Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan zakat RM500 kepada guru tahfiz diagih segera

SHAH ALAM, 3 SEPT: Lembaga Zakat Selangor meluluskan sebilangan permohonan guru pusat tahfiz untuk mendapat bantuan RM500 bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) berkata bantuan sekali bayar itu dijangka dimasukkan dalam akaun pemohon masa terdekat.

Menurut Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz, pihaknya berterima kasih kepada LZS kerana mempermudahkan proses permohonan itu dengan menyediakan pautan khas.

“Kita anggarkan 1,000 hingga 2,000 guru akan mendapat bantuan itu, kita harap mereka memohonnya segera.

“Bantuan pusat tahfiz pula akan diperincikan selepas kita menghantar cadangan kepada LZS esok (hari ini) yang membabitkan 101 permohonan,” katanya di sini, semalam.

Pada 18 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop mengumumkan bantuan RM500 setiap seorang kepada 1,000 guru tahfiz dan sumbangan RM1,500 bagi kesemua 250 buah tahfiz di Selangor bagi meringankan beban mereka.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada 250 pusat tahfiz di bawah Pitas untuk membayar kos utiliti dan sewa bangunan sepanjang perintah kawalan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS kumpul maklumat guru, pusat tahfiz terjejas, bantu secepat mungkin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan kepada 1,000 guru pusat tahfiz dan 250 institusi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) sedang mengumpul maklumat bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan.

Jelasnya LZS bersetuju membantu 1,000 pengajar dan 250 pusat tahfiz terbabit selepas perbincangan dengan PITAS pada minggu lalu berhubung masalah tunggakan yuran bulanan menyebabkan gaji sukar dibayar.

“Zakat Selangor tidak dapat menyelesaikan keseluruhan isu tetapi kami cuba meringankan beban dihadapi mereka,” katanya di Facebook semalam.

Hantaran Saipolyazan itu mendapat perhatian awam apabila beberapa pihak menghubunginya untuk memberi sumbangan.

“Seorang hamba Allah bercadang menyumbang RM10,000 kepada tahfiz, saya mohon beliau salurkan terus kepada PITAS,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada 250 pusat tahfiz di bawah Pitas untuk membayar kos utiliti dan sewa bangunan sepanjang perintah kawalan.

Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz berkata operasi pusat tahfiz terjejas berikutan ramai ibu bapa tidak mampu membayar yuran dalam tempoh tujuh bulan yang kini mencecah RM8 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LZS sumbang RM500 kepada guru, RM1,500 kepada pusat tahfiz

KLANG, 18 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi bantuan sebanyak RM500 setiap seorang kepada 1,000 guru tahfiz dan sumbangan RM1,500 bagi kesemua 250 buah tahfiz di Selangor dalam usaha membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu akan diberikan dalam masa terdekat menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli yang bermatlamat membantu institusi agama di negeri itu.

“Bantuan ini adalah sebagai permulaan, kita akan lihat keperluan lain yang diperlukan oleh mereka, insya-Allah dan bantuan ini diberikan secara sekali bayar,” katanya kepada media selepas Majlis Serahan Set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) Pengurusan Jenazah Covid-19 di Masjid Jamek Ar-Rahimiah,Klang hari ini.

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan sumbangan sebanyak 7,000 set PPE bernilai RM385,000 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad bagi kegunaan petugas pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

Saipolyazan berkata sumbangan tersebut adalah untuk memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sekali gus menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Sumbangan PPE tersebut meliputi kelengkapan sut PPE, sarung penutup kasut but, sarung penutup kepala, pelitup muka N95, apron, tudung penutup kepala, sarung tangan getah, pelindung muka dan cecair sanitasi yang akan digunakan oleh petugas pengurusan jenazah.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tragedi kebakaran tahfiz: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 individu

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tetap jalankan saringan di tahfiz, madrasah tidak berdaftar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tetap menjalankan saringan Covid-19 kepada pelajar dan kakitangan tahfiz atau madrasah yang tidak berdaftar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kementerian itu mengalu-alukan institusi itu untuk berdaftar dengan majlis agama.

“Sama ada tahfiz atau madrasah itu daftar atau tidak kita tetap mengambil pendekatan jalankan saringan Covid-19 secara berperingkat kepada mereka semua.

“Namun, tahfiz dan madrasah yang tidak berdaftar digalakkan untuk daftar kerana ia memudahkan KKM untuk mengetengahkan beberapa syarat yang perlu mereka patuhi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Namun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Sekolah, tahfiz dibenar buka ikut sesi persekolahan

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar dibuka semula mengikut tarikh pembukaan sesi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah selain pelajar tingkatan lima dan enam termasuk tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipatuhi dalam tempoh terdekat.

