Categories
AGENSI SELANGOR

Yide beri sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Keramat

GOMBAK, 2 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan Enggang 13, Taman Keramat kelmarin.

Agensi dalam kenyataan memaklumkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan itu sebagai tanda prihatin dan meringankan beban mangsa terbabit.

“Terima kasih kepada penyumbang yang telah menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” menurutnya sambil menambah sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan, Muhammad Zubair Azizan.

Pegawai Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran pada 31 Oktober 2020. Foto Yide

Salah seorang mangsa, Musran Dollah, 59, berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 28 Oktober lalu menyebabkan struktur rumah hangus terbakar secara keseluruhannya.

Menurutnya, anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya memadam api marak namun pemilik dan penyewa rumah tidak sempat menyelamatkan barang peribadi.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah teres paling hujung (corner lot) yang disewakan kepada empat keluarga lain.

“Buat masa ini, kesemua mangsa kebakaran ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) AU1A/2 bersebelahan Surau Azziah,” katanya dalam kenyataan sama.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline Yide 017-7569476.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pangsapuri Usang Akan Dibangunkan Semula

Pangsapuri Ceria 01

SHAH ALAM 3 JULAI : Kerajaan Selangor kini dalam usaha untuk membangunkan semula rumah-rumah rakyat yang sudah usang melalui konsep urban renewal.

Antara kawasan yang dikenal pasti adalah Rumah Pangsa Jalan Enggang AU2, Taman Keramat ; Rumah Pangsa Seksyen 17, Petaling Jaya dan Rumah Pangsa Seksyen 16, Shah Alam.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata tawaran sudah dibuat kepada pemilik-pemilik dan rundingan kini masih berjalan.

“Projek ini akan dimulakan selepas persetujuan dengan pemilik-pemilik dapat dicapai,” katanya yang menjawab pertanyaan Dr ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari (PKR) di sidang dewan negeri semalam.

Selain itu, Iskandar berkata terdapat juga pemaju yaang menjemput Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengadakan usaha sama dengan mereka untuk projek ‘urban renewal’ atau ‘urban redevelopment’.

Walau bagaimanapun, PKNS perlu meneliti sebarang cadangan dengan lebih terperinci.

Iskandar turut memaklumkan, terdapat 33,198 unit pangsapuri kos rendah yang dibina oleh PKNS di negeri Selangor yang melebihi usia 25 tahun.

Daripada jumlah itu, 30,499 unit mempunyai dua bilik dan 2,699 unit mempunyai satu bilik.