Categories
EXCO SELANGOR

Harapan EXCO untuk tahun baharu 2021 membuka tirai

Harapan tinggi seluruh anggota masyarakat mahu kesihatan dan rezeki berpanjangan. Pun begitu, perjuangan dalam menjalani kehidupan bernorma baharu wajar diteruskan dalam memastikan pandemik yang merampas kehidupan lazim benar-benar berakhir

=======================================================

Kepelbagaian agama dan budaya adalah asas kekuatan jika kita berhasrat membina sebuah negara yang dihormati dan disegani dalam semua bidang. Selamat menyambut tahun baharu 2021

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana

=======================================================

Diharapkan tahun 2021 memberi sinar dan harapan yang lebih cerah untuk kita. sentiasa berhemah dalam berbelanja dan berusaha meningkatkan simpanan kecemasan ibarat pepatah “sediakan payung sebelum hujan”

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan

=======================================================

Selamat datang 2021. Bersama kita mematuhi SOP agar pandemik Covid-19 cepat berakhir

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

=======================================================

2021 menjelang tiba, diharapkan segala urusan kita akan lancar dan dipermudahkan

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

=======================================================

Kedatangan 2021 sudah tentunya akan memberi cabaran baharu kepada seluruh rakyat Selangor. Dengan semangat tahun baharu marilah seluruh warga selangor mempertingkatkan keazaman untuk membawa kejayaan yang lebih tinggi. Amalkan budaya sihat, patuhi SOP

V Ganabatirau
EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja

======================================================

Selamat menyambut tahun baharu semoga tahun 2021 membawa sinar dan pembaharuan dalam hidup kita dan dipermudahkan segala urusan

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga

=======================================================

Semoga 2021 lebih baik untuk semua dan kita sentiasa hidup bersatu padu. Terus patuhi SOP agar kita semua segera bebas dari pandemik Covid-19

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli

==========================================================

Segala pengalaman yang kita harungi dengan tabah sepanjang 2020 pastinya akan menjadi pemangkin semangat untuk menempuh tahun baharu. Selamat tahun baharu 2021

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Modal Insan, Generasi Muda dan Sukan

============================================================

Marilah kita sama-sama berdoa agar jalinan ikatan sebagai rakyat Malaysia terus berkekalan dan saling hormat-menghormati demi kebaikan bersama

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan

===========================================================

Semoga 2021 memberi harapan baharu kepada kita bersama. Kekalkan tekad menjalani kehidupan dalam norma baharu demi keselamatan kita bersama

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

MB: Limpahkan nikmat sihat, makmur

Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Tahun Baharu 2021

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T, tuhan yang maha pengasih lagi maha
penyayang yang telah memberi kita kesempatan bernafas dan kekuatan untuk terus berjuang
meneruskan kehidupan sehingga saat ini.

Dalam keributan yang dibawa wabak Covid-19, saya mendoakan semua warga Selangor kekal dalam perlindungan Allah taala hendaknya.

Saya faham, kenaikan kes yang mendadak terutamanya dalam negeri yang kita cintai melahirkan rasa gelisah dan bimbang kepada kita semua. Tetapi kita harus tetap menjalankan kehidupan dan bekerja, menuntut ilmu serta bersosial dalam cara baharu yang mengikut tatacara operasi piawai (SOP) kerana akhirnya kita semua harus berperanan menjaga kesihatan kita sendiri.

Saya ambil maklum ramai antara kita yang sedang melalui saat-saat yang menggetirkan. Ada yang diberhentikan kerja. Ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan. Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri telah menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat yang kehilangan punca rezeki untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin yang pertama sehingga yang ketiga, beberapa langkah segera serta yang berjangka panjang telah diambil bagi meningkatkan kecekalan ekonomi rakyat. Beberapa cukai telah diberi penangguhan, sementara beberapa kelonggaran turut diberikan dan ditanggung kosnya oleh Kerajaan Negeri. Ini semua dalam rangka mengurangkan kesempitan yang dideritai rakyat saat ini.

Beberapa program baharu turut dirancang dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan serta keseluruhan aktiviti ‘job creation’. Antara yang utama adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1 ribu untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.

Lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan kemahiran baharu, pertingkat kemahiran dan latihan semula serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki dengan memanfaatkan bakat-bakat sedia ada.