“Jika sekolah diumum dibuka, maka tarikh sama boleh beroperasi. Saya percaya, KPM akan umum mengenai tarikh permulaan sekolah selain calon Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Bagaimanapun, sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan mematuhi SOP. Bagi sekolah dan madrasah tahfiz berasrama mereka perlu mengikut SOP di sekolah berasrama,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi sekolah dan madrasah tahfiz tidak berdaftar, pengurusan perlu membuat permohonan untuk beroperasi daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Pada masa sama, saya menggalakkan supaya mendaftarkan sekolah dan madrasah tahfiz mereka,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP Kesihatan: Kebolehjangkitan Covid-19 warga tahfiz sekitar 4.1 peratus

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga tahfiz sekitar 4.1 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, hasil saringan dan ujian pengesanan Covid-19 membabitkan 17,477 sampel di 429 pusat tahfiz di seluruh negara setakat ini mendapati hanya 718 kes positif.

Mengulangi nasihat agar masyarakat tidak memberikan stigma negatif berhubung penularan wabak dalam kalangan pelajar tahfiz, beliau berkata sekolah atau pelajar tahfiz adalah satu daripada kumpulan sasaran yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita kenal pasti saringan membawa kepada 4.1 peratus kadar jangkitan. Kita bukan nak stigmakan mereka, tetapi kita nak pastikan mereka tiada virus itu.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 12 Jun 2020. Foto BERNAMA

“Ini kerana 120 pusat sekolah tahfiz dikunjungi oleh jemaah tabligh (kluster Sri Petaling),” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 semalam.

Kluster Sri Petaling yang terdiri daripada jemaah tabligh dan mencetuskan gelombang kedua Covid-19 negara adalah kluster terbesar serta menjangkiti lima generasi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menafikan maklumat yang tular di Facebook mengenai seorang kanak-kanak dari Kampung Huma, Alor Setar, Kedah didakwa positif Covid-19 selepas dijangkiti oleh saudaranya yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melalui Facebook rasminya turut menafikan perkara tersebut.

Berhubung keselamatan makanan, Dr Noor Hisham berkata tiada laporan bahawa Covid-19 boleh disebarkan melalui pengambilan makanan.

“Setakat ini, tiada isu berkaitan ikan kerana apabila kita masak, kita tidak gusar dengan jangkitan virus kerana haba panas masakan membunuh virus berkenaan.

“Saya rasa tiada laporan berhubung jangkitan menerusi pengambilan makanan, yang lebih penting ialah kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan terus mengekalkan kebersihan diri,” katanya.

Mengenai pemantauan larangan merokok, Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa memantau perkara itu.

“Tetapi apa yang KKM perlukan ialah kerjasama daripada rakyat Malaysia dan tuan kedai untuk pastikan pengunjung tidak merokok di restoran,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB gesa pusat tahfiz ambil langkah keselamatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Dato’ Menteri Besar menggesa supaya semua pusat tahfiz di negeri ini mengambil langkah keselamatan sebaiknya.

Amirudin Shari berkata, beliau tidak mahu kes membabitkan kemalangan seperti kebakaran ataupun tanah runtuh kembali berulang.

“Tidak dinafikan kes kebakaran sebelum ini berlaku disebabkan khianat, namun pengurusan pusat maahad tahfiz dinasihatkan supaya membuat pemantauan berterusan.

“Ini kerana kita mahu institusi ini sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan negeri serta diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Zakat Telekom Malaysia (TM) kepada Dato’ Menteri Besar bertempat di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al Habbah, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden TM, Dato’ Zuraidah Mohd Said.

Pada majlis yang sama, TM Selangor turut menyerahkan sumbangan duit raya dan cendemata kepada 82 pelajar tahfiz.

Amirudin berkata, beliau gembira apabila syarikat gergasi negara seperti TM menghulurkan bantuan zakat kepada pusat tahfiz di negeri ini.

“Sumbangan oleh TM ini boleh membantu melengkapkan lagi pembangunan institusi tahfiz ini.

