ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzah menyantuni petugas kesihatan dan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 23 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak 500 dos pelalian disediakan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer pada 14 November.
Wakil rakyatnya berkata program sehari mulai jam 9 pagi di Dewan Lanai Anggun, Selayang Height mengutamakan remaja, komuniti dan warga asing yang belum menerima suntikan.
“Kita menyeru individu yang belum mengambil dos pertama memanfaatkan peluang ini kerana vaksin penting bagi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19,” kata Mohd Sany Hamzan.
Selangor memperuntuk 50,000 dos pelalian untuk menjayakan Selvax bergerak di seluruh DUN secara berperingkat sejak 12 September bagi memastikan tiada yang tercicir mendapat vaksin.
Pakej Kita Selangor 2.0 diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.
ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan meninjau proses suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan, Gombak pada 26 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
GOMBAK, 26 JULAI: Seramai 2,600 penduduk sekitar Taman Templer akan menerima suntikan pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).
Wakil rakyatnya berkata suntikan mula diberi hari ini hingga esok dengan menumpukan warga emas selain penjaja kecil, pekerja dalam sektor e-panggilan dan individu kerap bertemu dengan masyarakat.
“Senarai nama peserta dikumpul oleh ketua kampung dan ahli majlis dua minggu sebelum program ini bermula. Kita memastikan kesemua mereka yang layak belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
“Sehingga jam 1 tengah hari, kira-kira 60 peratus daripada 1,300 yang diberi tarikh hari ini hadir menerima vaksin Sinovac,” kata Mohd Sany Hamzan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sri Siantan di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd Sany mengingatkan masyarakat supaya peka dengan waktu janji temu diberikan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melancarkan proses vaksinasi.
“Ini (Covid-19) adalah soal hidup dan mati, sebab itu Kerajaan Selangor melaksanakan program vaksin sebagai usaha untuk menghapuskan serta mengurangkan gejala wabak.
“Saya menyeru orang ramai khususnya yang diberi kesempatan untuk hadir bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya sambil menyeru masyarakat tidak sesekali alpa dengan tatacara operasi piawai (SOP) meskipun sudah divaksin.
Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.
Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.
Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.
Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 14 JUN: Semua pihak perlu giat mempromosi Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga secara percuma yang dijangka bermula pada Sabtu, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer.
Mohd Sany Hamzan berkata antara lokasi tumpuan untuk menguarkan program anjuran Kerajaan Negeri adalah penduduk penempatan bertingkat seperti pangsapuri.
“Promosi saringan dilaksanakan menerusi kaedah siar raya di penempatan bertingkat, kita mahu mereka tahu tarikh program saringan.
“Lebih ramai dijangka menyertai saringan fasa ketiga, jadi kita perlu tambah baik pusat saringan dengan menyediakan laluan khas bagi memastikan program berjalan lancar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Selain itu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menyediakan kemudahan pengangkutan terutamanya untuk membawa warga emas ke pusat saringan.
Penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi berkata fokus diberikan kepada golongan berisiko tinggi di Kampung Changkat, Kerdas, Sungai Chinchin, Simpang Tiga dan sekitar Gombak Utara berikutan peningkatan kes di kawasan itu.
“Pejabat DUN mengambil inisiatif membantu warga emas yang mungkin ada kekangan untuk hadir saringan, jadi kita cuba bantu untuk memudahkan mereka,” katanya.
Semalam Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata Saringan Komuniti Covid-19 fasa ketiga dijangka bermula 19 Jun.
Pada Rabu Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Komuniti Covid-19 fasaketiga melibatkan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.
Sejak diperkenalkan tahun lalu, saringan secara percuma menyaring lebih 100,000 penduduk Selangor menerusi dua fasa.
