Categories
NASIONAL

Guan Eng: Shahrizat Patut Lepas Semua Jawatan

KUALA LUMPUR, 12 MAC – Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri berkuatkuasa April depan disifatkan sebagai keputusan separuh rela memandangkan beliau masih belum bersedia melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sekiranya Shahrizat ingin meletakkan jawatan, beliau seharusnya melepaskan kesemua kedudukan yang disandang termasuk di dalam parti.

Menurutnya, tindakan Shahrizat itu seolah-olah menunjukkan bahawa beliau masih belum bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandang sekarang.

“Dia (Shahrizat) nak letak jawatan sebagai menteri, tetapi tidak mahu lepaskan jawatan dalam parti.

Ini adalah keputusan separuh rela dan tiada kesungguhan. Kalau tak bersalah, kenapa nak lepaskan jawatan?

Dengan meletakkan jawatan, ia membuktikan salah laku yang telah dibuat. Shahrizat perlu melepaskan kedua-dua jawatannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyarankan Shahrizat supaya mendengar nasihat Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee supaya segera melepaskan kedua-dua jawatannya dan tidak bermain tarik tali terhadap keputusan yang dibuat.

“Saya rasa eloklah Shahrizat mendengar nasihat Syed Ali iaitu ahli Umno sendiri.

Kenyataan saya ini hanyalah sebuah pandangan yang mewakili DAP,” katanya.

Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Berhubung jawatan sebagai ketua Wanita Umno, beliau berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.

Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu ‘drama’.

Syed Ali berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.

Categories
NASIONAL

“Letak Jawatan Tak Bererti Kes Selesai”- Mohd Sabu

SHAH ALAM, 12 MAC : Bukan jalan penyelesaiannya untuk rakyat melupakan dana awam yang diselewengang oleh pemimpin Umno walaupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengumumkan akan berhenti dan mengundurkan diri dari jawatan menteri tidak lama lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Secara sinis beliau berkata rakyat mahukan isu ‘Menteri lembu’ tersebut disiasat secara telus dan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pelbagai bukti telah dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

” Walaupun Menteri lembu telah mengumumkan akan berhenti tidak lama lagi tetapi bukan itu penyelesaiannya, kita mahu jika ada kes rasuah, SPRM mesti siasat dan dakwa siapa sahaja yang terlibat dalam kes rasuah itu,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Sambutan ke empat tahun pentadbiran PR.

Katanya, tindakan Shahrizat yang mengambil masa sebegitu lama untuk berundur dilihat sebagai tindakan terdesak setelah pelbagi bukti ditemui dan dibongkar oleh Pakatan Rakyat.

Semalam, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Wanita Umno mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz , Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee dan Timbalan Kelab Penyokong BN, Bung Mokhtar Radin juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.