Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Mangsa banjir mahu guna bantuan RM1,000 beli barang keperluan

HULU LANGAT, 23 DIS: Bantuan sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Selangor untuk keluarga mangsa banjir di negeri ini sedikit sebanyak menampung belanja membeli mengganti sebahagian barangan yang rosak.

Mangsa banjir, Rahmanisah Rahmat, 42, bercadang mahu membeli tilam, peralatan pembersihan kesan banjir dan peti ais yang amat penting pada ketika ini.

“Terima kasih Kerajaan Negeri bagi bantuan tunai RM1,000, sedikit sebanyak meringankan beban kami. Tetapi jika ia diberi dalam bentuk barangan keperluan lebih membantu.

“Jika diberi dalam bentuk tunai, kami sukar untuk keluar cari barang keperluan buat masa ini, kereta rosak, kedai banyak tutup,” katanya kepada SelangorKini.

Penjawat awam, Junainah Ahmad, 42, menyambut baik dan berharap bantuan lebih diberi kepada golongan yang benar-benar terjejas.

“Alhamdulillah nilai RM1,000 kepada kami cukup besar kerana kerosakan dialami tidak seteruk segelintir mangsa banjir yang ada antaranya hilang rumah, kereta musnah, ujian mereka lagi berat.

“Harap kerajaan dapat bantu kerana sudah pasti kehidupan mereka ibarat kembali kepada ‘zero’ (kosong) semula,” katanya yang menetap di Taman Lagenda Suria di sini.

Isnin lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu meliputi bantuan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.