Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM tubuh badan siasatan bebas, cari punca kegagalan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, bakal dilaksanakan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Penubuhan badan siasatan bebas itu, diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan itu terdiri, daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,” katanya.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya pada Isnin lalu dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukannya.

Namun, segelintir penyokong dan pengkritik mendesak supaya pihak pengurusan FAM juga mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut, yang didakwa kerana kelemahan FAM dalam merancang dan mempersiapkan pasukan dengan baik.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gagal di Piala AFF, Cheng Hoe letak jawatan jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah melepaskan jawatannya berikutan “kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020” di Singapura bulan lepas, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata Cheng Hoe telah menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas perbincangan secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad bawah-20 tahun kebangsaan pada 2005.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jurulatih berusia 53 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun, bawah 23 tahun dan Harimau Muda A, sebelum gandingan mantap selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal menyaksikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Cheng Hoe yang kemudian menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah bermula 2014-2017, membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia (Liga-M) apabila membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe kemudian kembali ke FAM pada 2017 selaku penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun sama.

Sebagai pengendali Harimau Malaya, beliau berjaya corak permainan skuad kebangsaan sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 dan meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, sebelum cabaran pandemik COVID-19 menganggu jadual kejohanan itu.

Pada Piala AFF 2020 bermula 5 Dis hingga 1 Jan ini, skuad kendalian Cheng Hoe yang kekurangan persediaan, gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen di kedudukan ketiga berikutan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dan 4-1 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan B, selain mencatatkan kemenangan 3-1 dan 4-0 masing-masing ke atas Kemboja dan Laos.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Malaysia tewas dengan Vietnam 0-3

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Hasrat Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura malam ini.

Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertamam sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad Harimau Malaya lengkapkan dua dos suntikan vaksin

PUTRAJAYA, 10 MEI: Suntikan dos kedua vaksin Covid-19 memberi skuad kebangsaan keyakinan dari sudut kesihatan apabila turun beraksi pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

Ia juga merupakan agenda utama pasukan kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum kesemua pemain skuad Harimau Malaya dikumpulkan dalam kem latihan pusat bermula 16 Mei ini.

Cheng Hoe berkata suntikan dos kedua vaksin memberi ‘ketenangan minda’ kepadanya tatkala jumlah kes positif masih mencatat angka yang membimbangkan menjelang kem latihan pusat, namun optimis barisan pemain akan hadir dalam keadaan kesihatan terbaik.

“Yang penting kita rasa selesa dan fikiran kita tenang, sebab kita tengok sekarang kes agak banyak. Sebagai jurulatih, saya risau juga mengenai kesihatan barisan pemain.

“Dan sudah tentu selepas selesai terima dos kedua, kita akan dapat lebih fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas selesai mendapatkan suntikan dos kedua di Dewan Seri Seroja di sini, hari ini.

Cheng Hoe dan barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk 29 pemain negara hari ini melengkapkan kitaran vaksin Covid-19 dengan suntikan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 19 April lepas.

Kapten skuad Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak bersama-sama barisan pemain Muhammad Safawi Rasid, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Syahmi Safari dan Mohd Farizal Marlias antara pemain negara yang menerima suntikan itu hari ini.

Turut mendapatkan dos kedua suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundaram.

Sementara itu, Mohd Farizal berkata suntikan vaksin itu membina keyakinan kepada pemain yang akan berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Bagi saya ini adalah satu perlindungan kepada pemain, jadi saya mengharapkan ia (vaksin) lebih selamat untuk masa akan datang. Saya juga harap pemain akan bersedia dari segi fizikal dan juga mental,” katanya.

Dalam pada itu, Brendan menyarankan supaya orang ramai tidak berasa takut untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat suntikan vaksin dan menjadi sebahagian daripada kumpulan ini. Kebanyakan orang di luar sana perlu mendapatkan vaksin ini terutama mereka yang berisiko dan dalam kategori risiko.

“Vaksin adalah sesuatu yang positif dan saya berpendapat anda tidak perlu risau tetapi pada masa yang sama, kita juga harus berhati-hati,” tambahnya.

Malaysia akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand pada 15 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perancangan skuad Harimau Malaya tidak terjejas dengan PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Selangor, Terengganu, Johor dan Perak tidak mengganggu percaturan pasukan bola sepak kebangsaan membuat persediaan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 16 Mei ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yakin model Gelembung Sukan yang dilaksanakan skuad Harimau Malaya sama ada dalam aktiviti pasukan mahupun venue latihan adalah selamat, sehingga skuad berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei depan.

