Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

TH catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2020, disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

TH berkata pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang RM1 bilion atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya bagi tempoh Januari hingga 30 Jun, 2020.

“Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan sama pada 2019.

Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti RM1.86 bilion pada 30 Jun, 2020, katanya.

Sementara itu, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak pandemik Covid-19 berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan koronavirus.

“Impak besar dari wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara menjadi cabaran paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

“TH juga  mengambil langkah mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula, TH perlu menjadi lebih cekap dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” kata beliau.

Nik Mohd Hasyudeen berkata TH juga sedang membuat persediaan menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih mencabar pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji musim 1441H/2020M, termasuk menangani cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi pandemik itu.

Setakat 30 Jun, 2020, jumlah deposit meningkat kepada RM73.86 bilion berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember, 2019, dengan lebih 123,000 akaun simpanan baharu dibuka pada separuh pertama 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung Haji umum agih untung 3.05 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019.

Menurut kenyataan TH, ia melibatkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion iaitu RM1.2 billion lebih tinggi berbanding RM913 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Malah, prestasi kewangan yang semakin baik itu berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang menyumbang kepada pertumbuhan agihan kewangan pada 2019.

TH berkata ia berjaya memperoleh pendapatan pelaburan sebanyak RM3.3 bilion yang mana RM1.2 bilion daripadanya dijana pada suku keempat 2019.

“Secara keseluruhannya, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dengan pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM500 juta (15 peratus), RM500 juta, (15 peratus) dan RM400 juta (12 peratus),’’ katanya.

Selain itu, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil juga berjaya mengurangkan tekanan akibat ketidaktentuan pasaran saham yang antara lainnya disebabkan oleh perang dagangan di peringkat global.

Menurut TH, pada 31 Disember 2019, jumlah asetnya mencecah RM74.3 bilion manakala liabiliti berjumlah RM71.4 bilion yang menjadikan jumlah aset melebihi liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit).

Secara keseluruhan, TH juga berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus atau RM300 juta berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2018.

“Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira sebanyak RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis-majlis agama Islam negeri-negeri dan RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk semua jemaah haji,” katanya.

Menurut TH, ini juga membolehkan TH mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar RM22,900 untuk setiap jemaah Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 Hijrah lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata agihan keuntungan yang diisytiharkan itu adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

“Oleh yang demikian pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima serta golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

“TH membayar zakat bagi pihak pendeposit. Oleh yang demikian, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya,” kata beliau.

Melangkah ke hadapan, TH akan terus berusaha menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai lain, selain terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan.

Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.

Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan agihan keuntungan itu bermula 16 Mac, 2020 di kaunter-kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat atau menerusi ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Semakan juga boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang http://www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tumpu pelaburan strategik, jana pulangan stabil

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) bakal memberi tumpuan kepada pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan lebih stabil kepada pendeposit pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata langkah berkenaan diambil berikutan suasana pelaburan semasa yang semakin mencabar sama ada di dalam dan luar negara.

“Sekarang kita ada RM70 bilion deposit yang kita tadbir…apa yg kita buat sekarang adalah kita cuba labur dengan cara pulangan lebih stabil. Sebab itu kita (akan) labur lebih kepada aset berpendapatan tetap seperti sukuk, pelaburan dalam hartanah.

“(Pelaburan seperti) itu lebih banyak berbanding pelaburan dalam saham atau ekuiti. Saham atau ekuiti, di samping dapat dividen kita boleh dapat pulangan kalau ada peningkatan harga atau peningkatan modal,” katanya pada sidang media mengenai Halatuju TH, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen berkata, pelaburan saham dan ekuiti akan dihadkan kerana ia mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan aset tetap.

“Kita mentadbir aset, kita tidak semata-mata membeli dan simpan. Ada aset kita simpan jangka panjang, mungkin kerana mahu peroleh dividen pulangan daripada sukuk tapi ada juga yang kita labur untuk jangka masa sederhana, maknanya bila dapat keuntungan yang kita sasarkan kita boleh jual.

“Bila kita jual kita akan beli aset lain pula. Kadang-kadang di TH bila orang tanya berapa banyak kita jual orang lupa nak tanya selepas jual tu beli apa? Seolah-olahnya kerja kita jual aset sahaja. Tidak, kita jual dan kita labur balik atau kita beli aset lebih bagus,” jelasnya.

