Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan tambah bantuan banjir RM5,000 hingga RM10,000

SHAH ALAM, 4 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menaikkan bantuan mangsa banjir kepada RM5,000 hingga RM10,000 dengan segera.

Ketua pembangkang itu berkata semua mangsa banjir dalam keadaan derita dan terdesak kerana menanggung kerugian besar akibat kejadian itu.

“Apabila kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka mereka dengan ini harus berikan bantuan segera antara RM5,000 ke RM10,000 setiap orang mengikut keadaan serta kesan kerugian yang dialami akibat bencana ini.

“Usah tambah beban rakyat dengan kerenah birokrasi yang melampau yang hanya melambatkan proses menyalurkan bantuan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap kerajaan dapat mencari jalan bagi membantu rakyat terutama ketika berdepan krisis seperti ketika ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 11,194 keluarga di pusat pemindahan terima bantuan selewatnya 20 Januari

HULU LANGAT, 29 DIS: Seramai 11,194 keluarga yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir menerima manfaat Selangor Bangkit selewat-lewatnya 20 Januari ini.

Kerajaan Selangor mula mengagihkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir bermula semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua keluarga yang ditempatkan di PPS sama ada milik Kerajaan Negeri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) layak menerima manfaat tersebut.

“Kita berhubung dengan unit pembangunan persekutuan untuk agihkan bantuan sekali. Saya telah arahkan semua daerah-daerah untuk menggunakan proses pemberian bantuan yang sama di PPS lain.

“Bagi yang tidak berpindah pula, ketua kampung, ahli majlis atau pemimpin akar umbi persatuan penduduk akan dapatkan senarai mangsa banjir terlibat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Selangor Bangkit kepada 228 keluarga di PPS Sungai Serai di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil dan Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding.

Tambah Amirudin, beliau akan mempengerusikan mesyuarat EXCO pada Jumaat ini bagi membincangkan cadangan bantuan lain termasuk melibatkan golongan petani dan peniaga.

“Kedua-dua golongan ini juga terjejas akibat banjir. Namun, kita perlu memberi fokus kepada proses pembersihan pasca banjir terlebih dahulu,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sekurang-kurangnya 30,000 keluarga terkesan banjir akan menerima manfaat RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar luahan mangsa banjir selepas menyampaikan bantuan Selangor Bangkit di Sekolah Menegah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesan banjir di Hulu Langat paling teruk, proses pembersihan giat dilaksana

HULU LANGAT, 29 DIS: Proses pembersihan kesan banjir di Hulu Langat perlu diberi lebih fokus susulan keadaannya yang paling teruk terjejas akibat kejadian itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daerah itu paling teruk mengalami kerosakan diikuti Sri Muda di Shah Alam dan Bukit Lanchong di Subang Jaya.

“Hulu Langat memerlukan penelitian dan lebih fokus dalam proses pembersihan susulan kerosakan agak teruk selain kepadatan penduduk.

“Tempat lain yang ditenggelami air juga mengalami kerosakan tetapi tidak seteruk di sini,” katanya selepas proses pembersihan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini, yang turut disertai EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei.

Amirudin berkata setakat ini pembersihan berjalan lancar dan kutipan sampah juga dipertingkatkan berbanding sebelum ini.

“Strategi mewujudkan stesen pemindahan sampah berkesan apabila banyak kutipan boleh dilakukan. Selain sampah, kita fokus bagaimana hendak menangani lumpur-lumpur sebelum ia kering dan menjadi debu,” katanya.

Terdahulu Amirudin meninjau kawasan tanah runtuh di Genting Peras dan turut melepaskan misi bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18, di sini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan tilam dan barangan dapur kepada mangsa ketika meninjau kawasan terkesan banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Operasi besar-besaran angkut sisa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 27 DIS: Operasi besar-besaran untuk mengangkut sampah dan sisa banjir di beberapa kawasan terjejas di Hulu Langat berjalan selama dua hari sehingga esok, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pasukan pembersihan kini giat menjalankan kerja di Taman Sri Nanding sebelum bergerak ke beberapa lokasi sehingga ke Sungai Lui yang terjejas teruk dalam bencana berkenaan.

Menurutnya, bagi melancarkan operasi itu pihaknya memohon kepada polis menutup laluan utama ke Hulu Langat bagi kenderaan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk tempoh dua hari berkenaan.

“Orang ramai diharap memberikan kerjasama untuk melancarkan pergerakan lori mengangkut sampah pukal ke stesen pemindahan di Batu 14 dan Sungai Serai, kita mahu melakukan sebanyak mungkin perjalanan bagi mempercepatkan proses pembersihan.

“Kita sebelum ini berdepan kesukaran kerana kehadiran banyak kenderaan dari luar ditambah jalan sempit menyebabkan pergerakan lori terhad,” katanya ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramli berkata lebih 50 jentera KDEBWM digerakkan dalam operasi besar-besaran itu antaranya lori Roll On Roll Off (RoRo) selain mesin pengorek dan jengkaut bagi mempercepatkan kerja pembersihan.

Jelasnya, pergerakan jentera dipasang sistem pemantauan kenderaan itu akan dipantau di pusat kawalan terletak di Ibu Pejabat KDEBWM di sini.

“Kita dapat melihat pergerakan waktu nyata kenderaan terbabit bagi memudahkan membuat perancangan dan melancarkan operasi,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat.

Beberapa penempatan di Hulu Langat antara lokasi terjejas teruk akibat bencana banjir sehingga ada kediaman musnah dalam bencana berkenaan.

Timbunan sisa banjir ketika tinjauan Media Selangor di Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

JURNAL BERITA : MB pilih Brazil juarai Piala Dunia 2014

Sinopsis

1. Abdul Khalid pilih Brazil juarai Piala Dunia 2014
2. MB: Tidak perlu bentang kertas putih isu air
3. MB: LLM diberi tempoh seminggu sedia kertas keja lebuh raya
4. Isu Hudud dibincang pada sidang DNS
5. Kroni Umno kaut untung bayaran sewa UiTM, rakyat tanggung rugi
6. Speaker Selangor terima usul pembangkang kaji hudud
7. Kes BSM: JAIS diarah dapat nasihat Exco & Penasihat Undang-Undang
8. Hannah Yeoh: “Saya perlu ‘neutral’ kendali DNS”
9. Skandal Bank Rakyat, Ahmad Maslan gagal bagi jawapan meyakinkan
10.Xavier ambil tindakan undang-undang terhadap Chegu Bard, Malaysia Kini
11.Umno usul hudud di Selangor, bila MCA ingin berdemo?
12.Pemilihan PKR: Syed Husin mula siasatan kes profail tinggi dalam masa terdekat
13.Saifuddin: Ahli PKR perlu tolak politik ugutan, wang
14.Pinda akta, LHDN bakal jadi 1MDB
15.397 pemilik kilang USJ 1 dapat hak milik tetap
16.Ugut Ketua Pengawas Pemilihan, 3 ahli PKR dipecat
17.Klinik Guaman Pusat Wanita Berdaya jadi medium perlindungan
18.Longkang terbiar Taman Sri Nanding tingkat masalah aedes

http://tv.selangorku.com