“Tetapi dengan pengumuman baru ini, mungkin ada kekangan atau SOP (tatacara operasi piawai) berubah. Jadi kita akan memastikan semua arahan dan garis panduan yang diberikan (dipatuhi) dan pasukan kebangsaan tidak akan terganggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, malam tadi.

Mengulas lanjut, Stuart berkata persediaan pihaknya untuk menghadapi kempen kelayakan itu berjalan lancar, namun hanya beberapa perkara berkaitan logistik dan venue latihan sedang dibincangkan dengan kerjasama baik daripada Persatuan Bola Sepak UAE.

Selain itu, katanya walaupun sudah hampir 18 bulan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif danhanya mengadakan kem latihan pusat sekali pada Mac lepas, pemain tetap bersemangat untuk mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G serta tidak menjadikan Covid-19 alasan gagal mempamerkan aksi yang terbaik pada kempen itu.

“Maklum balas yang saya terima dari jurulatih Tan sangat positif, saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak beraksi dan tidak bersama untuk tempoh yang agak lama, memberi satu sentimen dan semangat dalam pasukan yang agak luar biasa kali ini.

“Pemain sendiri meminta untuk berlatih lebih awal dan mahu bersama-sama pasukan lebih lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada saya, kita harus lebih positif dan tidak membenarkan perkara-perkara negatif mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin (10 Mei) ini sebagai persediaan ke UAE selepas memperoleh suntikan pertama, bulan lepas.

Mengenai hasrat Korea Utara yang mahu menarik dari daripada kelayakan Kumpulan H di Korea Selatan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19, Stuart berkata beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Biarlah AFC yang membuat keputusan mengenai kedudukan dalam kumpulan dan slot ke pusingan ketiga nanti. Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada keputusan Korea Utara itu akan memberikan impak negatif kepada kita, tetapi pasukan kebangsaan bersedia untuk mencapai keputusan terbaik di UAE,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei), Malaysia akan menyambung kempen kelayakan yang tertangguh lebih setahun menentang UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam aksi Kumpulan G.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Prestasi skuad Harimau Malaya meningkat

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Selepas 16 bulan tidak berlatih bersama, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Tan Cheng Hoe gembira dengan peningkatan prestasi ditunjukkan pasukannya dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kali ini.

Memasuki hari keempat kem latihan pusat di Johor Bahru, Cheng Hoe menyifatkan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan memberikan impak positif dari setiap aspek sekali gus memberi keseimbangan yang baik kepada pasukan ketika ini.

“Sudah tentu selepas 16 bulan suasana agak berlainan tetapi saya yakin dengan menjalani latihan kali ini walaupun singkat, kita nampak dari segi kualiti itu memang lebih baik.

Saya harap ia dapat dikekalkan kerana kita perlukan satu momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan pada Jun nanti,” katanya pada satu sidang media secara maya, hari ini.

Sejak kali terakhir dikumpulkan pada November 2019, skuad kebangsaan akhirnya kembali menyertai kem latihan bermula Isnin lepas menjelang tiga aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun.

Malaysia akan meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik Covid-19 secara berpusat menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.

Pengendali berusia 52 tahun itu berkata intensiti latihan akan ditingkatkan bagi lebih menyediakan barisan pemainnya untuk mengatasi cabaran persaingan tiga pasukan itu dalam merebut tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selain mara ke pusingan ketiga kelayakan.

“Bermula malam ini intensiti latihan akan ditingkatkan supaya pemain tahu apabila datang kepada saingan kelayakan piala dunia, intensiti dan tempo permainannya sangat tinggi. Kita akan teruskan perancangan tetapi tetap akan berwaspada supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pemain,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe memaklumkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh dan penyerang Sarawak United FC Norshahrul Idlan Talaha – dua pemain yang sedang melalui proses pemulihan akibat kecederaan dialami – dijangka menyertai latihan bersama 26 pemain dalam masa terdekat.

Cheng Hoe memanggil 28 pemain kali ini dengan pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsuddin, 19, merupakan pemain termuda manakala Norshahrul, 35, pemain paling senior dalam pasukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suasana kem Harimau Malaya positif – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Di sebalik kontroversi insiden saat-saat akhir perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Johor Datul Ta’zim (JDT) malam tadi, suasana di kem Harimau Malaya kekal positif.