Menurutnya, TH mengamalkan konsep pelaburan kehadapan di mana institusi itu akan melihat terlebih dahulu setahun dua dari segi aspek suasana pelaburan dan kestabilan syarikat yang ingin dilabur.

“Kadang-kadang ada syarikat baik namun lama kelamaan mungkin sebab industri berubah kita kena jual sebelum nilai dia lebih rendah. (Proses) jual beli ni satu perkara biasa untuk institusi yang mentadbir aset seperti TH,” katanya.

Sementara itu, berkenaan dengan jangkaan hibah yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019, Nik Mohd Hasyudeen berkata beliau optimis, susulan pelan pelaburan strategik yang bakal dilaksanakan, di samping prestasi kewangan yang memberangsangkan pada suku ketiga.

“Dari segi prestasi (kewangan), saya dah umumkan setakat suku ketiga ini, Alhamdulilah kita di landasan betul. Kita positif, tahun ini pun tinggal tiga minggu lagi kita berdoa kita dapat tutup tahun ini dengan prestasi lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TH fokus enam aspek perkasa institusi

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) menumpukan enam fokus dengan keutamaan kepada kecekapan tadbir urus dan operasi bagi memperkasa institusi Islam itu ke arah lebih baik.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata agenda utama TH itu turut melibatkan pemerkasaan pentadbiran deposit, pengurusan haji, sumber manusia dan pengukuhan anak syarikat.

Katanya institusi itu juga akan berteraskan konsep persekitaran, sosial dan tadbir urus, yang menjadi asas portfolio pelaburan kini serta bakal menyumbang kepada prestasi yang lebih baik.

“Kadang kala kita hanya melihat TH dalam konteks jangka masa pendek dan sebab itu kita nak terus kukuhkan TH supaya bila anak cucu kita berinteraksi dengan TH, mereka akan mendapat perkhidmatan dan nikmat yang sama.

“Untuk menuju ke arah itu, kita fokus menjadikan TH sebuah institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus disebabkan TH adalah institusi yang mentadbir tabungan mereka yang hendak mengerjakan haji.

“Duit yang kita terima itu adalah berkaitan agama dan kita kena hormati tanggungjawab serta mandat itu,” katanya pada sidang media khas baru-baru ini.

Mengenai operasi haji, Nik Mohd Hasyudeen berkata TH sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan bagi memberikan keselesaan kepada jemaah, antaranya ‘post-mortem’ sebaik selesai musim haji bagi membolehkan institusi itu membuat perancangan awal untuk tahun akan datang.

Dari aspek sumber manusia, beliau berkata TH komited mengendalikan tadbir urus yang stabil dan mapan menerusi pelaburan sumber manusia seperti program ‘Profesional Mukmin’ yang memberikan latihan dan kursus bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kakitangan.

Selain itu, beliau berkata semua anak syarikat TH turut akan diselia dengan lebih terperinci bagi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan ekonomi halal, selain memastikan manfaat daripada hasil tabungan dapat disebarkan kepada rakyat.

“Satu daripada pelaburan kita yang penting dipanggil pelaburan strategik khususnya anak syarikat seperti Bank Islam, syarikat takaful, TH Plantations, TH Travel dan apa yang kami tekankan untuk masa hadapan adalah memperkukuh anak syarikat.

“Contohnya, Bank Islam sekarang lebih giat membantu perniagaan kecil dan sederhana kerana sektor itu penting untuk perkembangan ekonomi negara dan prestasi syarikat takaful juga agak membanggakan.

“Untuk itu kita perlu perluaskan jejak dalam sektor takaful supaya peniaga yang berurusan dalam dan luar negara melindungi harta mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akaun Wakalah TH berkuat kuasa 31 Disember

SHAH ALAM, 10 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) bakal melakukan peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

TH dalam kenyataan memaklumkan, peralihan itu bakal memberi lebih nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit tanpa menjejaskan sebarang kemudahan dan elaun sedia ada.

Katanya peralihan kepada kontrak Wakalah itu bagi menggantikan kontrak simpanan Wadiah Yad Dhamanah yang digunakan sebelum ini.

“Menerusi kontrak baharu, TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi aktiviti pelaburan dan operasi haji serta keuntungan yang dijana setiap tahun akan diagih kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH.

“TH sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan untuk manfaat pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, antara kelebihan menyimpan di TH adalah dijamin 100 peratus oleh kerajaan selaras Akta Tabung Haji 1995 selain zakat dibayar bagi pihak pendeposit.

