Categories
AGENSI SELANGOR

Sewa serendah RM10, berbasikal antara tumpuan pengunjung Taman Botani

SHAH ALAM, 9 OKT: Berbasikal antara aktiviti kegemaran ramai ketika beriadah di Taman Botani Negara Shah Alam yang dibuka semula sejak kelmarin.

Tanpa perlu berbelanja besar, pengunjung hanya membayar sekitar RM10 ke RM20 untuk menyewa hampir 180 basikal pelbagai jenis yang disediakan.

Pengusahanya Nazrul Hazri Aziz berkata kesemua basikal berada dalam keadaan baik dan diselenggara meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Nazrul Hazri Aziz

Menurutnya, permintaan terhadap alatan itu tidak hanya tinggi pada hujung minggu tetapi turut mendapat sambutan pada hari bekerja.

“Saya menjangka pengunjung ramai pada hari minggu kerana pembukaan taman ini sentiasa ditunggu. Basikal lasak menjadi tumpuan kerana mudah digunakan di kawasan berbukit,” katanya ketika ditemui.

Selain berbasikal, orang ramai turut mengambil peluang berjoging, berjalan kaki dan mengunjungi Taman 1Malaysia, Taman Herba serta Taman Haiwan.

Taman Botani berkeluasan 817 hektar itu dibuka semula setelah ditutup sejak Jun akibat pandemik dengan hanya individu lengkap vaksin dibenarkan masuk.

Pengunjung juga dibenarkan membawa anak-anak berusia 18 tahun ke bawah dan diingatkan supaya mengimbas aplikasi MySejahtera serta mengemas kini status risiko masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taman Botani dibuka kepada pengunjung mulai hari ini

SHAH ALAM, 7 OKT: Taman Botani Negara di sini, yang ditutup sejak Jun lalu kembali dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Bagaimanapun hanya individu lengkap vaksin dibenarkan berkunjung ke taman itu selaras tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti pelancongan fasa tiga ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Individu lengkap vaksin dibenarkan membawa anak berusia bawah 18 tahun. Kerjasama pengunjung dipohon agar sentiasa mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan,” katanya di Facebook.

Pengunjung terawal menerima cenderahati penghargaan sempena pembukaan Taman Botani Negara Shah Alam pada 7 Okt 2021. Foto Facebook Taman Botani Negara Shah Alam.

Menerusi info grafik yang dikongsikan, pengurusan taman itu juga mengingatkan pengunjung supaya mengimbas aplikasi MySejahtera serta mengemas kini status risiko masing-masing.

Sementara itu sempena pembukaan hari ini, beberapa pengunjung terawal dan bertuah turut menerima cenderahati tanda penghargaan pihak pengurusan taman itu.

Taman berkeluasan 817 hektar itu ditutup sejak Jun lalu selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bagi mengekang penularan Covid-19.

Taman Botani menjadi kawasan tumpuan memandangkan terdapat lokasi menarik antaranya Taman 1Malaysia, Taman Herba dan Taman Haiwan.