Categories
AGENDA NASIONAL

Status terkini Tabung Harapan antara tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Isu status terkini Tabung Harapan yang diwujudkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kepada Menteri Kewangan.

Ahmad Fadhli ingin tahu ke manakah wang itu disalurkan.

Dalam sesi sama, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) akan bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi mengenai status yuran pengajian semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi penuntut IPT awam dan swasta yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Azizah turut bertanyakan adakah kementerian mempunyai inisiatif berkaitan sistem pembelajaran dalam talian bagi pelajar IPT yang tinggal di luar bandar dan memerlukan capaian Internet.

Selain itu, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah terkini kementerian dalam membasmi penyebaran maklumat tidak sahih dan palsu yang semakin meningkat sehingga boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan rakyat.

Usai sesi itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dikemukakan Kementerian Dalam Negeri untuk bacaan kali pertama.

Turut menarik perhatian ialah Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk, yang akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan oleh Ahli Parlimen, sebelum diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana Tabung Harapan RM205 juta lunas hutang 1MDB

PUTRAJAYA, 30 NOV: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), demikian menurut Kementerian Kewangan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kerajaan pada 28 November menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note).

“Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta. Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan komited membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, dengan bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak US$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020.

Guan Eng berkata, hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

“Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.

Kementerian Kewangan pada 7 Februari lalu telah memaklumkan bahawa baki akhir THM sehingga 14 Januari lepas iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202.71 juta dan selanjutnya faedah pelaburan sebanyak RM2.77 juta telah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205.49 juta.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung Harapan capai lebih RM200 juta

SHAH ALAM 26 DIS: Kutipan Tabung Harapan mencapai jumlah lebih RM200 juta di minggu terakhir sebelum penutupannya 31 Disember ini.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan setakat jam 3 petang hari ini, sebanyak RM200,032,580.24 telah berjaya dikumpul oleh tabung tersebut.

Kementerian melalui Facebook rasminya mengucapkan terima kasih kepada penyumbang.

“Syabas rakyat Malaysia,” menurut status di media sosial itu.

Tabung Harapan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu untuk membantu negara melalui derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan amat hargai sumbangan rakyat kepada Tabung Harapan

PUTRAJAYA, 23 DIS: Menjelang penutupan rasmi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang berkuatkuasa pada 31 Disember 2018, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada inisiatif orang perseorangan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang diurus Jabatan Akauntan Negara.

Guan Eng berkata, jumlah terkumpul THM sehingga jam 9 pagi 23 Disember 2018 adalah sebanyak RM199,140,218.80.

“Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan THM pada 31 Disember 2018.

“Potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan THM untuk 2019,” katanya.

Menteri itu berkata, kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberi akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara.

“Walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion, jauh lebih besar berbanding hasil kutipan THM, kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini dan berharap agar semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya.

Jelasnya, kerajaan amat menghargai setiap sen yang didermakan yang menunjukkan rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu kerajaan melangsaikan hutang negara.

Guan Eng berkata, semangat yang ditunjukkan itu adalah simbol taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia yang perlu dikekalkan.

Menurutnya, kerajaan juga turut merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM.

Katanya, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luar juga dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM. Langkah itu adalah selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wang Tabung Harapan tiada kaitan dengan Belanjawan 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Wang Tabung Harapan tidak ada kaitan dengan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Sebaliknya beliau berkata, tabung berkenaan tidak mempunyai tujuan tertentu melainkan hanya membantu Kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

“Kerajaan akan gunakan duit berkenaan sebijak mungkin,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Pembentangan Belanjawan 2019, hari ini.

Melalui laman facebook rasmi Kementerian Kewangan, sehingga kini Tabung Harapan berjaya mengumpul sebanyak RM196,604,966.68 sejak mula dilancarkan pada 30 Mei lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tabung Harapan kutip RM3.4 juta Makan Malam Gabungan 18 Persatuan Klang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: Majlis Makan Malam Kempen Derma Tabung Harapan Malaysia yang dianjurkan Gabungan 18 Persatuan Klang berjaya mengutip RM3,479,100.