“Pendeposit tidak perlu mengisi dokumen baharu dan boleh berurusan seperti biasa di mana-mana pejabat cawangan TH seluruh negara.

“TH ingin memaklumkan dengan mengekalkan deposit bersama TH selepas 31 Disember, pendeposit dianggap memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah ini,” katanya.

Terma dan syarakat akaun TH boleh dirujuk di pautan www.tabunghaji.gov.my/wakalah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai ekuiti domestik TH naik RM1.2 bilion sehingga September

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Nilai ekuiti domestik Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat RM1.12 bilion kepada RM7.8 bilion pada 27 Sept lepas berbanding RM6.36 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pelaburan TH tertumpu pada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan dan rekod dividen yang baik dan menjana pendapatan stabil serta patuh Syariah.

“Selain ekuiti, TH sedang giat mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap termasuk sukuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan tentang pendapatan TH sehingga Jun 2019, nilai saham dan harta yang telah dijual pada 2019 serta anggaran keuntungan sehingga Jun 2019.

Fuziah berkata setakat Jun tahun ini, TH telah menjual kira-kira RM1.21 bilion asset yang menjana keuntungan berjumlah RM61.6 juta.

Beliau berkata penjualan berkenaan membabitkan saham yang berjumlah RM803.9 juta dengan keuntungan sebanyak RM27.9 juta, ‘instrument’ kewangan RM405.3 juta yang menjana keuntungan sebanyak RM25.3 juta serta hartanah sebanyak RM10.4 juta dengan keuntungan berjumlah RM7.9 juta.

Sementara itu, Fuziah berkata Urusharta Jamaah Sdn.Bhd (UJSB) yang ditubuhkan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambil alih dari TH telah menjana keuntungan selepas lebih sembilan bulan mengambil alih aset tersebut daripada TH.

Katanya keuntungan itu diperoleh walaupun tanpa melakukan sebarang penjualan aset.

“Setakat ini, iaitu lebih sembilan bulan aset ini dipindahkan, belum ada jual beli dan aset itu tetap di situ dan sedang dipulihkan daripada pendapatan rendah kepada pendapat lebih tinggi.

“TH sudah tidak bertanggungawab, namun demi kepentingan awam dan kerana orang ramai ingin tahu dan takut aset TH ini bila dipindahkan (mungkin) dijual terus, saya maklumkan ini adalah tidak benar kerana TH mempunyai hak pertama untuk menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PAKATAN-Jeli) yang bertanyakan prestasi aset dan pelaburan yang diuruskan Syarikat tujuan khas (SPV) di bawah seliaan Kementerian Kewangan.

UJSB adalah SPV yang dimiliki penuh kerajaan bagi membantu proses pemulihan aset yang diambil alih daripada Lembaga TH pada akhir 2018 sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan TH.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700,000 akaun pendeposit TH tidak aktif

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Lebih 700,000 akaun pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM60.4 juta didapati tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai 2012 sehingga akhir Ogos lalu.

TH dalam kenyataan menasihatkan pendeposit terlibat mengaktifkan akaun masing-masing dengan membuat sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller; atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November ini akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif).

Namun, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant itu masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan Seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

“Setiap tahun, TH akan mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TH di 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencapaian TH: Malaysia bangga terima pujian antarabangsa 

SEPANG, 4 OGOS: Malaysia bangga menerima pujian dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam atas pencapaian Lembaga Tabung Haji (TH) yang menguruskan ibadah haji jemaah negara dengan baik, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika berucap pada majlis selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim haji 1440/2019 di Kompleks TH Sepang hari ini, Perdana Menteri berharap TH terus komited dalam meningkatkan tahap perkhidmatan.

“Ini termasuk dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jemaah haji Malaysia antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain kerana TH memberi khidmat layanan dan urusan haji dengan lebih teratur yang diuruskan dari awal hingga akhir.

Dr Mahathir turut berpesan kepada jemaah haji Malaysia supaya mengikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tahap kesihatan sentiasa baik untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna.

“Semasa di Tanah Suci nanti, doakanlah agar negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera. Hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut,” katanya.

Beliau difahamkan, sudah lebih 90 peratus jemaah haji Malaysia berada di Makkah sehingga hari ini dan tinggal beberapa sahaja lagi penerbangan.