Mohd Sany Hamzan (tengah) meninjau pelaksanaan program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
GOMBAK, 22 MEI: Penduduk sekitar Taman Templer yang memerlukan khidmat nyahkuman di kediaman masing-masing boleh memohon kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Wakil rakyatnya berkata tawaran percuma bagi mencegah penularan Covid-19 juga boleh dibuat melalui ahli majlis, ketua kampung, pengerusi badan pengurusan bersama dan kawasan rukun tetangga.
“Kita terima jika ada permintaan daripada masyarakat supaya rumah mereka dinyahkuman khususnya dalam kalangan ahli keluarga yang terkena jangkitan Covid-19.
“Dua pasukan petugas akan dikerah segera untuk melakukan kerja berkaitan,” kata Mohd Sany Hamzan menambah tumpuan turut diberikan kepada premis niaga, rumah ibadat dan dewan orang ramai.
Beliau yang ditemui selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua kelmarin turut menggesa masyarakat meningkatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).
Mohd Sany berkata angka maut akibat Covid-19 yang mencecah jutaan orang di seluruh dunia perlu dijadikan iktibar berikutan virus itu boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.
“Memang kita lihat pematuhan SOP semakin baik namun kita tidak boleh selesa sebaliknya perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Selebihnya kita hanya mampu berdoa supaya wabak ini cepat dihantar pulang ke tempat asal dan kita sebagai hamba bebas melakukan kegiatan yang dilakukan selama ini,” katanya lagi.
Mohd Sany Hamzan (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada pihak Surau Al Ibtida'iah, Kampung Bendahara bagi mengimarahkan rumah ibadat itu sepanjang Ramadan pada 18 April 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer - YB Sany Hamzan
SHAH ALAM, 19 APRIL: Sebanyak 44 masjid dan surau sekitar Taman Templer menerima sumbangan berjumlah RM24,000 bagi melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.
Ahli Dewan Negerinya berkata peruntukan melalui pusat khidmat meliputi empat masjid, masing-masing mendapat RM1,000 manakala RM500 diagihkan kepada 40 surau.
“Saya berharap pihak masjid dan surau dapat memanfaatkan bantuan ini untuk mengimarahkan rumah ibadat dan kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi.
Beliau menambah program agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat juga diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM400,000 kepada masjid dan surau sekitar Gombak sempena program Ihya Ramadan pada 9 April.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap masjid menerima dana berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 diagih kepada surau.
Mohd Sany Hamzan (kiri) menyerahkan komputer riba kepada salah seorang ibu bapa pelajar pada 28 Januari 2021. Foto Facebook Mohd Sany
SHAH ALAM, 30 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer menyemak permohonan murid kurang berkemampuan untuk mendapatkan komputer riba bagi mengikuti pembelajaran di rumah.
Ahli Dewan Negerinya Mohd Sany Hamzan berkata proses semakan melibatkan ketua kampung dan persatuan penduduk bagi memastikan hanya yang layak mendapat kemudahan tersebut.
“Tidak dinafikan ramai ibu bapa atau penjaga terbeban untuk menyediakan kemudahan itu berikutan sistem pembelajaran norma baharu memerlukan peranti elektronik.
“Paling terkesan keluarga yang memiliki ramai anak bersekolah hingga ada yang merayu supaya mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Sany berkata setakat ini sebanyak 10 unit komputer riba terpakai diagihkan kepada murid sekolah rendah dan menengah serta berharap ia dimanfaat sebaik mungkin.
“Walaupun produk terpakai tetapi ia masih berfungsi dengan baik kerana kos tinggi diperlukan untuk mendapatkan komputer riba baharu,” katanya lagi.
Mohd Sany Hamzan (duduk, kiri) menyerahkan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada penduduk memerlukan dalam program Ziarah Kasih 3 di DUN Taman Templer, baru-baru ini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Wakil rakyat Taman Templer merangka inisiatif khas bagi membantu penduduk terjejas akibat penularan Covid-19 untuk kembali bangkit menjana pendapatan.