Kutipan itu diperolehi daripada 257 buah syarikat dan individu di Klang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sumbangan itu memberi makna yang besar kepada negara.

“Walaupun jumlah derma ini hanyalah RM3 juta iaitu jauh kecil berbanding hutang negara yang mencecah RM1 trilion namun apa yang penting adalah semangat rakyat membantu negara.

“Walaupun tiada paksaan tetapi mereka sanggup berkorban untuk membantu negara,” kata Mahathir pada majlis yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, malam tadi.

Mahathir turut melahirkan perasaan terharu dan kagum melihat semangat yang ditunjukkan rakyatm

Terdahulu, kempen derma yang dilancarkan Gabungan 18 Persatuan Klang mendapat sambutan pelbagai pihak.

Selain perseorangan, beberapa syarikat terkenal seperti Press Metal Berhad dengan sumbangan berjumlah RM1 juta dan pasar raya 99 Speedmart (RM100,000).

Categories
NASIONAL

Tiada arahan sekolah derma Tabung Harapan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 JULAI: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak pernah sesekali mengeluarkan arahan lisan mahupun bertulis kepada mana-mana sekolah, terutama di Kelantan untuk memberi sumbangan kepada Tabung Harapan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, kempen kutipan Tabung Harapan di sekolah seluruh negeri itu adalah inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

“Bagaimanapun, pelancaran kutipan tabung berkenaan sudah dibatalkan JPN Kelantan,” katanya.

Surat berkenaan pelancaran kempen kutipan Tabung Harapan oleh JPN Kelantan tular semalam dan mendapat kritikan pengguna media sosial.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia membuat inisiatif menyediakan Tabung Harapan bertujuan membayar hutang negara.

Categories
NASIONAL

Tabung Harapan kumpul RM88.3 juta

PUTRAJAYA 19 JUN: Lebih RM88.3 juta dikumpul melalui Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) sehingga jam 3 petang hari ini.

Jumlah sumbangan dimaklumkan Kementerian Kewangan menerusi laman web kementerian itu.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhannya membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452 dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia).

 

Categories
NASIONAL

Tabung Harapan Malaysia cecah RM74.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 JUN: Tabung Harapan Malaysia (THM) sudahpun mengumpulkan sebanyak RM74,695,510.12 setakat jam 3 petang semalam.

Jumlah tersebut berjaya dikumpulkan sejak dilancarkan pada 30 Mei lalu dan dimaklumkan melalui laman Facebook Kementerian Kewangan.

Penubuhan tabung itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang untuk membantu menangani masalah hutang negara yang kini berjumlah lebih RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka dalam bentuk wang ringgit menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, sumbangan derma yang disalurkan kepada THM akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

 

Categories
NASIONAL

Kutipan Tabung Harapan sudah cecah RM27 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JUN: Jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia kini sudah mencecah RM27 juta setakat jam 9.30 pagi tadi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, jumlah besar bagi kutipan tabung itu adalah inisiatif pendanaan masyarakat yang dilancarkan bagi membantu kerajaan melunaskan hutang.

Beliau berkata demikian pada satu majlis penerimaan derma ikhlas itu di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pada majlis sama, beliau turut menerima derma sumbangan bagi tabung itu masing-masing sejumlah RM1 juta daripada syarikat Ewein Berhad, Magni-Tech Industries Berhad dan Tan Sri Tan Kok Ping.

Sementara itu, Chow berkata, sejak penubuhan Tabung Harapan pada 31 Mei lalu, pelbagai pihak di negeri ini mula memberikan pandangan positif sekali gus ada yang bertanya perihal derma berkenaan.

“Dua hari lepas kita ada menerima derma daripada satu pertubuhan bernilai RM50,000 dan hari ini kita menerima sumbangan berjumlah RM3 juta,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji ketua menteri dan 10 anggota Exco untuk disalurkan kepada Tabung Harapan.