Categories
AGENDA

Tabika, kolam pancing dibenar operasi di negeri fasa dua PPN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda dibenar beroperasi di negeri fasa satu dan dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana menteri menerusi kenyataan berkata aktiviti kolam mancing juga diberi kelonggaran yang sama dengan syarat operator dan petugas terlibat telah lengkap dua dos vaksin.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, negeri yang beralih ke fasa dua pula membenarkan operasi sektor swasta sehingga 100 peratus sekiranya pekerja mereka telah lengkap 80 peratus vaksin.

“Operasi kolam pancing di fasa satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah yang sama manakala operasi kolam pancing di fasa dua bermula 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama.

“Selain itu, semua pejabat swasta dibenar beroperasi dengan kapasiti 60 peratus sekiranya 40 pekerja telah lengkap vaksin serta kapasiti 80 peratus sekiranya 60 peratus pekerja telah lengkap vaksin,” katanya.

Berikut kebenaran operasi mengikut fasa PPN:

1. Negeri fasa satu sahaja

– Pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak
projek pembinaan infrastruktur awam yang utama dan kerja pembinaan bangunan serta premis industri/perkhidmatan perlu
– Penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses
Mineral
– Pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir
– Pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara
– Perladangan berasaskan kayu dan kenaf
– Jenis perniagaan lain:
a. Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi;
b. Kedai barangan terpakai;
c. Kedai bunga/ nurseri;
d. Kedai kraftangan dan cenderahati;
e. Kedai antik;
f. Kedai alat permainan;
g. Kedai permaidani;
h. Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif;
i. Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan
lain-lain);
j. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;
k. Kedai tembakau (termasuk vape/rokok elektronik).

2. Negeri fasa dua sahaja

– Kebenaran operasi Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat
– Kebenaran operasi kilang perabot

3. Negeri fasa dua dan tiga sahaja

– Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal secara terbuka (outdoor) dan tertutup
(indoor)
– Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal
(bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain)
– Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya secara berkumpulan di kawasan sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang
– Aktiviti sektor Pengurusan Perhutanan
merangkumi Pengusahasilan Hutan (Pembalakan); Pengusahasilan Hutan (Hasil hutan bukan kayu); Perladangan hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK); dan Pembangunan hutan

4. Negeri fasa dua, tiga dan empat:

– Mesyuarat sahaja secara bersemuka

5. Kelonggaran setiap fasa

– Aktiviti ziarah kubur Islam dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
– Aktiviti ziarah kubur selain Islam mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
– Kapal persiaran dibuka dengan 50 peratus kapasiti

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabika, taska Kemas mula operasi 1 Mac

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mula beroperasi 1 Mac ini termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan pengumuman pengoperasian semula semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara bersemuka yang melibatkan murid-murid prasekolah, tahun 1 dan tahun 2 yang akan bermula pada tarikh tersebut.

“Pembukaan operasi tabika dan taska adalah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui antara Jabatan Kemajuan Masyarakat, KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kemas berharap ibu bapa tidak khuatir untuk menghantar anak-anak mereka kerana 10,517 pendidik masyarakat tabika dan 1,790 pendidik masyarakat taska Kemas diberi panduan berkaitan pematuhan SOP yang dikeluarkan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabika, taska Kemas di zon merah ditutup

TASEK GELUGOR, 3 OKT: Semua taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berada dalam zon merah Covid-19 di seluruh negara kini ditutup, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan murid dan petugas.

“Setakat ini, sebanyak 281 tabika dan sembilan taska di Kedah, Terengganu dan Sabah membabitkan 6,699 murid telah ditutup… namun kami jangkakan mungkin akan ada lagi (tabika dan taska) di zon merah di negeri lain yang akan ditutup,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku hari ini.

Menurutnya penutupan itu adalah sehingga mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada KKM.

Program anjuran Kemas itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, Mohamad Yazid berkata sejak beroperasi semula, tabika dan taska Kemas mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk membenarkan hanya 30 hingga 50 peratus kehadiran pada setiap hari bergantung pada keluasan kelas.

“Mereka datang ke kelas secara bergilir contohnya jika A datang hari ini esok dia tidak hadir kerana bagi memberi peluang murid B pula hadir.

“Kelas kami juga memang mematuhi SOP ditetapkan malah disanitasi setiap hari oleh petugas Kemas,” katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 11,900 kelas membabitkan 220,000 murid tabika dan taska Kemas di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa batal cadangan tabika elit, elak perpaduan retak

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Persekutuan digesa menolak cadangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) elit kerana ia melebarkan kesenjangan di antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan tinggi (T20) yang boleh meretakkan perpaduan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tabika elit tersebut bertentangan dengan aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak.

“Aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak dipelopori sebelum ini dengan rancangan menggabungkan institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan satu jawatankuasa khas.

“Rancangan ini (penggabungan) dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada November 2018 bahawa Kabinet meluluskan pembentukan jawatankuasa khas yang berperanan mengawal selia secara bersepadu penubuhan dan operasi institusi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pendidikan awal kanak-kanak (ECD) penting kerana ia merupakan asas kritikal pembangunan dan kejayaan.