Menerusi program yang diselenggara pusat khidmatnya, Mohd Sany Hamzan, 43, menyediakan bantuan pinjaman pelbagai peralatan perniagaan.
Mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan boleh meminjam dapur, payung, kerusi dan mesin tebu untuk digunakan pada bila-bila masa.
“Juga disediakan mesin pemotong rumput bagi mereka yang hendak menjalankan perkhidmatan itu. Kita turut bantu dari segi pengurusan kewangan dan permohonan lesen sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta mencari lokasi perniagaan.
Mohd Sany Hamzan
“Setakat ini, ada 15 penerima disenarai pendek bagi mendapatkan bantuan pinjaman peralatan,” katanya kepada SelangorKini.
Hasrat Mohd Sany untuk meningkatkan pendapatan rakyat diperkukuhkan dengan membuka Templer Mart yang dijadual beroperasi pada November depan. Premis di Taman Selayang Segar akan menempatkan pelbagai produk yang dihasilkan penduduk.
Beliau berharap premis kendalian Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) menjadi platform golongan kurang berkemampuan dan wanita mengubah nasib mereka melalui jualan produk.
“Mereka boleh letakkan apa jua barangan dari makanan hingga kraftangan. Saya lihat banyak produk dihasilkan penduduk Taman Templer berpotensi untuk dipasarkan. Kita juga bantu dari segi promosi dengan menghasilkan video khas,” katanya.
Pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Sany memfokus kepada penyaluran bantuan makanan asas yang sehingga kini dianggar 5,000 pek.
Turun padang
Kesungguhannya terbukti berikutan Mohd Sany, tetap ligat turun padang sekalipun terpaksa bertongkat. Ternyata, patah kaki ketika menyertai misi kemanusiaan di Palu, Indonesia pada 2018 tidak menjejaskan semangatnya.
Mohd Sany Hamzan (kanan) menyerahkan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada penduduk memerlukan dalam program Ziarah Kasih 3 di DUN Taman Templer, baru-baru ini
Beliau sebaliknya meneruskan program Ziarah Kasih 3, program yang diperkenalkannya sejak menjadi wakil rakyat bagi membantu sekurang-kurangnya tiga rumah miskin pada setiap hari. Beliau atau wakilnya menziarah sambil membawa bantuan kewangan dan makanan asas.
Bahkan, beliau turut menyediakan ‘kereta peduli rakyat’ bagi memudahkan warga emas dan orang kelainan upaya berurusan di pejabat kerajaan. Mohd Sany percaya sentuhan sedemikian mendekatkan dirinya dengan rakyat.
Perancangan naik taraf prasarana tidak diabai. Beliau sering membangkitkan isu kepada pihak berkuasa supaya sesuatu tindakan dapat disegerakan.
Projek siap dan dalam perancangan di Taman Templer:
– Naik taraf padang bola sepak di Batu 16, Rawang dengan peruntukan RM120,000 (siap)
– Memulihkan projek terbengkalai Apartment Kristal di Kampung Bendahara (bermula Februari 2021)
– Naik taraf kolam air panas dengan kos RM4 juta (dalam proses awal)
– Penggantian paip lama berusia 30-40 tahun di Selayang Pandang dan Selayang Baru (sedang berjalan)
– Naik taraf jajaran Sungai Udang untuk mengatasi masalah banjir kilat (dalam proses pengambilan tanah)
– Membantu pembinaan masjid di Selayang Mutiara dan naik taraf Surau Al-Furqan menjadi masjid di Bandar Baru Selayang
SELAYANG, 10 APR: Seramai 140 pelajar sekolah menengah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer berjaya menamatkan program pemantapan penguasaan Bahasa Inggeris ‘Schoolheroes English Class’, Isnin lalu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN berkenaan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan dan SMK Rawang selain dikendalikan sepenuhnya Konsultan School Heroes, Lin Dee.
