SHAH ALAM, 7 FEB: Hutan Pendidikan Bukit Gasing dan taman awam sekitar Petaling Jaya masih ditutup untuk sebarang aktiviti susulan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan langkah itu bagi menjaga keselamatan orang awam berikutan peningkatan kes Covid-19.
“Ini juga untuk memastikan penduduk tidak melanggar undang-undang atau peraturan ditetapkan,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.
Penutupan selaras Seksyen 24, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) dan Akta Polis 1967.
Bagaimanapun, menurut MBPJ kelonggaran meliputi aktiviti joging dalam kumpulan tidak melebihi dua orang dan berbasikal secara berseorangan kurang 10km dari kediaman.