Malah, ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menegaskan isu tersebut langsung tidak menjejaskan moral pemain, sebaliknya masing-masing ceria kerana dapat berjumpa rakan sepasukan selepas tidak bertemu lebih setahun sejak November 2019.

“Memanglah ada sedikit ketegangan, tetapi selepas perlawanan itu kami semua bersama-sama untuk mewakili negara,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Pemain skuad kebangsaan kini berada di kem latihan pusat di Johor Bahru bagi menjalani latihan bermula hari ini.

Cheng Hoe menyenaraikan 17 pemain kebangsaan yang bermain dalam dua perlawanan terakhir saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada November 2019 serta 11 lagi termasuk pemain naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula.

Terdapat 13 pemain JDT dan dua daripada Perak FC dalam pasukan kebangsaan yang menjalani latihan pusat itu.

Jurulatih berusia 52 tahun berkenaan juga berkata setakat ini terdapat 26 pemain di kem itu dan dijangkakan dua lagi pemain daripada pasukan Terengganu FC tiba malam ini, sekali gus melengkapkan senarai 28 pemain beliau.

Cheng Hoe juga mengesahkan pasukannya sedang menunggu laporan perubatan daripada JDT susulan kecederaan yang dialami Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Selatan itu menentang Perak FC di Ipoh malam tadi.

Namun katanya beliau mempunyai beberapa pemain dalam senarai menunggu untuk mengisi kekosongan sekiranya Sumareh tidak boleh menyertai kem latihan itu.

Beliau juga tidak berhasrat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia sebaliknya mahu menumpukan pada latihan itu.

“Saya harap pemain tidak akan mengalami sebarang kecederaan selepas bermain dalam jadual liga yang padat. Saya cuma mahu mewujudkan persefahaman dalam kalangan pemain selain membolehkan mereka kembali mesra selepas lebih setahun tidak berjumpa,” katanya.

Mengenai de Paula, jurulatih itu berharap dua gol yang disumbangkan oleh pemain kelahiran Brazil tersebut ketika menentang JDT malam tadi akan memberikannya keyakinan untuk bermain selepas mengharungi lima perlawanan tanpa menjaringkan gol sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap kem latihan pusat tersebut berjalan lancar dengan Cheng Hoe dapat meningkatkan persefahaman serta tahap dan corak permainan pasukan untuk beroleh kejayaan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand pada Jun depan.

Hamidin pada masa sama turut berterima kasih kepada JDT atas kesudian pasukan berkenaan berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

“Diharap ini menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan lengkap seperti ini, kerana pada akhirnya sudah pasti akan membantu meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan tahap bola sepak negara secara keseluruhan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Luqman Hakim teruja dipanggil sertai latihan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemain sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin cukup teruja dan bermotivasi apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pertama bermula 22 hingga 30 Mac ini, kata ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata pemain berusia 19 tahun itu berada pada tahap baik dengan keyakinan diri berbekalkan latihan dan pengalaman bersama beraksi bersama kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.

“Memang kita sudah lama merancang untuk memanggilnya ke latihan skuad kebangsaan dan ini merupakan masa yang sesuai, selain kelab pun bersetuju untuk melepaskannya.

Bakat Luqman Hakim Shamsuddin dikesan dari Akademik Mokhtar Dahari (AMD) dan pernah mewakili Selangor kini mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

“Namun, kita tidak mahu memberikan tekanan kepadanya kerana kali pertama menyertai skuad senior,” katanya yang akan mengumpulkan pemain selepas lebih setahun sebagai persediaan ke kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Menerusi entri Facebook KV Kortrijk semalam, foto penyerang berbisa skuad Bawah-19 tahun negara berkenaan kelihatan dengan beg pakaiannya bersedia untuk pulang ke tanah air buat kali pertama sejak menyertai kelab tersebut pada Ogos lalu.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi baharu Guilherme De Paula juga bakal dipanggil ke kem tersebut, manakala keputusan mengenai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle Jets, perlu dikaji semula kerana beberapa kekangan seperti kuarantin.

Beliau berkata senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan, yang akan diadakan dalam norma baharu di sebalik perjuangan menentang pandemik COVID-19 itu, akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pengendali berusia 52 tahun dari Kedah itu, turut mahu melihat status kecederaan pemain seperti Muhammad Safawi Rasid (JDT) dan Brendan Gan (Selangor FC) sebelum membuat keputusan.

