen (DTI) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebagai timbal balas, syarikat itu akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu selepas melalui tapisan ketat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Beliau berkata cadangan itu dipertimbangkan kerajaan bagi membantu pemain industri mendapatkan kuota penggajian pekerja asing dengan lebih pantas.

“Katakan ada 20,000 (pekerja asing) di dalam depot, hanya kira-kira 15 peratus yang tenaganya boleh digunakan, manakala yang lain ada masalah yang kita tak benarkan (mereka) bekerja semula, dan golongan ini perlu dihantar balik.

“Jika syarikat besar mahu mengambil mereka (pekerja asing) dengan lebih cepat, mereka boleh mengambil pekerja itu, hantar mereka kembali (ke negara asal) dan kita benarkan penggantian pekerja satu nisbah satu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai pengurusan pekerja asing semalam.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kajian semula dasar penggajian ekspatriat dengan kerjasama strategik TalentCorp dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).

Katanya, kali terakhir kajian dibuat terhadap dasar itu ialah pada 20 Dis 2016, dan kini ia memerlukan penambahbaikan, dengan memastikan wujudnya keseimbangan dalam memenuhi keperluan sumber manusia yang mengutamakan tenaga kerja tempatan, terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Dulu kita ada ekspatriat peringkat satu, dua dan tiga. Kumpulan tiga contohnya bergaji RM3,000, saya rasa tidak adil untuk rakyat Malaysia memanggil mereka ekspatriat,” katanya.

Menurut Hamzah, mesyuarat juga bersetuju supaya penggajian pekerja asing bagi jawatan tukang emas dipertimbangkan semula di bawah Pas Lawatan Ikhtisas atau Professional Visit Pass (PVP) yang bertujuan melatih tukang emas tempatan.

“Perkhidmatan tukang emas warga asing ini tidak lagi diperlukan setelah jumlah tukang emas tempatan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

LZS terima zakat perniagaan RM3.45 juta daripada 31 syarikat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 31 syarikat korporat berjumlah RM3.45 juta.

Mendahului senarai ialah Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM951,200 diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM497,300) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM330,264).

Zakat perniagaan daripada 31 syarikat korporat itu diterima oleh Timbalan Pengerusi LZS Datuk Dr Aziuddin Ahmad.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata jumlah kutipan zakat tahun ini dilihat masih jauh daripada sasaran susulan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata penularan pandemik itu turut menyebabkan jumlah asnaf meningkat daripada 68,000 kepada 72,000 keluarga yang kebanyakannya menyaksikan ketua keluarga diberhentikan kerja manakala syarikat pembayar juga tidak mampu mengeluarkan zakat yang banyak selepas pendapatan mereka berkurangan.

“Justeru menjelang akhir Disember ini, LZS terus berusaha keras untuk mengutip wang zakat terutama bagi zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2020 di sini hari ini.

Saipolyazan berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, sebanyak 9,963 syarikat melunaskan pembayaran zakat perniagaan mereka di LZS.

Pada majlis sama, LZS turut menyampaikan agihan zakat kepada dua asnaf iaitu Yuslina Yunus, 40, yang menerima bantuan perubatan rawatan dialisis berjumlah RM37,830 dan Khairul Affendi Karim, 33, sebagai bantuan pembinaan rumah sebanyak RM93,000.

Turut menerima agihan zakat ialah Nadi Intelek, sebuah organisasi yang menguruskan pendidikan bagi anak-anak autisme di Selangor, yang berupa bantuan geran secara sekali bayar berjumlah RM354,000.

Saipolyazan berkata agihan zakat yang disalurkan kepada organisasi itu adalah dalam bentuk bantuan pendidikan bagi tempoh dua fasa iaitu Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kastam kesan RM812 juta hasil negara tiris enam bulan pertama 2020

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan usaha mendapatkan semula hasil itu daripada syarikat yang terlibat giat dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata antara kebocoran hasil yang dikesan adalah akibat daripada kegiatan mengelak cukai, fraud komersial, pengikraran nilai import yang rendah, kesalahan mengikrar kod tarif barangan, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan dan penyalahgunaan kemudahan fasiliti zon bebas atau pelabuhan bebas.

“Sepanjang tahun lepas, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan hasil kerja keras menerusi beberapa operasi yang dijalankan pihak kastam, kami telah berjaya mendapatkan semula kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah (ketirisan) tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Audit Bahagian Pematuhan JKDM Siri 1 Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat yang dikenal pasti melakukan kesalahan berkenaan perlu membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, JKDM juga melaksanakan audit dan lawatan di premis syarikat, pengimport dan pengeksport yang berdaftar dengan pihaknya dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang serta tidak melakukan penipuan dalam urusan pembayaran cukai.

“Kami menjalankan audit melalui kaedah bersasar. Selain itu, pihak yang diaudit juga akan diberi khidmat nasihat secara bersemuka bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman berkaitan perundangan yang ditadbir JKDM. Pemahaman yang tinggi akan meningkatkan pematuhan,” katanya.

Johari berkata Bahagian Pematuhan JKDM merupakan cabang penting dalam kastam untuk mengesan ketirisan hasil negara dan bahagian itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir oleh pihaknya dipatuhi serta duit, cukai atau levi diikrar dan dibayar dengan betul serta tepat.

“Keupayaan pegawai audit itu amat penting dalam menangani isu kebocoran hasil negara dan melaksanakan tugas pengauditan untuk mengesan ketirisan hasil melalui pembayaran cukai, duti atau levi yang tidak tepat. Had tempoh untuk tujuan pengauditan yang menyentuh tanggungan duti atau cukai adalah sehingga enam tahun ke belakang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jepun: Kehadiran tentera Amerika Syarikat penting untuk Asia Timur

TOKYO 13 JUN: Kementerian Pertahanan Jepun menganggap kehadiran tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan dan latihan ketenteraan bersama adalah penting bagi keselamatan di Asia Timur.

Ia susulan kenyataan mengejutkan oleh Presiden Donald Trump bahawa beliau akan menamatkan latihan perang dengan Korea Selatan, iaitu selepas menghadiri mesyuarat dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura, semalam.

“Kami ingin memahami perkara ini dengan mengadakan perbincangan antara Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” kata Menteri Pertahanan, Itsunori Onodera kepada wartawan.

Onodera berkata, Jepun akan terus mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan Amerika Syarikat, selain meneruskan rancangan untuk memperluaskan sistem pertahanannya, bagi menghadapi ancaman serangan peluru berpandu daripada Korea Utara.

SUMBER: REUTERS