Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk mula tadah air, pastikan bekalan mencukupi

KUALA LANGAT, 11 OKT: Sebagai persediaan menghadapi proses penyenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) menjelang Rabu ini, orang ramai mula menadah bekalan air untuk kegunaan sepanjang tempoh tersebut nanti.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Permatang Pasir di sini Abd Razak Ramli, 35, berkata, beliau bersama ahli keluarganya mula membuat persediaan setelah mendapat maklumat melalui media sosial Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Bapa lima anak itu berkata, beliau telah bertindak segera menadah air ke dalam tangki hitam dan tong kecil untuk kegunaan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya tahu kali ini (proses selenggara) mengambil sedikit masa berbanding kebiasaan. Jadi, saya perlu buat persiapan lebih rapi dengan menyediakan air secukupnya memandangkan mempunyai ahli keluarga yang ramai.

“Pihak terlibat buat kerja tersebut bukan suka-suka tetapi untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Abd Razak berkata penyelenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 diyakini dapat mengatasi masalah bekalan berlaku pada masa depan.

Sementara itu suri rumah, Saenah Abdul Majid, 58, yang tinggal di kampung sama menjelaskan, dia sekeluarga tidak bimbang kerana sering menyimpan bekalan air dalam tong biru setiap dua minggu sekali.

Namun sebagai langkah tambahan, nenek enam cucu itu berkata dia sudah menyediakan dua lagi tong penyimpanan air sebagai langkah persediaan.

Saenah Abd Majid, 58, menadah air sebagai persediaan menjelang tempoh kerja-kerja penyenggaraan aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Kampung Permatang Pasir, Banting pada 9 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Saenah turut menganggap kerja baik pulih aset air itu bakal memberi kebaikan kepada penduduk setempat dan seluruh rakyat negeri ini.

“Paling penting mereka (Air Selangor) beri notis makluman awal, sekurang-kurangnya kita boleh bersiap sedia simpan air untuk kegunaan harian seperti untuk mandi, memasak dan siram pokok,” katanya.

Sementara itu, peraih ikan Ong Lai Seng, 55, pula berkata dia telah membeli dua tong besar di sebuah kedai di pekan Banting kelmarin bagi menyimpan bekalan air.

“Pada awalnya saya terkejut juga (dimaklumkan kerja selenggara) sebab kawasan ini memang jarang berlaku gangguan untuk tempoh yang lama tetapi sebagai persediaan saya bertindak segera beli tong tersebut.

“Saya tiada masalah pun mereka (Air Selangor) buat kerja itu (selenggara). Lebih baik buat cepat-cepat kalau tidak kita (rakyat) akan sama-sama susah nanti,” katanya.

Ong Lai Seng, 55, menadah air untuk memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan harian sepanjang tempoh penyenggaraan aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Kampung Permatang Pasir, Banting pada 9 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 1 Oktober lepas, pihak Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai Rabu ini.

Ini susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di LRA SSP1 yang akan dilaksanakan pada pukul 9 pagi, 13 Oktober ini.

Kerja-kerja utama yang akan dilaksanakan antaranya penukaran tiga batang paip air tapisan bersaiz 1,200 milimeter (mm) diameter di lori rawatan air tersebut.

Sebanyak 105 lori tangki bakal digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh penyenggaraan itu.

Bekalan air mula disalur secara berperingkat mulai pukul 5 petang 14 Oktober dan ia dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.