Suasana di pusat pengumpulan sekitar e-kitchen Bangi di bawah dua platform iaitu Plats (Platform Selangor) & Grab. Sumber foto Bisnes Amal MBI FACEBOOK

Kerajaan Negeri turut secara agresif mempersiapkan beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina agar dapat sama-sama menyertai ekonomi gig dengan mengadakan E-Kitchen bersama Grab dan juga jualan dalam talian e-Bazaar bersama Shopee.

Turut dibantu adalah mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat-syarikat e-hailing tetapi tidak mempunyai lesen motor—kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

Untuk menggalakkan orang ramai turut sama dalam anjakan digitalisasi yang cuba diterapkan, Kerajaan Negeri tampil menawarkan beberapa inovasi baharu yang bakal mempermudah hidup.

Untuk para pemilik perniagaan PRODUTK, satu sistem urustadbir yang bakal mempersiapkan mereka ke arah IR4.0 akan diperkenalkan tidak lama lagi. Turut diwujudkan Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing semua anggota masyarakat agar lebih celik digital.

Ini semua penting agar kita semua lebih bersiap-siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan, terutamanya dalam situasi perebakan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Di sebalik penurunan penarafan Fitch rating serta keputusan beberapa syarikat gergasi luar seperti Tencent, Google, Amazon untuk tidak bertapak di Malaysia, Selangor akan terus menggembleng segenap usaha dalam menggalakkan sektor industri seperti fintech, pertanian moden malah perfileman dan permainan siber untuk terus berdaya saing dengan pelaburan
besar yang dipanggil Selangor Innovation Fund.

Geran berjumlah RM100 juta ini bakal memanfaatkan para pengusaha startup serta usahawan dan melimpahkan manfaat berantai dalam bentuk peluang pekerjaan dan lainlain kepada segenap masyarakat.

Untuk itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dollar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia.

Semoga lembaran baharu tahun 2021 akan memberi nikmat kesihatan dan kemakmuran untuk seluruh warga Selangor tanpa seorang pun yang tercicir atau tertinggal.

Kepada Allah kita panjatkan segala harapan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Lima strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kerajaan menggariskan lima keutamaan pada 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 bagi memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin, kata Perdana Menteri hari ini.

Memperincikan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

“Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ketiga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan dan keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’.

Muhyiddin berkata keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan berikhtiar untuk meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Jelasnya, pencegahan awal adalah penting dan beliau turut menegaskan bahawa tatcara operasi piawai (SOP) kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Menyentuh keutamaan kedua, Muhyiddin menjelaskan bagi memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, Belanjawan 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

“Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara,” katanya.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan orang kurang upaya sentiasa terbela.

Muhyiddin berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.

Mengenai keutamaan ketiga pula, Muhyiddin menyifatkan situasi politik negara sepanjang tahun ini mencabar dan memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap negara dan kerana itu persefahaman dalam kalangan rakan-rakan parti kerajaan Perikatan Nasional akan terus disemai dan dipupuk, manakala perbezaan akan diuruskan dengan teliti dan cermat.

“Adalah juga diharapkan pimpinan politik dapat menunjukkan sifat bertanggunggjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara,” katanya yang turut berharap pemimpin politik mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta mendengar kemahuan rakyat.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan serta integriti, justeru sistem pelaksanaan akan dipantau supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan.

“Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Bagi keutamaan keempat, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan keselamatan negara terbela dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperkukuh dan memasuki 2021, kerajaan memberi jaminan keselamatan negara dan rakyat sama ada secara fizikal atau maya di bawah radar pemantauan agensi-agensi keselamatan negara.

“Kawalan terhadap sempadan dan pintu-pintu masuk negara akan terus diperketatkan, manakala sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas. Kerajaan tidak berkompromi soal kedaulatan negara. Jenayah dalam talian seperti scammer yang makin berleluasa juga akan dipantau,” katanya.

Susulan pandemik Covid-19 telah merubah ‘the global order’, Muhyiddin berkata pada tahun depan, Malaysia memainkan peranan lebih aktif di pentas global, justeru membuka peluang untuk negara menonjolkan kepimpinan lebih dinamik di peringkat dunia.

Jelasnya sudah tiba Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara konsisten.

Bagi keutamaan kelima, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar dan terus menyemai api kebencian antara kaum dan agama apatah lagi menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Beliau berkata lima keutamaan kerajaan itu selari dengan visi jangka panjang yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil iktibar cabaran 2020, mantap ikhtiar hadapi 2021 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat mengambil iktibar daripada cabaran serta dugaan sepanjang 2020 akibat penularan Covid-19, dan mahu rakyat melangkah ke gerbang tahun baharu 2021 dengan semangat dan keazaman yang baharu.