“Usaha mereka untuk berkongsi kekayaan dan hasil pendapatan kepada masyarakat sekali gus dapat menggerakkan kejayaan institusi ini bersama-sama,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tutup sekolah tahfiz tidak berdaftar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri mengambil perhatian titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam (JAIS) ditutup dan ditamatkan perkhidmatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudn Shari berkata, Kerajaan Negeri sudah menjalankan operasi pendaftaran sekolah tahfiz swasta sejak dua tahun lalu ketika di bawah pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan kerjasama JAIS serta Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

“Kita belum mengambil tindakan menutup sebab dua tahun kebelakangan ini saya bersama Dato’ Seri Mohamd Azmin ketika menjadi Dato’ Menteri Besar mengarahkan semua sekolah tahfiz untuk mendaftar dan kita bekerjasama dengan PITAS serta JAIS untuk mendaftarkan operasi mereka.

“Kerajaan Negeri turut menjadi pemudahcara untuk pengusaha sekolah tahfiz mendaftarkan bangunan mereka supaya mempunyai aspek keselamatan terutama kecemasan ketika kebakaran supaya mereka memenuhi kemudahan ditetapkan. Sekarang, kita sudah daftarkan lebih 200 sekolah tahfiz dan bakinya tidak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019.

Katanya, hanya sedikit sekolah tahfiz yang belum berdaftar kerana tidak mampu memenuhi kriteria ditetapkan, namun mereka masih mempunyai peluang terakhir untuk melengkapkannya.

“Kita akan ambil tindakan seperti titah tuanku serta memberikan peluang terakhir satu atau dua bulan kepada mereka untuk melengkapkan kriteria sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Isunya bukan kita nak halang (operasi). Kita nak pastikan mereka mempunyai ko-kurikulum sempurna selain kemudahan yang tidak membahayakan kerana sebelum ini berlakunya kejadian kebakaran dan tanah runtuh disebabkan ketiadaan kemudahan lengkap,” katanya.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya turut mengarahkan penutupan sekolah swasta tahfiz yang tidak mempunyai ko-kurikulum dan sistem pendidikan moden.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pendidikan tahfiz tarik minat ramai ibu bapa dan pelajar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Pendidikan tahfiz di Selangor berjaya menarik minat ramai ibu bapa dan pelajar, dari negeri itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.94 juta bagi kos tuisyen iaitu elaun penceramah dan bahan rujukan pelajar ditanggung Kerajaan Negeri.

“Sesi pembelajaran yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad selama setahun bermula Januari dan berakhir, pada Oktober.

“Selepas itu, murid akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di pusat peperiksaan yang berdaftar, pada tahun sama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Selangor ke-14, di Bangunan DNS, hari ini.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Sultan Sharafuddin arah sekolah swasta tahfiz tidak berdaftar ditutup

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam (JAIS) ditutup dan ditamatkan perkhidmatan.

Pelajar Tahfiz sedang menghafal Al-Quran di Pusat Tahfiz Pandan Indah | HAFIZ OTHMAN

Baginda bertitah, tindakan sama juga perlu diambil terhadap sekolah swasta tahfiz yang tidak mempunyai ko-kurikulum dan sistem pendidikan moden.

“Pendidikan tahfiz di Selangor sudah menarik minat ramai ibu bapa dan pelajar.

“Beta menitahkan sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS dan tidak mempunyai ko-kurikulum serta sistem pendidikan akademik moden ditutup juga ditamatkan perkhidmatannya,” titah baginda.

Baginda bertitiah demikian sempena pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Sekolah tahfiz perlu dapat kelulusan, PBT boleh ambil tindakan jika tak berdaftar

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan terhadap premis sekolah tahfiz yang tidak mendaftar dengan mana-mana pejabat agama Islam negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh, memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa sekolah tahfiz yang berdaftar dengan pejabat agama perlu mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu untuk beroperasi.

“Jabatan agama tidak ada kuasa untuk menutup sekolah tahfiz sebab tidak ada dalam undang-undang. Tetapi, oleh kerana premis itu perlu berdaftar dengan PBT, maka mereka (PBT) ada kuasa untuk menutup premis sekolah tahfiz yang tidak berdaftar.

“Jadi, perlu kerjasama agensi lain dan jabatan agama Islam (negeri) supaya keselamatan sekolah tahfiz ini terjaga,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang meminta kementerian itu menyatakan langkah yang akan diambil untuk menjamin pusat pengajian maahad tahfiz di seluruh negara berdaftar dan terkawal daripada segi keselamatan bangunan, pengajar serta murid.

Fuziah berkata, sebanyak 815 sekolah tahfiz swasta berdaftar direkodkan oleh kementerian, manakala kementerian tidak mempunyai rekod bagi sekolah tahfiz tidak berdaftar, sehingga Oktober lalu.