Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tambah jemaah masjid, enam petugas pastikan SOP dipatuhi

GOMBAK, 4 SEPT: Seramai enam petugas ditempatkan di Masjid Ar-Rahimah, Greenwood di sini bagi memastikan kelancaran pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) susulan kelonggaran jumlah jemaah di negeri ini.

Setiausahanya Mohamad Azizul Abu Bakar berkata pemantauan SOP bermula di pintu pagar masjid yang mana seorang petugas ditempatkan bagi memastikan jemaah yang hadir telah lengkap dua dos vaksin.

“Bagi petugas bahagian dalam masjid pula mereka akan memantau suhu dan memastikan jemaah ‘check in’ menerusi aplikasi MySejahtera. Jumlah petugas seramai enam orang ini adalah ketika solat Jumaat sahaja, manakala bagi solat fardhu lima waktu hanya dua petugas.

“Kita juga memastikan jemaah mengikut ketetapan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) iaitu memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk di rumah,” katanya ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Jemaah yang hadir menunjukkan sijil lengkap vaksin untuk membolehkan mereka menunaikan solat berjemaah di masjid ketika tinjauan SelangorKini di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood, Gombak pada 4 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan pengumuman kelonggaran yang dibuat Jais semalam menyebabkan orang ramai mula beratur sebelum jam 12 tengahari untuk menunaikan solat Jumaat semalam.

“Lebih 30 orang juga yang beratur awal semalam dan ada yang terpaksa pulang hampa kerana kuota 100 jemaah untuk solat Jumaat telah penuh,” katanya.

Mohamad Azizul juga berharap orang ramai yang telah lengkap dua dos vaksin dapat memenuhi masjid selepas kelonggaran diberikan dengan harapan masjid dapat diimarah semula seperti sebelum pandemik melanda.

Semalam, Kerajaan Selangor melonggarkan syarat solat Jumaat untuk 100 orang di masjid dan 50 orang bagi solat berjemaah lima waktu termasuk di surau.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kelonggaran itu untuk ahli jemaah dalam kariah masing-masing yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, kelonggaran tersebut harus dilaksanakan secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau solat berjemaah lima waktu, namun kegiatan lain seperti ceramah hanya dalam talian.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor benar pertambahan jemaah ikut saiz masjid, surau

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad berkata ruang solat perlu mematuhi penjarakan sosial 1.5 meter selain jemaah perlu mendaftar dan mengikut giliran.

“Bagi solat fardu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kehadiran jemaah wanita pula hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka semula mulai 3 Julai lalu untuk solat Jumaat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan 1,000 orang.

Kehadiran jemaah semua masjid lain pula ditetapkan maksimum 500 orang tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat berkenaan.

Bagi surau yang ada kebenaran mengadakan solat Jumaat, bilangan maksimum 40 orang. Syarat sama terpakai untuk solat fardu berjemaah bagi surau lain. Jumlah tersebut tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.