Pada majlis hari ini, 483 jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.20 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tabung Haji sedia 60,000 pek makanan di Arafah, Mina

JEDDAH, 3 OGOS: Sebanyak 60,000 pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia ketika ibadah Masyair di Arafah dan Mina, minggu depan bagi memudahkan urusan penyediaan makanan, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata, penyediaan pek ‘makanan sedia dimakan’ itu hanya membabitkan tiga hidangan pada musim haji kali ini iaitu makan malam pada 9 Zulhijjah (10 Ogos) di Arafah serta dua hidangan di Mina, iaitu makan malam pada 12 Zulhijjah (13 Ogos) dan makan tengah hari pada 13 Zulhijjah (14 Ogos).

“Pada 9 Zulhijjah, semua jemaah akan dapatkan sajian ini, manakala bagi 12 dan 13 Zulhijjah kita sediakan (untuk) mereka yang membuat Nafar Thani iaitu kira-kira separuh daripada jemaah haji kita yang akan berada di Mina.

“Ini penambahbaikan kita cuba buat tahun ini, jika ia berjaya dan mendapat maklum balas yang baik daripada jemaah haji, petugas dan muassasah nanti, kita akan teruskan dengan meningkatkan jumlah sajian pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Saleh bersama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) serta kumpulan media Malaysia melakukan lawatan ke kilang ‘makanan sedia dimakan’ milik Taj Food yang membekalkan pek makanan untuk jemaah haji Malaysia.

Turut hadir, Pengerusi Taj Food Jameel Sulaiman Bondagji.

Syed Saleh berkata, pihaknya masih berbincang dengan muassasah dan kilang pengeluar makanan terlibat bagi menu sajian namun berdasarkan perbincangan awal, pada 9 Zulhijjah jemaah akan menikmati kari ayam, 12 Zulhijjah (ayam tikka masala) dan 13 Zulhijjah masih belum diputuskan.

Beliau berkata, pek makanan itu akan memudahkan operasi penyediaan makanan untuk jemaah haji kerana ia hanya perlu dipanaskan selama 10 minit tanpa perlu menyediakan dapur lengkap dengan petugas untuk memasak.

“Pek ini boleh bertahan sehingga dua tahun dan apabila dibuka boleh dimakan dalam tempoh dua jam, kita sudah uji rasa makanan disediakan ini, ia sedap dan baunya seperti makanan biasa, amat sesuai digunakan semasa di Arafah dan Mina nanti,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Jemaah: Kemudahan perubatan Tabung Haji kelas pertama

MAKKAH, 1 OGOS: Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang ditemui Bernama di sini menyifatkan kemudahan perubatan disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia adalah kelas pertama dan memberi beberapa cadangan menarik untuk menambah baik.

Seorang petugas sektor swasta Khushairi Ismail, 54, berkata dengan kemudahan perubatan lengkap disediakan itu, jemaah haji di sini tidak berasa risau kerana merasakan kemudahan perubatan sentiasa disediakan untuk mereka seperti di tanah air.

“Ini negara orang, saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukar hendak bawa semua alat perubatan, ubat dan juga petugas perubatan termasuk doktor dan jururawat datang ke sini, kemudian sediakan semua itu daripada kosong kepada sedia terima pesakit,” katanya kepada Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

TH mempunyai satu pusat rawatan utama di sini iaitu Pusat Rawatan TH Syisyah yang mempunyai 197 katil, sebuah klinik kecemasan di Abraj Janadriyah mempunyai 33 katil dan Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah mempunyai 37 katil, selain klinik kesihatan di setiap maktab penginapan jemaah.

Sharif Sarimin, 47, seorang lagi pekerja swasta berkata kemudahan ubat-ubatan di sini dilihat agak lengkap seperti klinik dan hospital di tanah air.

“Amat menarik saya lihat sebuah bangunan yang kebanyakannya hotel dijadikan klinik atau pusat rawatan, jemaah yang datang rasa selesa, tidak perlu bimbang datang sini, ubat semua ada,” katanya.

Sementara itu, Khushairi dan Sharif juga sependapat mencadangkan pihak TH menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak dan syarikat di sini bagi menyediakan kemudahan kesihatan alternatif seperti urutan dan akupuntur untuk jemaah haji.

Khushairi turut menyarankan agar kemudahan kesihatan alternatif itu sekiranya ditawarkan, dikenakan bayaran berpatutan kepada jemaah agar tidak membebankan pihak TH.

“Bagi saya ramai jemaah haji yang mahukan perkhidmatan ini dan sanggup membayar dengan harga berpatutan. Sakit kaki, pinggang dan otot selalu dialami jemaah di sini jadi saya lihat ia lebih kepada membantu jemaah,” katanya.

