Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Empat taman tema air di Selangor tawar keseronokan berganda

SHAH ALAM, 24 OKT: Taman tema air kerap kali dikunjungi secara berkumpulan atau beramai-ramai kerana kita tahu, “lebih ramai lebih meriah” selain hiburan yang dinikmati tanpa mengira usia.

Menariknya lagi, sesetengah taman tema air turut menyediakan tempat penginapan sekiranya sehari tidak cukup untuk anda menikmati semua aktiviti yang ditawarkan.

Debaran permainan gelongsor yang curam dan ketenangan kolam renang memberi penangan yang hebat kepada pengunjung. Bersedialah membawa anak-anak bermandi-manda atau nikmati keseronokan bersama rakan taulan.

Jom isi masa terluang anda bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu dengan mengunjungi taman tema air yang disenaraikan di bawah.

1. Sunway Lagoon

Siapa yang tidak tahu tentang Sunway Lagoon, teman tema air di Subang Jaya? Sama seperti taman tema air yang lain, Sunway Lagoon dilengkapi tarikan gelongsor pelbagai jenis yang sangat mengujakan.

Antara tarikan popular yang sangat digemari pengujung adalah Vuvuzela, Little Zimbabwe, Waterplexx 5D, Surf Beach dan banyak lagi!

Sempena pembukaan semula pada 7 Oktober, Sunway Lagoon memperkenalkan aktiviti berkelah yang dinamakan “Camp Out! at Sunway Lagoon”. Jadi, rasai sendiri pengalaman bermalam di Sunway Lagoon yang pertama kali diperkenalkan ini.

2. Bangi Wonderland Theme Park & Resort

Taman tema air yang dikelilingi oleh hutan rekreasi dengan keluasan 12 ekar. Lokasinya yang terletak di tengah antara Semenyih dan Bangi sesuai bagi anda yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota.

Bangi Wonderland menawarkan 14 permainan yang menyeronokkan, antaranya Anaconda Trail, Body Slide, Green Pearl dan banyak lagi.

3. Waterworld @ I-City

Selain daripada cahaya lampu LED dan taman tema salji yang menjadi tarikan popular, taman tema air di sini juga harus diberi perhatian kerana menawarkan aktiviti menarik dan memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

Jom cuba satu-satunya Tornado Ride yang terdapat di Asia Tenggara, yang mencabar keberanian anda dan tentunya menyeronokkan.

 

4. Wet World Water Parks Shah Alam

Beroperasi sejak 1996 lagi, ia menjanjikan keseronokan kepada pengunjung, lebih-lebih lagi pada si kecil. Antara tarikan popular yang boleh dicuba cuba ialah Super Hurricane, Monsoon Buster, Thunder River dan Kiddy Typoon Lagoon.

Pilihan aktiviti yang ditawarkan di sini sesuai untuk kanak-kanak dan kebanyakan kolam di sini berparas cetek. Jadi, anda boleh bawa anak ke Wet World Water Parks Shah Alam ketika cuti nanti.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPP: Ingat, patuhi SOP hindari kluster baharu

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Hari ini adalah hari terakhir persediaan dilakukan bagi pembukaan lebih banyak sektor sosial yang dibenarkan beroperasi, selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sejak 10 Jun, sektor sosial mula dibuka beransur-ansur dengan kelonggaran dan kebebasan diberi kepada rakyat untuk ‘hidup’ dengan amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, mulai esok (1 Julai) juga lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat beli-belah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 54 taman tema termasuklah taman tema air akan beroperasi semula, yang melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Selain itu, pusat spa, pusat perapian kesihatan atau wellness dan urut kaki, pawagam, teater serta acara secara langsung di dewan tertutup dan juga aktiviti riadah kolam renang turut dibenarkan beroperasi pada 1 Julai.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai pada tarikh sama.

Acap kali Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan semua pihak supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa dan mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan.

Bagi majlis sosial seperti majlis perkahwinan dan akad nikah pula, jumlah tetamu yang dibenarkan adalah tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa sama ada ia dijalankan di masjid, dewan, rumah ataupun lokasi lain.

Pastinya kita tidak mahu timbul pula kluster kenduri kahwin seperti di Bandar Baru Bangi sebelum ini atau pun kluster taman tema, atau apa jua kluster baharu sekalipun, maka sebab itulah pentingnya untuk kita mematuhi kawalan kendiri di kala berseronok.

Harus sentiasa ingat bahawa perang terhadap Covid-19 belum lagi tamat meskipun sudah ada petanda baik yang menyaksikan negara berada di landasan betul untuk menuju sifar kes, sekali gus bebas daripada ancaman Covid-19, berdasarkan kes jangkitan yang kembali mencatatkan satu angka semalam.

Semalam, tiga kes baharu dilaporkan, yang dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,637 kes dengan kebolehjangkitan 182 kes.

Tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 121 kes, mewakili 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kerap cuci kolam, hadkan bilangan pengunjung

SHAH ALAM, 29 JUN: Pengusaha taman tema air perlu kerap membersihkan kolam selepas dibenarkan beroperasi semula Rabu ini, saran ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menyarankan jumlah pengunjung dihadkan bagi mengelakkan kesesakan sekali gus mencegah jangkitan wabak.

“Kebimbangan Kementerian Kesihatan ialah isu kesesakan, justeru pengusaha perlu hadkan jumlah pengunjung dan tidak buka 100 peratus.

“Kita juga nasihatkan pengunjung dan pengusaha taman tema mengambil langkah pencegahan dan paling penting jaga jarak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 54 taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai selepas ditutup lebih tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah Covid-19.

Pengusaha perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang Awam pihak berkuasa tempatan dan Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.