Categories
AGENDA NASIONAL

Ambulans Palestin sumbangan Selangor diserah di Gaza esok

SHAH ALAM, 22 SEPT: Sebuah ambulans sumbangan Kerajaan Negeri hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza esok.

Pegawai Perhubungan Awam Global Peace Mission Malaysia (GPM) Salman Mohd Yusop berkata serahan akan dilakukan wakil GPM di sana pada jam 11 pagi waktu Palestin.

Menurutnya, kenderaan bernilai RM350,000 yang dibeli di negara itu turut dilengkapi alatan perubatan dan pelbagai jenis ubat yang dijangka mampu memudahkan urusan penghantaran pesakit ke hospital.

“Sumbangan ini juga atas permintaan kementerian kesihatan di sana kerana mereka kekurangan kenderaan tersebut akibat sering dibom musuh ketika peperangan berlaku.

“Kita harap ambulans sumbangan Kerajaan Selangor membantu mempercepat proses membawa pesakit ke hospital dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 25 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan disalurkan kepada GPM untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

Tabung tersebut dilancarkan untuk rakyat negara itu selama 10 hari sejak 19 Mei namun dilanjutkan kepada 31 Julai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain ambulans dan makanan, kutipan daripada tabung itu juga akan digunakan untuk membeli tiga buah trak bantuan, bahan bakar dan set generator.

Categories
AGENDA NASIONAL

Trak Selangor untuk Palestin diserah dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebuah trak bantuan dibeli hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dijangka diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Gaza, Palestin dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kenderaan pelbagai guna (MPV) berharga RM150,000 itu diubah suai bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan.

Menurutnya, dua lagi trak bantuan akan dibeli menggunakan dana kutipan fasa kedua dan penyerahannya dijangka dibuat bersama sebuah ambulans kepada pihak berkuasa.

“Trak tersebut akan diserah kepada NGO di lapangan yang menggunakannya untuk menghantar bantuan, membawa pesakit ke hospital dan murid ke sekolah.

“Ambulans pula kepada Kementerian Kesihatan Palestin, mungkin dua minggu lagi siap diubah suai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Fahmi berkata wakilnya telah menyerahkan kotak makanan serta perubatan bernilai RM40,000 kepada penduduk memerlukan yang termasuk dalam pakej bantuan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

“Kita akan salur lagi bantuan sama selain petrol bernilai RM50,000 untuk kegunaan menghidupkan generator di hospital,” katanya menjelaskan GPM sudah memohon baki kutipan tabung disalur kepada mereka.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kutipan tabung Palestin di peringkat akhir, hampir RM800,000 dikumpul

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin kini di peringkat akhir membabitkan kutipan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan swasta.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata setakat ini jumlah sumbangan dikumpul berjumlah RM780,000 dengan RM1 juta disasarkan.

Menurutnya, tabung itu dilancarkan ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak kekangan seperti tidak dapat membuat kutipan ramai ketika solat Jumaat.

“Jadi Kerajaan Negeri ambil langkah lain dengan mendekati syarikat swasta dan GLC, setakat ini RM350,000 daripada jumlah dikumpul sudah disalurkan bagi pembelian ambulans.

“Bagi baki kutipan RM250,000, kita akan minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melihat ruang ada untuk memastikan rancangan ini mencapai sasaran (RM1 juta),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata demikian ketika ditemui selepas melawat program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang terjejas berikutan pergolakan berlaku di negara berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor/.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sumbangan agensi, orang awam tingkat kutipan tabung Palestin hampir RM800,000

KLANG, 29 JULAI: Kerajaan Negeri mengutip sebanyak RM780,589.42 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sejak dilancar 19 Mei lepas.

EXCO agama Islam berkata kutipan itu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi, yayasan dan individu persendirian.

“Kutipan ini tidak melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan EXCO kerana pejabat ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini RM350,000 dihantar ke Palestin untuk membantu rakyat negara itu,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media di Surau An Naim, Taman Sri Andalas, Klang pada 28 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata pihaknya tidak bercadang melanjutkan tempoh kutipan tabung yang berakhir Sabtu ini.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta.

Hasil kutipan akan digunakan untuk membeli ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Trak (SELaid) dan pek makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tabung Palestin kutip hampir RM800,000, tempoh dilanjut hingga Sabtu ini

SHAH ALAM, 28 JULAI: Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin berjaya mengumpul hampir RM800,000 setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan sehubungan itu pihaknya melanjutkan tempoh kutipan sehingga Sabtu ini untuk menambah peruntukan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin berjaya mengumpulkan RM780,589.42 setakat 27 Julai lepas. Kutipan akan diteruskan sehingga 31 Julai bagi membantu dana bantuan berbentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna di Palestin.

“Semoga sumbangan dan bantuan ini diberi balasan yang baik olehNya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prhatin dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang terjejas berikutan pergolakan berlaku di negara berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sumbang lebih RM20,000 untuk tabung kemanusiaan Palestin

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyumbang sebanyak RM24,000 kepada Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin.

Manakala, Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain pula menghulur RM11,000 sebagai tanda solidariti kepada rakyat negara berkenaan.