“Pemain baru mula beraksi dalam tiga perlawanan Liga Malaysia selepas sekian lama dan ada yang cedera. Jadi saya akan buat keputusan dalam masa satu atau dua hari lagi.

“Selepas lebih setahun sejak kem latihan, fokusnya adalah untuk mendapatkan semula teknik dan rentak permainan. Kita perlu menggilap kembali kemahiran, berusaha dengan gigih dan mendapatkan semula rentak pasukan.

“Pada masa sama, kami tidak boleh memberi tekanan yang banyak kepada pemain kerana mereka baru sahaja memulakan liga…akan beraksi hanya lima perlawanan sebelum menyertai kem latihan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menyambung balik aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia itu, yang terganggu lebih setahun akibat Covid-19, menentang UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Malaysia berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheng Hoe tagih kerjasama kelab lepaskan pemain negara

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Ketua jurulatih pasukan bola sepak negara Tan Cheng Hoe mengharapkan kerjasama semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk melepaskan pemain masing-masing yang bakal dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan dari 15 hingga 26 Jan depan.

Pengendali berusia 52 tahun itu menyedari cabaran dalam mengumpulkan pemain dikehendaki apabila perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada kelab diwakili pemain itu, namun katanya semua pihak perlu memahami agenda bola sepak kebangsaan ketika ini.

Menjelang dua aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac depan, kem latihan pusat amat penting dalam merencanakan strategi permainan berpasukan selepas lebih setahun tidak beraksi bersama.

“Saya memang harap kelab melepaskan pemain untuk latihan pusat skuad kebangsaan kerana bukan tujuan untuk saya sendiri, ini untuk skuad kebangsaan jadi kami memang harapkan ihsan jurulatih kelab dapat benarkan pemain sertai latihan dalam lebih kurang 10 hari sahaja.

“Saya faham banyak pasukan sedang menjalani latihan pramusim jadi latihan banyak pasukan mungkin terganggu, tetapi disebabkan ini mengenai agenda bola sepak kebangsaan jadi terpaksa kami harap jurulatih dan pengurusan dapat lepaskan pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengakui ada berhubung dengan beberapa jurulatih kelab tempatan dan berbincang mengenai pelepasan pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya bakal mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 sebelum penularan pandemik Covid-19 menjejaskan keseluruhan perancangan tahun 2020 skuad kendaliannya di pentas antarabangsa.

Dengan Malaysia kini berada di kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Cheng Hoe mengakui tidak sabar untuk kembali bekerjasama bersama barisan pemainnya dalam menjayakan misi itu.

“Sudah sekian lama kita tidak berlatih dan berkumpul bersama jadi kita ambil peluang ini dengan baik walaupun kita tahu ia agak terlewat tetapi lebih baik daripada kita tidak memulakan apa-apa. Saya memang teruja untuk kem latihan pusat kali ini,” katanya.

Malaysia kini berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand ketiga dengan lapan mata.

Sebelum ini, isu pelepasan pemain sering menimpa skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi sesebuah kejohanan, apabila terdapat sesetengah kelab enggan melepaskan pemain sekali gus memberi kesan negatif kepada persediaan dan perancangan ketua jurulatih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cheng Hoe kekal pengendali Harimau Malaya sehingga 2022

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Seperti dijangka ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe, kekal sebagai pengendali skuad Harimau Malaya dalam menjayakan misi Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Cheng Hoe mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai lanjutan kontrak selama dua tahun, susulan kontraknya yang akan tamat pada 31 Disember ini.

Ia sekali gus menyaksikan jurulatih berusia 52 tahun itu akan terus menggalas tanggungjawab tersebut sehingga penghujung 2022, menjelang baki tiga aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula Mac tahun hadapan.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lepas, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan ke satu tahap lebih baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu yang kini berada di Pulau Pinang berkata, beliau telah menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata walaupun 2020 menjadi tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan, tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe merupakan individu terpenting dalam menjayakan usaha tersebut.

Stuart berkata FAM yakin keputusan itu akan memberi kesinambungan kepada pasukan untuk mengharungi baki beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun depan dan 2022.

“Kami gembira TCH (Cheng Hoe) bersetuju untuk menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini. Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki itu (Covid-19) segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan,” katanya.

Musim 2019 menyaksikan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Cheng Hoe merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan, termasuk aksi persahabatan berstatus A sejak muncul naib juara Piala AFF 2018.

Empat daripada sembilan kemenangan dilakar ke atas pasukan yang berada di ranking dunia lebih tinggi daripada skuad negara ketika perlawanan itu berlangsung.