Penyelaras Unit Pendidikan dan Pembangunan Insan PKM DUN Taman Templer, Mohd Fadhlullah Ismail berkata, pelaksanaan program itu sebagai tanda keprihatinan terhadap pendidikan anak-anak, khususnya di kawasan terbabit.
“Kita meluluskan sebahagian besar kos perjalanan program ini dan selebihnya atas inisiatif dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.
“Mempelajari bahasa asing, selain Bahasa Melayu merupakan salah satu tuntutan penting dalam Islam. Ia adalah tanda kita mensyukuri kepelbagaian bahasa yang dicipta oleh Allah.
“Malah, program ini juga sebagai cara kita menjalinkan komunikasi dengan pihak lain secara berkesan,” katanya.
Kesemua peserta termasuk ibu bapa yang turut menjayakan program itu diberikan sijil penghargaan bagi menghargai komitmen tinggi peserta selama tiga bulan bermula Januari hingga Mac lalu dengan enam kali pertemuan.
Terdahulu, program penutup yang diadakan di Dewan Samarlingga, SMK Rawang turut dihadiri wakil pengetua kedua-dua sekolah terbabit.
SELAYANG, 10 APR : Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) digesa supaya segera mengentikan sikap pura-pura yang kononnya mendakwa mereka prihatin terhadap pembangunan infrastruktur di Selayang meskipun tidak lagi memerintah kawasan itu.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong kepada pemberita dalam satu sidang media khas di Jalan SJ3 di sini hari ini.
Ia merujuk kepada kenyataan Penyelaras Parlimen Selayang, Jessie Ooi dalam suatu akhbar baru-baru ini yang mendakwa kerajaan Umno-BN mengambil berat soal pembangunan di kawasan itu terutama urusan penurapan jalan.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyelaras BN itu seolah-olah menggambarkan segala penambahbaikan infrastruktur di kawasan itu dibuat atas seruan beliau. Tindakan dia (Jessie) membuatkan rakyat keliru siapa yang memerintah Selangor sekarang ini.
Projek untuk menurap jalan ini telah lama masuk dalam senarai dan akan dikaji sebelum dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Ini bukan kerja senang. Bukan boleh kata hari ini jalan lubang, esok MPS akan datang turap. Proses kerjanya adalah banyak,” jelasnya.
Menurutnya, pembangunan yang dikecapi oleh rakyat di kawasan itu adalah atas keprihatinan kerajaan negeri yang menyalurkan dana kepada setiap Dun dengan nilai RM 1 juta untuk tujuan pembangunan.
Beliau berkata, sejak PR mengambil alih pemerintahan di Selangor, kerajaan persekutuan telah menyekat segala bantuan yang sepatutnya diperuntukkan kepada kawasan terutamanya di Selangor.
Tambahnya, peruntukan RM2 juta yang sepatutnya diterima oleh setiap Ahli Parlimen bagi tujuan pembagunan di kawasan masing-masing juga gagal dilaksanakan kerajaan persekutuan.
“Segala projek dan pembangunan yang dibuat di kawasan ini adalah atas bantuan kerajaan negeri melalui peruntukan yang diberikan. Sejak tahun lalu, kerajaan persekutuan telah menyekat bantuan yang sepatutnya diberikan kepada Dun.
Saya sebagai wakil rakyat yang dipilih juga tidak menerima peruntukan RM2 juta seperti yang sepatutnya. Tindakan ini seolah-olah menafikan demokrasi rakyat yang mengundi serta memilih saya sebagai wakil rakyat semasa pilihan raya,” tegasnya.
Sementara itu, Penyelaras Dun Taman Templer, Mohamad Abd Rahman berkata, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan menerusi projek berbentuk infrastruktur yang dikenali sebagai Marris.
Jelas Mohamad, Marris diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan cadangan dan penyenaraian permohonan yang merujuk kepada keperluan masyarakat.
Antara projek yang telah dilaksanakan adalah seperti penurapan jalan raya dan menaiktaraf longkang di beberapa kawasan yang telah di kenalpasti.