Wan Azizah berkata menurut WHO, wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitik beratkan kualiti persekitaran membina termasuk pendekatan hidup dan pendidikan melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat.

“WHO berpendapat Kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses saksama kanak-kanak kepada persekitaran berkualiti lagi membina,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Semai amalan kebersihan anak-anak sebelum prasekolah, tabika dibuka

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ibu bapa perlu menyemai kepentingan penjagaan kebersihan serta amalan jarak sosial kepada anak-anak sebelum prasekolah dan tabika dibuka semula dalam tempoh dua minggu lagi.

Apatah lagi anak-anak pastinya teruja bertemu kembali rakan yang ‘terpisah’ sejak kira-kira tiga bulan lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sebelum diteruskan dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan PKP Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun.

Meskipun tatacara operasi piawai (SOP) terperinci akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelak jangkitan Covid-19, ibu bapa seharusnya memainkan peranan membantu memudahkan tugas para guru untuk membiasakan anak-anak mengamalkan normal baharu di institusi pendidikan awal itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pembukaan semula semua prasekolah dan tabika bermula 1 Julai ini dengan SOP terperinci dijangka diumumkan KPM dalam masa terdekat.

Ia membabitkan 6,216 prasekolah di bawah KPM; 7,887 prasekolah swasta; 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata kanak-kanak yang diterap dengan penjagaan kebersihan akan mempraktikkan amalan tersebut.

“Di tadika memang sudah diajar aspek kebersihan dan anak-anak memang amalkan basuh tangan ikut langkah 20 saat.

“Jika ibu bapa turut bantu terapkan nilai yang sama di rumah, normal baharu akan jadi biasa dan risiko di tadika boleh diatasi kerana anak-anak dah biasa diterapkan dengan amalan kebersihan seperti cara basuh tangan untuk elak jangkitan virus.

“Jadi, mereka lebih mudah faham jika kita (guru) minta lakukan,” katanya kepada Bernama.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 8,494 kes positif Covid-19 dengan 121 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prasekolah, tabika dibuka mulai 1 Julai, ikut SOP – menteri kanan

SHAH ALAM, 15 JUN: Prasekolah dan tabika dibuka semula mulai 1 Julai ini selepas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membentangkan tatacara operasi piawai (SOP) hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas dan perincian operasi akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat.

“Mesyuarat Khas bersetuju pembukaan prasekolah dan tabika bermula 1 Julai 2020. SOP yang terperinci akan diumumkan oleh KPM,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya.

Secara kesluruhan terdapat 6,216 prasekolah di bawah KPM, 7,887 swasta, 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Operasi tabika dihentikan sejak 18 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

KPM sebelum ini turut mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan pada 24 Jun hadapan membabitkan pelajar tingkatan 5 dan 6 yang menghadapi peperiksaan utama.

Categories
NASIONAL

Polis tumpas geng pecah tabika

 

KEPALA BATAS, 4 Jun : Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah tabika dan rumah dikenali sebagai “Geng Tabika” selepas menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam operasi pencegahan jenayah minggu lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kejayaan itu adalah hasil Ops Cantas sepasukan polis dari cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kepala Batas pada 29 Mei lepas yang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun di kawasan Bakar Kapor, Penaga.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada tiga lagi rakan suspek termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang mana ketiga-tiga mereka bertindak sebagai pembeli barang-barang curi.

“Hasil soal siasat, keempat-empat suspek mengaku terlibat dalam kes pecah tabika dan pecah rumah di sekitar kawasan Kepala Batas dan Teluk Ayer Tawar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suspek menggunakan sebuah stor di Penaga untuk menyimpan barang curi.

Noorzainy berkata polis turut merampas beberapa televisyen LCD pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Proton Saga, radio jenama Panasonic, beg bimbit dan dua buah komputer riba dengan anggaran nilai rampasan melebih RM5,000.

Beliau percaya dengan tangkapan itu, polis telah menyelesaikan tiga kes pecah tabika dan rumah di sekitar Kepala Batas dan kesemua suspek telah direman tujuh hari bermula 31 Mei lepas.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Noorzainy berkata semasa melakukan Ops Khas Aidilfitri di kawasan Butterworth semalam, sepasukan polis menahan seorang lelaki yang memegang sebilah parang dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu mendapati suspek memiliki serbuk berwarna putih disyaki dadah dan dia telah dibawa ke Balai Polis Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat awal terhadap lelaki yang berusia 39 tahun dari Butterworth itu, polis telah berjaya merampas sebilah parang, 16 paket kecil lutsinar berisi dadah heroin, 10 paket kecil plastik lutsinar yang mengandungi syabu, dua telefon bimbit, seutas jam tangan dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan berjumlah RM11,000,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah dan dadah akan direman tujuh hari bermula dari tarikh tangkap. -BERNAMA

Kredit Foto Facebook IPD Seberang Perai Utara