Categories
PBT SELANGOR

Tanah runtuh: MPAJ nafi tiada tindakan terhadap aduan gelongsoran

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyangkal dakwaan bahawa tiada tindakan daripada MPAJ berkaitan aduan mengenai cerun daripada penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini, sebelum ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad berkata hasil semakan yang dibuat mendapati MPAJ menerima aduan kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2 dan bukan di tapak ini.

Beliau berkata sejak kejadian gelongsoran tanah di taman itu, MPAJ menerima maklumat bahawa tiada tindakan diambil selepas penduduk membuat aduan.

“MPAJ telah membuat semakan aduan berkenaan dan mendapati ia adalah kerosakan longkang di hadapan rumah iaitu di Jalan 1/2K dan bukan di tapak ini.

“Aduan mengenai longkang pecah ini sudah diperiksa dan anggaran kos pembaikan adalah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhayati berkata semakan dilakukan MPAJ di tapak gelongsoran itu mendapati tiada aduan diterima berkaitan perkara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Tanah runtuh: Penduduk panik, dentuman kuat seperti bangunan runtuh

AMPANG, 11 MAC : Bunyi dentuman kuat seolah berlaku runtuhan bangunan mengejutkan penduduk di sekitar Taman Bukit Permai 2, di sini pada petang semalam.

Salah seorang penduduk Alwi Wahab, 68, berkata beliau yang sedang menonton televisyen bersama isteri dan anak menantunya terus bergegas keluar melihat situasi kejadian tersebut.

Alwi Wahab. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami panik dan terus keluar daripada rumah untuk melihat apa yang berlaku, ketika itu ramai jiran sudah ada di luar dan terkejut apabila tanah runtuh menimpa rumah hujung termasuk beberapa kenderaan.

“Rumah saya pula berhampiran tanah runtuh itu, bimbang jika keadaan lebih teruk berlaku kami sekeluarga berpindah ke rumah anak di Cheras untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh kali pertama berlaku sejak 30 tahun mendiami kawasan terbabit dan berharap tindakan segera diambil untuk mengelak kejadian sama berulang.

Bagi Muhammad Sharif Jiran, 61, beliau sekeluarga meluahkan kesyukuran kerana selamat dalam kejadian itu walaupun kediaman terletak bersebelahan lereng bukit.

Muhammad Sharif. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Hanya dinding pagar rumah saya sahaja terkena tempias tanah runtuh, sipi-sipi lagi rumah kami hampir tertimbus, hanya Allah sahaja  yang tahu macam mana perasaan saya ketika kejadian.

“Tetapi perasan sedih tetap ada apabila dapat tahu berlaku kematian akibat ditimbus tanah runtuh.  Cuma permintaan saya dan penduduk di sini, mohon kerajaan segera tangani isu ini,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di  kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca  sekarang tidak menentu.

“Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.

“Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tanah runtuh: Penghuni 48 rumah diarah pindah, lokasi kejadian belum selamat

AMPANG, 11 MAC : Kerajaan Negeri mengarahkan penghuni 48 rumah yang terlibat dengan kejadian insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, segera mengosongkan kediaman masing-masing.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka diminta berpindah sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hari sementara pihak berkuasa memantau kemungkinan berlaku lagi pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari pihak Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) akan meneliti keadaan lokasi kejadian dalam tempoh tersebut sama ada selamat untuk diduduki atau sebaliknya.

“Kita ada 48 rumah di empat lorong yang perlu dikosongkan terlebih dahulu, Insya-Allah dalam tempoh maksimum lima hari kita boleh tahu kawasan ini selamat atau tidak dan penduduk boleh balik atau belum.

“Justeru, saya berharap penduduk dapat segera mengosongkan rumah dan kita mohon penduduk jangan bimbang kerana pihak polis akan melakukan pemantauan 24 jam di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan pihak berkuasa akan melakukan pemantauan di kawasan tersebut dan segala maklumat akan dimaklum dari semasa ke semasa.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tanah runtuh: Tiada aktiviti pembalakan, hujan berlarutan punca kejadian

AMPANG, 11 MAC : Dato’ Menteri Besar mengesahkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan juga tidak pernah menerima sebarang aduan berlakunya tanah runtuh di kawasan terbabit sebelum ini.

“Ia merupakan kawasan lapang dan tidak ada sebarang aktiviti seperti pembalakan atau pengosongan tanah, memang tidak ada. Mungkin ia disebabkan keadaan hujan yang berlarutan selama beberapa hari sebelum ini menyebabkan struktur tanah terurai.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga tidak pernah menerima aduan untuk kawasan ini, yang kita pernah terima aduan pun di Taman Permai iaitu empat kilometer daripada lokasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Empat maut, seorang cedera

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu bermula kira-kira sembilan jam lepas dengan sebuah jentera berserta sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang.

Mangsa pertama iaitu seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan namun isterinya iaitu mangsa kedua yang ditemukan pada 7.53 malam, meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa keluar pada 9.15 malam.

Kira-Kira sejam setengah kemudian, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah dibawa keluar pada 10.58 malam.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima, kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), masing-masing pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

Identiti kesemua mangsa yang dibawa ke Hospital Ampang belum dikenal pasti.

Sebuah pusat pemindahan sementara turut dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Mega Jaya namun tinjauan Bernama mendapati belum ada mangsa yang berpindah ke situ setakat 3 pagi.

Terdahulu, penghuni di kawasan perumahan itu digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada runtuhan tanah yang berlaku sebanyak dua kali ketika hujan lebat petang semalam malah detik-detik kejadian tersebut turut direkodkan oleh orang awam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.

Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan di Twitter beliau pula memaklumkan MPAJ turut membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan operasi SAR.

— BERNAMA