Malaysia menumpaskan Afghanistan (ranking 147) pada Kejuaraan Piala Airmarine (Mac); Nepal (161) serta Tajikistan (116) pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 (Jun dan November); dan Thailand (109) dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 November lepas.

Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua, dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Layak ke Piala Asia 2023 merupakan misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM, yang juga dikenali sebagai F:30.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cheng Hoe dijangka kekal pemain untuk kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan awal beliau akan mengekalkan sebahagian besar pemain bagi menghadapi baki beberapa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini.

Jurulatih kelahiran Kedah itu berkata beliau juga akan memantau perkembangan pemain lain yang mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk dipanggil menyertai sesi latihan pusat bagi menghadapi pusingan kelayakan tersebut.

“Berikutan sudah lama mereka tidak dikumpulkan dengan kali terakhir pada November tahun lepas, saya harap mereka semua masih ada persefahaman yang baik antara satu sama lain.

“Perkara itu juga menjadi sebab kenapa saya rancang kekalkan ramai pemain utama demi memudahkan perancangan, namun saya masih melihat mana-mana pemain lain yang beraksi dengan baik bagi membolehkan saya menilai prestasi semasa mereka,” kata Cheng Hoe dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan beberapa baki perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan perancangan terbaharu AFC, sekiranya mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai, dan Vietnam pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik Covid-19, perlu diteruskan bagi memastikan pemain yang akan dipanggil ke sesi latihan pusat nanti dapat mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.

Beliau menegaskan kecergasan fizikal serta motivasi pemain yang akan dipanggil bakal terjejas sekiranya saingan Liga-M dibatalkan.

“Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.

“Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan,” jelas Cheng Hoe.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jangan alpa dengan kutipan tiga mata sulung – Cheng Hoe

SEPANG, 6 SEPT: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya tidak terlalu ghairah selepas berjaya meraih tiga mata sulung pada aksi pembukaan kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, Indonesia, malam tadi.

Beliau menegaskan kemenangan tipis 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno merupakan satu permulaan positif sebelum melayan kunjungan salah sebuah gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mendedahkan, beliau perlu menggunakan pendekatan berbeza apabila menentang pasukan ranking ke-65 dunia itu yang dibarisi beberapa pemain terbaik seperti dua pemain kelab Al Jazira iaitu Omar Abdul Rahman dan Ali Mabkhout.

“Pasukan UAE mempunyai pemain yang baik di setiap posisi, jadi kita harus memberi fokus sepenuhnya dan berhati-hati pada babak awal permainan menentang mereka nanti,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

UAE hadir ke Kuala Lumpur dengan reputasi cemerlang selepas merekodkan dua kemenangan pada aksi pemanas badan di Bahrain, iaitu membenam Republik Dominica, 4-0, selain mengatasi Sri Lanka dengan keputusan 5-1.

Untuk rekod, Malaysia pernah dimalukan dengan kekalahan 0-10 kepada UAE pada aksi kumpulan A pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2018 (Zon Asia) di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi pada 2015.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kemasukan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dari Gambia yang menggantikan Muhammad Hadin Azman pada penghujung babak pertama perlawanan, jelas menukar tempo permainan sehingga membolehkan skuad kebangsaan bangkit untuk menewaskan skuad Garuda di tempat lawan pada perlawanan malam tadi.

“Kehadiran beliau (Sumareh) memberi impak positif dan kita lihat pada separuh masa kedua, pasukan beraksi dengan lebih baik sehingga wisel penamat,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan kawalan keselamatan oleh pihak tentera dan Polis Metropolitan Jakarta bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai skuad kebangsaan ke hotel penginapan walaupun terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda selepas berakhirnya perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe pernah menaiki kereta perisai Barracuda selepas Malaysia menewaskan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2010 di venue yang sama, di mana beliau ketika itu merupakan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan kepada Datuk K. Rajagobal.

Pada aksi semalam, Sumareh yang masuk ke padang selaku pemain gantian pada penghujung babak pertama perlawanan, menjadi wira skuad negara apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan dalam babak kedua.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2, dengan penyerang Indonesia kelahiran Brazil, Alberto Goncalves membuka jaringan untuk skuad Garuda pada minit ke-12 sebelum Sumareh menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-37.

Goncalves yang beraksi dengan Madura United, kembali meletakkan Indonesia di hadapan pada minit ke-39, sebelum Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-65.

-BERNAMA