Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian khas untuk kemasukan MRSM tingkatan satu, empat tahun depan

KUALA NERANG, 28 NOV: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan ujian khas untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi pelajar tingkatan satu dan empat tahun 2022, pada Disember depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi tingkatan satu dan empat itu, bermula 3 Dis bagi calon yang berada di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

“Manakala bagi calon dari negeri yang lain akan bermula pada 4 Dis 2021,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan buku bacaan dan topi keledar kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah-sekolah di bawah Parlimen Padang Terap, di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap hari ini.

Mahdzir berkata calon terlibat akan dipanggil menduduki ujian itu secara berperingkat sehingga 30 Jan tahun depan dengan semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak secara dalam talian bermula 10 pagi esok, melalui Portal Rasmi Mara serta akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang didaftarkan semasa permohonan.

Beliau berkata calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan itu nanti.

“Kesemua calon yang terlibat akan menduduki Ujian Khas ini di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 MRSM di seluruh Malaysia dan lapan buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) yang lain, di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Mahdzir berkata calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.

“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan, dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata Mara menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan satu manakala untuk tingkatan empat pula sebanyak 17,350 permohonan bagi sesi persekolahan tahun depan.

-BERNAMA