“Untuk tahun baharu 2021 ini, saya ingin menyeru saudara dan saudari sekalian agar terus memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar kita untuk bersama-sama membendung pandemik Covid-19,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan di saluran televisyen malam ini.

Dengan penuh prihatin, pemimpin itu turut berkongsi tentang dugaan dan cabaran yang dihadapi rakyat sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara termasuk mereka yang kehilangan dan dibuang kerja serta terpaksa mengikat perut demi mengutamakan makanan untuk anak-anak dan pelbagai lagi kesulitan hidup.

Beliau berkata kerajaan sedang giat menjalankan segala usaha bagi memastikan rakyat selamat daripada ancaman virus ganas tersebut.

“Namun demikian, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman sepanjang tahun 2020 kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal,” katanya.

Perdana Menteri juga memberi jaminan kerajaan akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan-kepentingan lain dan soal kebajikan rakyat adalah keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Di sebalik pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 ini, kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang berteraskan prinsip prihatin telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial,” katanya.

Tegasnya, dasar itu bukan sekadar slogan tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan PN, sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bangkit menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa.

“Walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang tahun 2020, rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan yang cukup kental dan amat membanggakan. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.

Sambil mengingatkan rakyat agar terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dengan kelonggaran yang diberikan, Muhyiddin berharap 2021 akan membuka lembaran baharu rakyat terus bersatu-padu memulihkan semula negara termasuk dari segi kesihatan awam, sosioekonomi, perpaduan kaum dan integrasi nasional.

“Tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan mencabar, namun saya percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri.

“Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020, untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental,” katanya.

Kerajaan PN, juga katanya akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pelbagai inisiatif disusun tahun depan bantu rakyat terjejas

SHAH ALAM, 31 DIS: Dato’ Menteri Besar percaya ramai dalam kalangan rakyat melalui pelbagai kesukaran untuk meneruskan hidup sepanjang tahun ini ekoran jangkitan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menyedari hal itu Kerajaan Negeri menyusun banyak inisiatif bagi membantu golongan terkesan untuk bangkit kembali.

“Saya faham kenaikan kes mendadak di Selangor melahirkan rasa gelisah kepada kita tetapi kehidupan, bekerja, menuntut ilmu dan sosial tetap perlu diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin pertama sehingga ketiga menerusi Belanjawan Selangor 2021,” katanya dalam kenyataan perutusan tahun baharu 2021 hari ini.

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Beliau berkata antara program yang dirangka adalah Niaga Darul Ehsan (NaDi) iaitu pinjaman perniagaan serendah RM1,000 untuk rakyat memulakan perniagaan, Selangor Kerjaya dan Pekerja Sambilan Selangor bagi meraih pendapatan.

“Kerajaan Negeri turut secara agresif mempersiap beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina dapat bersama sertai gig ekonomi dengan mengadakan e-Dapur bersama Grab dan jualan dalam talian e-Bazar bersama Shopee.

Kerajaan Negeri mewujudkan e-Dapur Selangor menerusi Platform Selangor (Plats) dan e-panggilan Grab bagi membantu peniaga meneruskan perniagaan selepas bazar Ramadan dibatalkan susulan penularan Covid-19. Foto Facebook Amirudin Shari

“Tidak ketinggalan mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat e-panggilan tetapi tidak mempunyai lesen motor, kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride),” katanya.

Amirudin berkata dalam anjakan ke arah pendigitalan, Kerajaan Negeri menawarkan inovasi baharu seperti Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing masyarakat ke arah Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, katanya, program Bantuan Yuran Universiti (Bayu) dan Pusat Tuisyen Rakyat tetap diterus bagi memastikan anak muda tidak terjejas pengajian akibat pandemik.

“Ini semua penting agar kita semua lebih bersiap siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan, terutamanya dalam situasi perebakan Covid-19 yang masih belum reda,” jelasnya.

Amirudin Shari menampal pelekat Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) pada motosikal penerima inisiatif dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada masa sama, beliau berkata Selangor tetap berusaha menarik sektor industri seperti fintech, pertanian bandar, permainan siber untuk terus berdaya saing dengan pelaburan besar (Selangor Innovation Fund).

“Kerajaan Negeri berhasrat melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dolar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia.

“Semoga lembaran baharu tahun 2021 memberi nikmat kesihatan dan kemakmuran untuk seluruh warga Selangor tanpa seorang pun tercicir atau tertinggal, kepada Allah kita panjatkan segala harapan,” tambahnya.