Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah di taman tanpa lengkap vaksin, MBSA minta pengunjung patuh SOP

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beriadah di taman awam di bandar raya ini yang kembali dibuka 22 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata antaranya pengunjung sudah mendapat vaksin Covid-19 lengkap iaitu selepas 14 hingga 28 hari menerima suntikan dos kedua.

“Pengunjung juga harus mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak berkumpul.

“Petugas unit renjer akan memantau untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP, penggunaan peralatan senaman tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan di Taman Tasik Shah Alam bersama renjer MBSA di sini mendapati kebanyakan pengunjung yang datang untuk bersukan, rekreasi dan riadah mengikut SOP.

Namun masih ada segelintir individu belum lengkap vaksin datang termasuk membawa anak kecil sebelum dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan taman bagi mengelakkan penularan virus.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Berikut adalah SOP bagi aktiviti riadah di taman awam bandar raya ini:

– Mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter di kawasan terbuka termasuk secara separa terbuka

– Aktiviti joging, senaman, berbasikal, taichi dan semua aktiviti sukan kendiri tanpa bersentuhan fizikal serta bukan berkumpulan dibenarkan

– Penggunaan alatan mainan kanak-kanak, alatan senaman gim luar (outdoor gym) tidak dibenarkan

– Berkelah, berkhemah dan berkumpul tidak dibenarkan

– Menjamu selera (dine-in) di kafe dibenarkan dengan SOP yang ketat

– Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Musical Fountain, Flying Fox dan Jambatan Gantung Kanopi di Taman Tasik Shah Alam ditutup

– Kehadiran pengunjung hanya di dalam radius 10 kilometer dari kediaman dan jumlah pengunjung 50 peratus berdasarkan keluasan taman rekreasi

MBSA juga menghuraikan maksud telah melengkapkan pengambilan vaksin sebagai:

1. Dua dos suntikan – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac selepas hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

2. Satu dos suntikan – Johnson & Johnson dan CanSino selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Categories
SELANGOR

MB: Peluang bersenam, taman awam dibuka hingga petang

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri setuju membuka semula semua jenis taman kepada rakyat untuk melakukan aktiviti riadah, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, aktiviti pendakian dan perkhemahan belum lagi dibenarkan buat masa ini.

“Taman kini dibenarkan untuk rakyat beriadah dari 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga dibenarkan,” katanya dalam kenyataan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa negeri susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan pekeliling lebih terperinci bagi tujuan rujukan dan penguatkuasaan lanjut bermula 13 Mei sehingga 9 Jun.

“Sebarang bentuk aktiviti atau perkara lain yang tidak diperincikan adalah kekal tertakluk seperti digariskan dalam tatacara operasi piawai (SOP) disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 Mei hingga 12 Mei lalu membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan (KKM), selain orang ramai dibenarkan bergerak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman.