Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tabika Perpaduan secara semuka mula Isnin, patuhi SOP

PUTRAJAYA, 27 FEB: Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Februari lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memastikan pengoperasian Tabika Perpaduan tertakluk kepada pematuhan ketat garis panduan pembukaan semula prasekolah, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau mengingatkan guru agar sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lepas mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19, akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hinggat Tahun Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,700 Tabika Perpaduan laksana pembelajaran dalam talian

PUTRAJAYA, 21 JAN: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan di 1,781 Tabika Perpaduan (TP) melibatkan 35,984 pelajar berikutan arahan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menangguhkan operasi pembukaan bersemuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata PdPR dilaksanakan dengan lancar di seluruh TP melalui kaedah dalam talian atau luar talian.

Daripada 1,781 TP, sebanyak 1,067 tabika atau 60 peratus menggunakan PdPR secara luar talian iaitu bahan pengajaran dihantar melalui Google Classroom, WhatsApp, Telegram, e-mel dan platform yang sesuai.

Manakala sebanyak 658 tabika atau 37 peratus TP mengikuti pembelajaran secara dalam talian iaitu secara langsung menerusi aplikasi Zoom, Google Meet, Webex dan seumpamanya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halimah berkata hanya tiga peratus yang mewakili 56 buah tabika mengikuti pembelajaran secara pendekatan luar talian iaitu murid diberi tugasan berkaitan dengan lebih awal secara manual.

Beliau berkata kaedah secara luar talian digunakan apabila terdapat kekangan capaian internet dan ketidakhadiran ibu bapa bersama semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“Inisiatif dan kreativiti tenaga pengajar kelas TP dalam pelaksanaan PdPR ini akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui latihan dan sokongan peralatan bagi memanfaatkan kemajuan teknologi dan memastikan pembelajaran murid berjalan lancar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabika Perpaduan ditutup sepanjang tempoh PKP

PUTRAJAYA, 19 JAN: Semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 susulan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan penutupan itu mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) Sabtu lalu serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.

Susulan itu, katanya, bermula esok semua murid Tabika Perpaduan Tahun 2021 akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan medium komunikasi secara dalam talian.

“Langkah tersebut bertujuan membantu mencegah penularan wabak Covid-19 di samping memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan,” menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

KPM sebelum ini mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok manakala pelajar sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai esok.

Kemas semalam mengumumkan sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dan akan digantikan dengan kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah).

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 hingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak.

PKP juga dilaksanakan di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

280 pelajar tabika perpaduan dirai dalam majlis konvokesyen

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 14 NOV: Seramai 280 pelajar dirai pada Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan daerah Gombak di Ivory One Hall, Country Homes Rawang, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Konvokesyen itu bertujuan meraikan kejayaan kanak-kanak berusia enam tahun dari 21 Tabika Perpaduan daerah Gombak, yang berjaya menamatkan pempelajaran.

Antara terbabit pada sidang pertama adalah Tabika Perpaduan Taman Tun Teja A; Tabika Perpaduan Kampung Matang Pagar; Tabika Perpaduan Taman Sri Gombak; Tabika Perpaduan Kampung Baru Sungai Bakau dan Tabika Perpaduan Bersatu A.

Manakala, sidang kedua membabitkan Tabika Perpaduan Pangsapuri Nuri; Tabika Perpaduan Kampung Laksamana; Tabika Perpaduan Prima Selayang; Tabika Perpaduan PKKN B dan Tabika Perpaduan Kaampung Wira Damai.

Sidang ketiga pula membabitkan Tabika Perpaduan PKKN; Tabika Perpaduan Pangsapuri Birchwood; Tabika Perpaduan Taman Selayang Mulia; Tabika Perpaduan Kampung Melayu Sri Gombak dan Tabika Perpaduan Pangsapuri Palma.

Sementara itu, persidangan keempat membabitkan Tabika Perpaduan Puteri Heights; Tabika Perpaduan Bersatu B; Tabika Perpaduan Taman Sri Gombak B; Tabika Perpaduan Taman Sri Gombak B; Tabika Perpaduan Taman Sri Gombak A; Tabika Perpaduan Kampung Sri Indah dan Tabika Perpaduan Kampung Laksamana B.

Majlis turut diselitkan dengan persembahan teater muzikal; membaca keratan akhbar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta persembahan lakonan daripada pelajar tabika terbabit.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

ADN Dengkil puji program Tabika Perpaduan cetus kreativiti

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 SEPT Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah memuji program Pintar Kreatif yang dilaksanakan Tabika Perpaduan daerah Sepang yang berupaya mencungkil bakat dan kreativiti golongan kanak-kanak.

Beliau berkata, anak-anak merupakan pemimpin masa depan yang akan menjadi pelapis untuk memimpin negara pada masa akan datang.

“Menerusi penganjuran program seperti ini, kita dapat mencungkil bakat mereka sekali gus mendedahkan kepada pengalaman yang sangat berharga.

“Saya tertarik dengan pelbagai persembahan dan pertandingan yang dianjurkan dalam program ini yang mampu mencungkil bakat golongan kanak-kanak untuk lebih kreatif dan mengelakkan mereka daripada terus leka terhadap gajet,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan daerah Sepang, di sini, pada 20 September lalu.

Adhif Syan berkata, pada masa kini kebanyakan anak-anak lalai dengan gajet yang boleh membantutkan pemikiran kreatif mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk anak-anak didedahkan dengan pelbagai stimulasi positif seperti bermain, bergaul dan berinteraksi dengan rakan sebaya, ibu bapa dan guru.

“Malah, sokongan daripada ibu bapa juga amat penting bagi memastikan perkembangan anak-anak di landasan yang betul. Walaupun kita sudah menghantar anak-anak ke Tabika Perpaduan, namun tanggungjawab mendidik dan membimbing masih lagi di bahu ibu bapa dan seharusnya tidak dipikul oleh guru sahaja,” katanya.

Sementara itu, Adhif Syan turut memuji silibus pendidikan di Tabika Perpaduan yang mematuhi garis panduan pendidikan awal kanak-kanak yang memudahkan mereka mengorak langkah mendapatkan pendidikan formal di sekolah kebangsaan pada tahap seterusnya.

Katanya, penganjuran pertandingan seperti itu adalah salah satu strategi untuk melahirkan anak-anak yang petah berkata-kata, menanam jati diri positif dan seterusnya penting bekerja dalam berkumpulan.

Antara pengisian program, peserta yang terdiri daripada pelajar Tabika Perpaduan perlu membaca artikel Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Pertandingan Fesyen menggunakan bahan terbuang serta pertandingan koir.