“MPSepang prihatin dengan pergolakan berlaku di negara itu dan selaras dengan saranan Kerajaan Selangor kita setuju untuk menyumbang sedikit bantuan,” kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sejak 19 Mei dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan mereka.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM370,000 kutipan tabung Palestin beli ambulans, bantuan makanan

SHAH ALAM, 25 JUN: Kutipan RM370,000 daripada fasa pertama Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin akan mula disalurkan untuk membeli sebuah ambulans dan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata dana itu akan disalurkan Perbendaharaan Kewangan Negeri kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang menjalankan misi berkenaan.

 

Jelasnya, kempen tabung itu telah dilanjutkan sehingga 31 Julai susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kebanyakan penyumbang tidak dapat menjalankan transaksi ketika ini.

“Sasaran jumlah kutipan terkini menghampiri setengah juta (RM0.5 juta) manakala kutipan berjaya dikumpul berjumlah RM370,000,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, fasa seterusnya membabitkan bantuan pembelian tiga buah trak bantuan Selangor, bahan bakar, set generator dan bantuan makanan fasa dua.

Kerajaan Negeri melancarkan tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan lagi susulan PKP.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh membuatnya melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
EXCO SELANGOR

Kutipan tabung Palestin hampir RM500,000, dilanjut dua minggu lagi

SHAH ALAM, 15 JUN: Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang mengutip hampir RM500,000 akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tabung membantu rakyat Palestin yang dibuka sejak 19 Mei dilanjutkan bagi mencapai sasaran kutipan RM1 juta.

“Kita sedang kemaskini dengan agensi dan wakil rakyat yang janji beri sumbangan. Mereka maklum ada kekangan untuk buat keputusan sebab perlu had kakitangan di pejabat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kita beri kelonggaran lanjutan masa supaya mereka ada ruang beri kelulusan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui pada program Selangor Prihatin Asatizah di perkarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat untuk turut menyumbang sebagai tanda solidariti meskipun tiada lagi peperangan tercetus di wilayah bergolak itu.

“Kemusnahan yang berlaku mengakibatkan mereka tiada tempat berteduh dan hilang pekerjaan, malah pengangguran juga tinggi. Mereka bergantung penuh kepada bantuan antarabangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Kerajaan Negeri melancar tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan lagi susulan PKP.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kutipan tabung Palestin kini hampir cecah setengah juta ringgit

KLANG, 1 JUN: Kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dilancar pada 19 Mei bagi membantu rakyat Palestin kini hampir mencecah setengah juta ringgit.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran RM1 juta dalam tempoh terdekat.

“Tabung ini dilancar bertujuan pertamanya untuk membeli ambulans, kedua membeli kenderaan pelbagai guna dan ketiga bantuan bekalan makanan.

“Alhamdulillah setakat ini jumlah kutipan kita hampir setengah juta dan kita akan teruskan sehingga mencapai sasaran,” katanya ketika ditemui membuat tinjauan Saringan Komuniti di Dewan Sukan Klang di sini.

Katanya, kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin itu juga dibuat di pekarangan lokasi saringan.

Kerajaan Negeri melancar tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan dua minggu lagi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga suri rumah serah barang kemas RM30,000 untuk tabung Palestin

SHAH ALAM, 1 JUN: Tiga suri rumah menyumbangkan barang kemas bernilai hampir RM30,000 kepada Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu penduduk Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman Israel.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni terharu dan menyifatkan tindakan individu itu memberi inspirasi serta diharap menjadi teladan kepada masyarakat.

“Saya merasa sangat terharu apabila ada suri rumah yang menyumbangkan rantai leher dan gelang emas kesayangan mereka untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

“Jumlah nilai barangan tersebut dianggarkan hampir RM30,000. Tindakan tiga suri rumah tersebut sangat menginspirasikan dan diharap menjadi teladan kepada semua untuk berkorban,” katanya di Facebook.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu acara ringkas di Pejabat EXCO, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO ajak umat Islam salur derma bantu rakyat Palestin

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri mengajak umat Islam menyalurkan derma menerusi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata sasaran sumbangan RM1 juta itu bertujuan membeli ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Trak (SELaid) dan pek makanan.

“Kadar pengangguran di Palestin lebih 50 peratus susulan semua laluan pintu masuk kini dikawal ketat Israel. Mereka hanya bergantung harap bantuan antarabangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Selangor tampil membantu mereka. Sumbangan RM10 mungkin kecil bagi anda tetapi besar maknanya buat mereka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi kenyataan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Pada masa sama, pengurusan Media Selangor turut mewujudkan Tabung Cinta Palestin Media Selangor bagi meringankan beban mangsa kekejaman perang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Orang ramai digalak hulur sumbangan, bantu penduduk Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri menyeru orang ramai menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sebagai tanda solidariti terhadap umat Islam di Palestin.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu dapat membantu menjayakan misi pembelian ambulans yang dilengkapi kelengkapan perubatan.

“Krisis yang berlaku saudara seagama di Gaza harus diperjuang bersama dan saya percaya banyak tabung di Malaysia diwujudkan untuk bantu mereka.

“Justeru, saya menyeru penduduk Selangor khususnya untuk bersama menggerakkan tabung kemanusiaan dengan tujuan membeli ambulans membawa mangsa keganasan Zionis dan pembelian barangan kelengkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Peduli Palestin yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Forum itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammala turut serta.

Sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri melancarkan tabung itu dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.