Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung khas pulih banjir Selangor terima sumbangan RM1.8 juta

SHAH ALAM, 31 DIS: Sebanyak RM1.8 juta diterima menerusi sumbangan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit siri kedua hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berkenaan daripada beberapa syarikat korporat dalam usaha membantu rakyat negeri ini yang terkesan banjir.

“Sumbangan ini kita akan gunakan untuk membantu kebajikan dan juga proses pemulihan banjir yang sedang giat dilakukan,” katanya selepas menerima dana berkenaan di Bangunan Annex hari ini.

Antara penyumbang ialah THC Sdn Bhd, WCT Holding Berhad, Nirvana Asia Group, Persekutuan Pekilang Malaysia Cawangan Selangor dan Kuala Lumpur serta Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Individu atau syarikat yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor Rujukan: Tabung Ikhtiar).

Isnin lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Kedah sumbang RM200,000, bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 27 DIS : Sebanyak RM200,000 disumbangkan kerajaan negeri Kedah menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi membantu mangsa banjir.

Menteri Besarnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sumbangan bertujuan membalas budi Selangor yang banyak membantu ketika bencana banjir lumpur di Yan akibat fenonema kepala air pada Ogos lalu.

“Nilai ini mungkin kecil jika dibandingkan dengan bencana besar melanda Selangor ketika ini tetapi kita tetap berusaha menunjukkan komitmen kebersamaan kita dengan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. Majlis itu dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya turut menghantar 500 sukarelawan termasuk jentera kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir sejak Sabtu.

“Kami berusaha sedaya upaya menyumbang aset dan tenaga kesukarelawanan turun padang bagi membantu mangsa banjir di Selangor,” katanya.

Setakat hari ini, sebanyak RM2.23 juta berjaya dikumpul menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit hasil sumbangan individu, syarikat dan kerajaan negeri.

Mereka yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref : Tabung Ikhtiar).

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan, Dato’ Menteri Besar menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung khas pemulihan banjir kumpul RM2.23 juta, sumbangan masih dibuka

SHAH ALAM, 27 DIS : Sejumlah RM2.23 juta dikumpul menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi membantu memulihkan kawasan terjejas akibat banjir setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberi sumbangan terdiri individu, syarikat serta kerajaan negeri Kedah dan Kelantan.

“Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menghulurkan sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini kita akan kembalikan kepada setiap keluarga dan individu memerlukan dalam negeri ini khususnya yang terjejas banjir. Insya-Allah setiap sen akan digunakan sebaiknya kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Amirudin sumbangan masih dialu-alukan dan dibuka sehingga selesai urusan pembersihan banjir di negeri ini.

Individu atau syarikat yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref : Tabung Ikhtiar).

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan,  Dato’ Menteri Besar menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung khas pemulihan banjir dilancar, MB sumbang sebulan gaji

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.

“Memetik kata-kata Winston Churchill, tiada apa yang mampu kami sumbangkan kecuali darah, keringat kerja keras dan air mata. Saya turut mengalu-alukan sumbangan swasta, korporat dan individu,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata sebanyak 453 jentera negeri dan persekutuan digerakkan bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Amirudin turut berterima kasih kepada 2,817 petugas hadapan seperti bomba, polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertugas di lapangan sejak Sabtu.

“Keutamaan Kerajaan Negeri ialah selamatkan nyawa, hulur bantuan di pusat pemindahan dan bersihkan kawasan rumah mangsa supaya mereka boleh balik.

“Kesemua agensi digerakkan secara teratur untuk Selangor bangkit daripada tragedi bencana yang tidak diduga ini,” katanya lagi.