Sharif berkata keperluan logistik untuk menyediakan sebuah pusat kemudahan kesihatan alternatif itu sememangnya amat sukar, namun beliau mencadangkan untuk menyediakan kemudahan ringkas seperti barisan kerusi urut di lobi maktab penginapan dan mesin layan diri kesihatan lain.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Rancang tunai haji pada usia muda

MAKKAH, 1 OGOS: Generasi muda Malaysia dinasihatkan mula merancang untuk menunaikan fardu haji seawal mungkin bagi melancarkan dan memudahkan urusan mereka apabila tiba giliran dijemput sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah kelak.

Ketua Pakar Rujuk Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz berkata, persepsi bahawa ibadah haji untuk golongan lanjut usia adalah tidak benar sama sekali kerana tiada batas usia dalam syarat wajib mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Mungkin terjadi secara kebetulan (jemaah haji lanjut usia) kerana ibadah haji memerlukan masa yang panjang untuk bersedia dalam banyak perkara, jadi mulakan merancang pada usia muda. Kefarduan haji bukan ibadah untuk golongan tua sahaja.

“Bila syarat wajib haji antaranya mampu itu sudah dipenuhi, mungkin kemampuan dicapai umur 30-an atau 40-an atau ada yang 101 tahun, kita wajib tunaikan haji yang itu adalah ketentuan mengikut usaha kita sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadryiah di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Terdapat lima syarat wajib haji iaitu beragama Islam, berakal, baligh, merdeka dan mampu.

Wan Mohamad, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, berkata beberapa tahun kebelakangan ini dilihat terdapat penurunan dalam kalangan jemaah haji lanjut usia dari Malaysia dan peningkatan jemaah haji dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata generasi muda dilihat lebih dominan dalam kalangan jemaah negara luar mungkin atas sebab beberapa skim mengerjakan haji diperkenalkan institusi kewangan negara mereka bagi merangsang lebih banyak golongan muda mengerjakan haji.

“Generasi muda nasihat saya tanamkan rasa rindu kepada Tanah Suci ini, jadikan usaha merancang dari mula untuk mengerjakan haji ini sebagai sebuah jihad tanpa pertempuran, sebuah jihad untuk Allah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Simpan Tabung Haji, jangan keluar-keluar

MAKKAH, 29 JULAI: “Masuk Tabung Haji bah, jangan keluar-keluar sudah,” pesan Abdullah Ralmastan, jemaah haji dari Tawau, Sabah apabila ditanya cara beliau dan isteri, Ludia Salleh menyimpan wang untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Abdullah, 61, seorang pesara polis, berkata menyimpan untuk mengerjakan haji memerlukan disiplin yang tersendiri dan amat berlainan daripada cara menyimpan wang simpanan untuk masa hadapan atau hari-hari memerlukan.

“Duit yang kita simpan itu kita anggap bukan duit kita sendiri, duit itu suatu pengorbanan untuk kita melaksana suruhan Allah. Tetapkan niat dan berdoa selalu kepada Allah, ini duit untuk pengorbanan aku pergi haji, mohon pada Allah cukup semua.

“Saya tahu bukan senang kerana kita sentiasa mahu guna wang untuk keluarga dan macam-macam, tetapi jika tetapkan niat Allah akan tolong kita, tetapkan hati masuk jangan keluar-keluar sudah,” katanya kepada Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Abdullah berkata beliau dan isterinya, Ludia, 58, mula menyimpan di Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2003 dan menasihatkan golongan muda di tanah air supaya mula menyimpan pada usia muda.

Ditanya tentang perjalanan ibadah dan kehidupannya di sini, beliau berkata sememangnya persekitaran di sini amat berbeza dengan tempat tinggalnya di Tawau, namun TH serta jemaah haji lain banyak membantunya dalam menyesuaikan diri.

“Ada sedikit terkejut tetapi saya dan isteri amat gembira di sini, Tabung Haji amat membantu kami dengan makanan pun bagus, perkhidmatan semua bagus. Arahan dimaklumkan kepada jemaah oleh Tabung Haji pastikan keselamatan dan kita selesa.

“Jauh dari rumah di Sabah memang rindu sama anak-anak semua, tetapi di sini segala-gala rahmat, kita sendiri rasa atas diri kita sendiri. Anak-anak dan keluarga di Sabah jangan risau, kami baik saja di sini,” katanya yang mempunyai empat orang anak berusia 23 hingga 42 tahun.

-BERNAMA